Tuan Minal al-Fatoni

Nama penuh beliau ialah Syeikh Wan Zainal `Abidin bin Wan Muhammad al-Fatani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja’far bin Wan Husein bin Ali. Ada juga pendapat lain yang menyebutkan bahawa beliau adalah daripada jalur yang kedua dari keturunan Syeikh Ibrahim Hadrami iaitu salasilahnya Wan Muhammad Dahan Syeikh Wan Muhammad Muhyiddin bin Syeikh Yahya bin Syeikh Ibrahim Hadrami. Salasilah ini bersambung melalui anak kedua Syeikh Ibrahim al-Hadrami iaitu Wan Jamilah Syandaniyah binti Syeikh Ibrahim al-Hadrami. Wan Jamilah adalah isteri kepada Syeikh Ja’far bin Syeikh Wan Husein bin Syeikh Ali, yang merupakan salah seorang daripada rangkaian salasilah Syeikh Zayn al-`Abidin al-Fatani.

Menurut kajian salasilah ini juga, datuk beliau iaitu Syeikh Wan Muhammad Dahan al-Fatani telah mendapat tiga orang anak yang kesemuanya menjadi `ulama’ dan melahirkan beberapa keturunan para `ulama’. Ketiga-tiga anaknya itu ialah Syeikh Wan Muhammad al-Fatani yang menurunkan keturunan Puak Tuan Minal, Syeikh Wan Abdul Karim yang menurunkan keturunan Puak Tok Raja Haji Jambu dan Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fatani yang menurunkan keturunan Puak Tok Duku dan Telok Manok.




SIKAP TUAN MINAL
Tokoh ini lebih mesra dengan panggilan Tuan Minal. Menurut sejarah yang diceritakan, asal nama Tuan Minal adalah daripada daripada serangkai peristiwa yang sering berlaku ketika beliau merasa marah atau gusar terhadap murid-muridnya. Beliau akan membacakan surah al-Nas. Sewaktu tiba pada ayat minal jinnati wan nas, beliau akan mengeraskan suaranya. Kekerasan suaranya menggambarkan tahap kemarahannya. Namun demikian, apa yang unik tentang beliau ialah, kemarahan beliau tidak dapat dikesan melalui riak wajah yang sentiasa tenang, sebaliknya dikesan melalui kederasan surah al-Nas yang dialunkan.




LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Syeikh Zayn al-`Abidin al-Fatani mendapat pendidikan awal daripada kedua orang tuanya di kampung halaman sendiri di Daerah Patani. Selepas itu beliau memasuki Pondok Bendang Daya Patani dan sempat berguru dengan pengasasnya yang pertama iaitu Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fatani. Tidak cukup setakat ini, beliau turut menuruti langkah `ulama’ Tanah Arab dengan melakukan rehlah `ilmiyah di luar tanah kelahiran. Syeikh Zayn al-`Abidin al-Fatani telah menyambung pengajiannya di Mekah dan mengutip seberapa banyak mutiara ilmu dari `ulama’ Mekah termasuklah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani.

Ketokohan beliau dalam bidang ilmu menyebabkan beliau layak mendapat gelaran al-'Alim al-'Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin. Satu gelaran lengkap yang menggambarkan pelbagai makna. Sirajuddin yang bererti `Lampu Agama' adalah kerana karyanya Kasf al-Litham yang merupakan karya terbesar fikah yang membicarakan furuk-furuk fikah yang paling lengkap dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan `Aqidatun Najin yang merupakan karya kedua terbesar sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani.

Selain digelar dengan Sirajuddin, Syeikh Zayn al-`Abidin bin Muhammad al-Fatani digelar juga dengan al-`Alim atau lebih tinggi daripada sebutan itu ditambah lagi dengan gelar al-'Allamah. Ditambah lagi dengan `al-Mudaqqiq', yang bermaksud seorang yang sangat teliti. Ditambah lagi dengan `al-Fahamah', yang bermaksud mempunyai kefahaman tentang Islam terutamanya bidang Feqh.

Beliau juga diletakkan sebagai `ulama’ Asia Tenggara generasi ketiga daripada empat generasi susur galur `ulama’ Asia Tenggara. Keadaan ini menempatkan beliau sebaris dengan tokoh-tokoh besar yang lain seperti Syeikh Ahmad Katib Minangkabau, Syeikh Nawawi Bantan dan Syeikh Mahfudh Tarmasi.




SUMBANGAN SEBAGAI PENDIDIK

Sekembalinya Syeikh Zayn al-`Abidin al-Fatani dari Mekah, beliau telah mengasaskan sebuah pondok pengajian di Patani yang terletak di daerah Bendang Badang. Setelah institusi pengajian di pondok tersebut kukuh, beliau telah mengasaskan pula sebuah pondok di Sungai Dua Seberang Perai. Ketika itu beliau telah pun berhijrah ke Tanah Melayu dan pondoknya di Patani diteruskan oleh anak-anaknya. Pondoknya di Seberang Perai telah pun menangani pondok pengajian Syeikh Muhammad Yusra al-Kalantani.




Pengenalan Ringkas Karya-Karya Beliau
1. Kasyf al-Ghaybiyah; Pada menyatakan yang ghaib-ghaib daripada ahadith al-marwiyah, (1301 H/1883M).

Kandungannya membicarakan mulai kejadian alam seluruhnya, tanda-tanda kiamat dan peristiwa dahsyat kejadian Hari Kiamat.

Cetakan pertama Matba'ah al-Miriyah al-Kaynah, Mekah, 1302 H. Ditashhih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al-Fatani. Cetakan Matba'ah al-Taraqqil Majidiyah `Uthmaniyah, Mekah, 1332 H/1913 M, diusahakan oleh anak beliau, Syeikh Muhammad Saleh al-Fatani dengan tashih Syeikh Idris Husayn al-Kalantani.

2. Kasyf al-Litham `an as’ilati al-Anam, (1307 H/1889 M)

Kitab ini menonjokan nama Tuan Minal. Merupakan kitab feqh terbesar yang paling lengkap membicarakan tentang furu`-furu` feqh dalam bahasa Melayu.

Cetakan al-Qahirah : `Isa al-Babi al-Halabi, [n.d.]

3. `Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin, (1308 H/1890 M)

Diselesaikan pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun 1308 H/1890 M. Kitab ini bukan hanya setakat untuk rujukan tetapi masih banyak diajar di surau-surau dan di masjid-masjid bahkan di beberapa pondok di seluruh dunia Melayu. Sebagaimana telah tersebut bahawa kitab ini yang kedua besar tentang akidah dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani tetapi adalah yang pertama besar yang masih beredar di pasaran dan yang diajarkan.

Cetakan pertama oleh Matba`ah al-Miriyah al-Kaynah, Mekah 1319 H/1901 M dan ditashihkan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani.

4. Irsyad al-`Ibad ila Sabil al-Rasyad, (t.t)
Pernah dicetak dalam beberapa edisi iaitu Matba`ah al-Miriyah Mekah, Matba`ah Dar al-Ihya’ al-Kutub al-`Arabiyah Mesir, Matba`ah al-Ahmadiyah Singapura, Persama Press Pulau Pinang dan lain-lain.
5. Tabassum al-Syaribin, (t.t)
Dicetak oleh al-Ahmadiyah Press, Singapura dan dikombinasikan dengan cetakan Irsyad al-`Ibad ila Sabil al-Rasyad.

6. Miftahul Murid fi `Ilmit Tauhid, (t.t)

Cetakan pertama Matba'ah al-Taraqqil Majidiyah, Mekah 1330 H. Cetakan pertama Pulau Pinang, 1373H/1954M. Kitab ini dicetak kombinasi dengan karya anak beliau, Syeikh Umar dengan judulnya Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad.

7. Sembahyang Jumaat

Nombor kelas MS 111, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat sahaja. Belum pernah diterbitkan.

8. Tahqiq al-Kalam fi Bayan Ibtidais Shiyam

Nombor kelas MS 112, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia.
Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat sahaja. Belum pernah diterbitkan.



RUJUKAN
--------------------------------------------------------------------------------

1. Bicara Agama Utusan Malaysia, Ulama’ Dari Keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadrami, 12 November 2006.

2. Web Ulama’ Nusantara, Wan Mohd Soghir, http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/tuan-minal-al-fathani-karangannya.html, 12 November 2006

3. Kertas Kerja Hari Pondok Se-Malaysia 1, http://naungan_nur_wahyu.tripod.com/id33.html, 20 Oktober 2007

4. Boleh didapati di Perpustakaan Akademi Islam,Universiti Malaya, no. panggilan BP 166.8 ZAY dan di Perpustakaan Peringatan Za’ba no. panggilan BP 166.5 Ahmkal

5. Boleh didapati di Perpustakaan Akademi Islam dan Perpustakaan Peringatan Za’ba, Universiti Malaya no. panggilan BP 166 ZAY 1

6. Boleh didapati di Perpustakaan Utama, Universiti Malaya, no. panggilan BP 166.2 ZAY

Diambil daripada http://noorlinizri.blogspot.com/2009/09/tuan-minalulama-nusantara.html

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat