Thursday, December 29, 2011

Kenapa anak lelaki dapat 2 bahagian anak perempuan?


Sebahagian bertanya-tanya:Kenapa kaum wanita diberikan warisnya setengah daripada lelaki padahal wanita sangat lemah dibandingkan lelaki dan sangat memerlukan harta?Syeikh Muhd Ali As-Sobuni memberikan jawapan terbaik.

Banyak hikmahnya.Antaranya:

Pertama:Keperluan dan hajat wanita dipenuhi dan dicukupkan oleh lelaki.Maka nafkah bagi seorang wanita wajib pada anaknya atau pada bapanya atau saudaranya atau yang lain dari ahli keluarga dekatnya.

Kedua:wanita tidak dibebani untuk memberi nafkah pada seseorang lain halnya dengan lelaki ia mempunyai beban memberikan nafkah pada keluarga dan ahli keluarga dekatnya serta pada yang lain yang masih ada hubungan wajib nafkah.

Ketiga:Nafkah2 pada lelaki lebih banyak dan kewajipan2 dalam hal material lebih berat.Maka keperluannya terhadap material lebih banyak/besar daripada keperluan wanita itu sendiri.

Keempat:lelaki(ketika nikah) membayar mahar dan belanja kahwin untuk isterinya.Kemudian dia dibebankan lagi untuk menyiapkan tempat tinggal, makanan, pakaian untuk isteri dan anak2.

Kelima:Biaya2 pendidikan untuk anak2, biaya ubat2 untuk isteri dan anak2 semua merupakan beban dan tanggungjawab suami.

Dan banyak lagi yang lainnya yang berhubungan dengan keperluan2 wang dan nafkah2 lainnya yang merupakan beban seorang suami yang telah dibebankan oleh syariat Islam yang agung dan atas perintah yang Maha Bijaksana.

Dari penglihatan yang tajam ini maka akan jelas kepada kita hikmah Allah yang mulia dari adanya perbezaan hak bahagian untuk lelaki dan perempuan.Dan setiap kali nafkah seseorang lebih banyak dan kewajipan2 juga lebih besar dan lebih berat maka secara akal sihat ia akan memiliki/mendapatkan hak bahagiannya lebih banyak dan lebih luas.

Meskipun Islam telah memberikan pada lelaki 2 kali lebih banyak dari perempuan.Meskipun demikian Islam tetap memanjakan perempuan dengan rahmat dan keutamaannya dan memberinya lebih dari apa yang kamu gambarkan/bayangkan iaitu lebih istimewa dan menikmati lebih banyak daripada lelaki… kerana wanita bersama-sama mendapat warisnya.Malah boleh menabung tanpa susah payah mengeluarkan nafkah atau ikut bersama suami menanggung beban hidup dan keperluannya.

Dalam syarak Islam isteri tidak diwajibkan untuk memberikan nafkah dari harta miliknya sedikitpun baik pada dirinya, anak-anaknya-walaupun dia kaya dan berada-selama di bawah tanggungan suaminya kerana suamilah yang punya beban memberi nafkah padanya dan anak2 yang meliputi rumah,makanan, minuman juga pakaian.

Bayangkan seorang lelaki meninggal meninggalkan 2 anak sahaja(lelaki dan perempuan) dengan meninggalkan RM3000.Maka sesuai dengan petunjuk syariah Islam anak perempuan mendapat RM1000 dan anak lelaki RM2000.Kemudian menjelang pintu pernikahan anak lelaki tadi perlu membayar mahar dan belanja kahwin lebih kurang RM8000 iaitu 4 kali ganda harta warisannya.Manakala anak perempuan pula mendapat mahar daripada lelaki yang ingin mengahwininya.Sungguh beruntung kaum perempuan dalam Islam bukan?

Tuesday, December 13, 2011

Asobiyah, Islam dan Melayu


Apa itu asobiyah..

Definisi asobiyyah yang diberi oleh Nabi Muhammad SAW dapat difahami menerusi hadith Baginda SAW :

Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, adakah dianggap ashobiyyah, puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda s.a.w.: Tidak, tetapi ashobiyyah ialah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman.

(hadith riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya) Imam Al-Munawi ketika mensyarahkan perkataan Ashobiyyah lalu berkata: “Iaitu membantu kezaliman…” (rujuk Aun Al-Ma’bud)

Adapun tentang kecintaan terhadap sesuatu bangsa, Rasulullah s.a.w. sendiri ada menegaskan mengenai kecintaan terhadap bangsa Arab sebagaimana dalam hadith:

“Kecintaan terhadap bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafiqan(.Imam Al-Hakim berkata:Hadith ini sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim.)

Dapat difahami sayang kepada bangsa sendiri seperti bangsa melayu tanpa melakukan penindasan kepada bangsa-bangsa lain adalah tidak dilarang. Dalam masa yang sama sebarang kezaliman , kemungkaran dan kemaksiatan tetap dibenteras walaupun dilakukan oleh bangsa sendiri.

Maksud umum kepada asobiyyah bukan setakat berlaku apabila pembelaan kezaliman kepada bangsa tetapi ia juga boleh berlaku apabila kezaliman yang dilakukan oleh kumpulan, puak, organisasi, keluarga, parti atau jamaah dibela dan dipertahankan.

Adalah sangat pelik,apabila kezaliman yg begitu jelas/nyata sehingga golongan bukan Islam pun menyatakannya zalim tetapi masih ada yg mengaku muslim,tapi terus menyokongnya.Kononnya kerana mempertahankan keutuhan parti,warisan dan seumpamanya.Ini adalah bisikan syaitan dan bicara seorang yang tiada pegangan aqidah serta keyakinan terhadap petunjuk agama.

Sabda Rasulullah s.a.w.,yg bermaksud,"Sesiapa yg berperang di bawah `bendera buta` dan menyeru kepada `asabiyyah atau marah kerana `asabiyyah,maka kematiannya adalah mati jahiliyyah." ( Riwayat Muslim,Ibn Majah,an-Nasa`i)

[ Kata as-Sindi dlm mensyarahkan hadith2 Sunan Ibn Majah.Lafaz 'bendera-buta' (dalam bahasa kita ialah membabi buta) ialah kiasan kepada satu puak yg berhimpun atas suatu perkara yg tidak diketahui samada benar atau batil.( rujukan : Syarh Ibn Majah jld 4,m.s. 326,cetakan Dar al-Ma`rifah,Lubnan.)

Sekiranya berjuang dalam keadaan yang tidak tahu benar atau salah dianggap mati dalam jahiliyyah,apatah lagi golongan dan individu yang mempertahankan pemimpin yang terang2 zalim/jahat.

Ini adalah sikap yang lebih jahiliyyah.Golongan jahiliyyah sebelum kedatangan Nabi s.a.w.,terkenal dengan sikap mempertahankan puak sekalipun bersalah.Jahiliyyah moden juga demikian.Mereka terus mempertahankan seseorang pemimpin yang zalim sekalipun mereka sedar dia zalim semata2 kerana parti yg didokong.Maka golongan ini mati jahiliyyah,seperti matinya pendokong2 jahiliyyah yang lalu.

Dalam menjelaskan maksud `asabiyyah,Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,yg maksudnya,"`Asobiyyah itu kamu tolong kaumnya atas kezaliman."

[ Hadith ini riwayat Abu Daud.Kata Ibn Muflih,dalam al-Adab as-Syar`iyyah,hadith ini hasan. (rujukan :al-Adab as-Syar`iyyah,jld 1,m.s. 81,cetakan Muassasah ar-Risalah.) ]

Golongan asabiyyah membukti dan mengamalkan asabiyyah apabila mrk terus menyokong seseorang sekalipun zalim/menindas.Golongan ini mati seperti matinya seorang yangg tidak berpegang kepada Islam,sebaliknya berpegang kepada dasar jahiliyyah.Semoga ALLAH SWT jauhkan kita dari termasuk dalam golongan ini. [ Contoh asabiyyah yang dok ada dalam masyarakat kita la ni,apabila pemimpin tu tak kata apa pun lagi,tapi dia sudah mengiakannya,"Ya betui tu datuk seri." Dia tak tau betui ka,salah ka lagi,dia teus sokong saja. ]

Jikalau kita merujuk sejarah lampau, kekuatan Melayu bergantung kepada 3 faktor utama, iaitu Islam, bahasa Melayu dan amalan adat-istiadat secara warisan. Sekalipun kita pernah dijajah sekian lama, iaitu kira-kira 446 tahun, namun ketiga-tiga faktor tersebut masih kekal utuh sehingga hari ini.

Persoalannya, bagaimanakah proses tersebut berlaku?

Penyerapan diksi daripada Arab/Islam yang begitu banyak sekali dalam bahasa Melayu telah menyebabkan berlakunya proses islamisasi terhadap bahasa Melayu secara tidak langsung. Contohnya, perkataan seperti alim, abah, kerusi, sahsiah, kamus, subuh, maklumat, iklan dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Hal ini telah menyebabkan penggunaan bahasa Melayu berlaku secara meluas dalam pelbagai lapangan dan seterusnya membentuk akal budi, jati diri, pandangan alam dan keperibadian orang Melayu secara keseluruhannya.

Akibat daripada proses ini, perkembangan Islam di Nusantara pada abad ke-15 berlaku dengan pesat dan mudah diterima oleh seluruh masyarakat Melayu baik dari keturunan raja-raja sehinggalah golongan masyarakat marhaen. Kemajuan yang dicapai melalui perkembangan ilmu dan teknologi menerusi bahasa Melayu menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan terkenal seantero dunia pada ketika itu.

Namun begitu, perasaan kecewa dan terkilan timbul bilamana terdapat para pemimpin negara yang cuba menafikan kehebatan bahasa Melayu dengan beranggapan bahawa bahasa Melayu cuma bersifat tempatan dan tidak maju dengan mengemukakan hujah-hujah yang tidak berasas!

Lebih mendukacitakan lagi, ada pula yang cuba berlagak pandai dengan mengubah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia demi keharmonian dan perpaduan negara. Walhal, bahasa Portugis yang digunakan di Brazil tidak pula ditukar menjadi bahasa Brazil atau bahasa Sepanyol di Argentina ditukar ganti menjadi bahasa Argentina!

Sebenarnya, penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ sebagai galang ganti kepada bahasa Melayu tidak akan membentuk keharmonian dan perpaduan di dalam negara kita yang memiliki kepelbagaian agama, bangsa, ras, etnik, adat dan budaya. Sebaliknya, kecenderungan berlakunya salah faham dan kecelaruan dalam masyarakat menjadi semakin tinggi.

Penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ didapati seolah-olah kita membenarkan penyerapan semantik dan nilai-nilai yang terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain seperti Mandarin, Tamil, Inggeris, Kadazan, Iban, orang Asli dan sebagainya. Proses ini dikhuatiri menjadi penyebab berlakunya de-islamisasi secara halus dan tersembunyi sebagaimana yang berlaku di Indonesia kini.

Monday, December 5, 2011

Sebutan Untuk Seorang Perawi Hadis


Ada beberapa predikat yang digunakan ulama Ahli Hadis untuk menyebutkan seorang perawi untuk menilai hadis yang diriwayatkan.Istilah yang sering muncul dalam kitab2 hadis sebagai berikut:

A.Menunjukkan Hadis Sahih:

1.Siqah-terpercaya, terkukuhkan

2.Hujjah-dipakai hujah

3.Tsabtu-dapat dipercayai

4.Dhabit-sedar benar-benar

B.Menunjukkan Hadis Hasan:

1.Soduq-perkataannya banyak yang benar.

2.La Ba’sa bihi, Arju An La Ba’sa bihi, Ba’sun-tidak mengapa, tidak apa-apa.

3.Soduqun Yukhthi’-perkataannya banyak yang benar tapi kadang2 salah.

4.Muqribul-Hadis—menjadi kerabat hadis.

5.Fulanun Rawau anhu-banyak orang meriwayatkan dari si Fulan

6.Ikhtalato Bi Akharatin-di usia tua daya ingatnya menurun.

C.Menunjukkan Hadis Dhaif

1.Ruknul Kazib-tiang dusta

2.Kazzab, Wadhdha’-banyak dusta, banyak memalsu hadis

3.Muttahamun bil Kazbi, bil Wadh’i-tertuduh mendustakan hadis, memalsukannya.

4.Matrukul Hadis-hadisnya ditinggalkan.

5.Sakatu anhu-mereka mendiamkannya

6.Laisa bis Siqah-dia tidak terpercaya.

7.Mardudul hadis-ditolak hadisnya.

8.Laisa bisy Syai’-tidak bernilai

9.Dan lain2 predikat yang berkesan negatif terdapat seorang perawi.Atau berkenaan bahawa hadis itu maudhu’, terlalu dhaif atau dhaif.

Sunday, December 4, 2011

Jadikan Zikrullah Tugas Utama Kita


Di dalam al-Quran, banyak sekali ditemui perintah supaya berzikir.Contohnya adalah ayat berikut ini: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang,maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring.Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram(berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu(dengan sempurna sebagaimana biasa).Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang2 yang beriman yang tertentu waktunya.”(an-Nisa’:103)
Menurut Ibnu Abbas ayat ini mengandungi 2 makna:
1.Menyebut-nyebut Allah lebih baik daripada menyebut-menyebut diri kamu semua sendiri.
2.Mengingati Allah lebih utama dibandingkan dengan semua ibadah lainnya.
Sekiranya seseorang menyelami dalamnya makna ayat2 al-Quran tentang zikir, maka dia akan tenggelam dalam kesyahduan.Dia akan lupa waktu dan keadaan.Di mana pun berada dan kegiatan apa pun yang sedang dilakukan lidahnya akan selalu basah dengan zikir.Zikir pada Allah tidak akan menjadikan kerja seseorang terbengkalai.Beberapa orang sahabat kanan adalah peniaga berjaya. Nyatanya zikir tidak menjadikan aktiviti perdagangan mereka terabai.Para sahabat kanan yang hebat dalam berzikir ada yang bekerja sebagai tukang kayu,pembuat roti,penangkap ikan,tentera,pedagang bulu binatang,pembuat kunci dan sebagainya.Selain dari itu,mereka bahkan tidak lalai dalam kewajipan mengajar orang Islam.
Rasulullah SAW sering bercakap,memuji serta menyuruh para sahabatnya supaya berzikir.Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berjalan di jalan kota Mekah.Ketika melalui Gunung Jamdan beliau berkata: “Gunung Jamdan ini saksi al-Mufarridun”
“Siapa al-Mufarridun itu wahai Rasulullah?”tanya sahabat.
“Mereka adalah orang yang banyak berzikir mengingati Allah.”(HR Muslim)
Dalam riwayat Tirmizi disebutkan “Siapa al-Mufarridun itu Rasulullah?”
“Mereka adalah orang yang sibuk berzikir mengingati Allah.Mereka meletakkan zikir sebagai kegiatan yang paling utama.Sehingga pada Hari Kiamat kelak mereka datang mengadap Allah dengan beban yang ringan.”
Abu Musa r.a meriwayatkan bahawRasulullah SAW bersabda: “Perbezaan orang yang ingat Allah dan yang tidak mengingatiNya laksana perbezaan antara orang hidup dan orang mati.”(HR Bukhari)
Dari Abdullah b Yasar,diriwayatkan seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Syariat Islam terlalu banyak bagiku.Beritahu padaku suatu perkara yang harus kulakukan dengan bersungguh-sungguh.”
“Jaga lidahmu agar selalu basah dengan zikir mengingati Allah,”jawab Rasulullah SAW(HR Hakim)
“Pertanyaan terakhir sebelum diriku berpisah dengan Rasulullah SAW ‘Apa perkara yang paling disukai Allah?”kata Muaz b Jabal r.a.
Dan Rasulullah SAW pun menjawab: “Menutup usia dalam keadaan lidah basah kerana berzikir kepada Allah.(HR Thabarani)
Wasiat terindah yang diucapkan Rasulullah SAW adalah wasiat yang diberikan pada Ummu Anas.
“Rasulullah,berilah wasiat kepadaku,”kata Ummu Anas.
“Hijrahlah dari maksiat kerana itu adalah hijrah yang terbaik.Jagalah semua kewajipan kerana itu adalah perjuangan paling sukar.Banyak-banyaklah berzikir mengingati Allah sebab tidak ada cara lain yang paling Dia sukai untuk mendekatiNya selain dari banyak berzikir mengingatiNya,” jawab Rasulullah.
Satu dari 7 golongan yang dinaungi Allah di bawah payungNya pada Hari Kiamat kelak-hari di mana tidak ada tempat untuk berteduh adalah “Seseorang yang berzikir kepada Allah sendirian lalu air matanya mengalir kerana takut padaNya.”
Dalam asy-Sya’b, Umar b Khattab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah Taala berfirman: ‘Orang yang menyibukkan diri dengan berzikir mengingatiKu maka Aku akan memberinya anugerah terbaik yang diminta manusia.”(HR Baihaqi)
Selain itu jangan pula mempedulikan gangguan dan godaan seperti saranan as-Sayyid al-Hifni pada ad-Dardir: “Wahai orang yang merentas jalan menuju pada Tuhan, tinggalkan ahli maksiat agar dapat bertahan, saat berzikir jangan endahkan godaan, agar Tuhan dalam hatimu selalu bersemayam(dengan makna majazi).

Friday, December 2, 2011

Awas Bagi Yang Menyifatkan Allah Bertempat(Part 2)


Mengisbatkan(menetapkan) arah dan tempat membawa makna bahawasanya Allah tidak bersifat dengan arah atas(langit) kecuali selepas Dia menciptakan alam.Sebelum penciptaan alam tidak ada arah atas sebagaimana tiada arah bawah.Oleh itu atas atau tinggi suatu tempat adalah sifat baharu.Jadi ia tidak sewajarnya menjadi sifat bagi Allah Taala.

Orang Islam juga wajib beriman bahawasanya tak sama Allah Taala dengan segala yang baharu. Bermakna zat Allah bukan jirim dan aradh,keseluruhan,sebahagian mahupun kelazimannya.Kelaziman jirim adalah mengambil ruang(bertempat).Kelaziman ‘aradh ialah berdiri dengan selainnya.Kelaziman al-kulliyah(keseluruhan) adalah besar dan boleh dipisah-pisahkan.Kelaziman al-juz’iyyah(sebahagian) adalah kecil dan seumpanya.Sekiranya syaitan membisikkan kepada manusia: Sekiranya Tuhan tidak bersifat dengan jirim, aradh, keseluruhan dan sebahagian, maka apa sebenarnya hakikat Allah?Maka jawablah: Tidak mengetahui hakikat Allah yang sebenar melainkan Allah.

Sifat ini diambil daripada firman Allah dalam surah asy-Syura:11: “Tiada sesuatu pun yang sebanding denganNya(dengan ZatNya, sifatNya dan perbuatanNya) dan Dialah Yang Amat Mendengar lagi Amat Melihat.”

Daripada Sunnah Nabawiyah pula daripada Ubai b Kaab ra: Bahawasanya golongan musyrikin bertanya: Wahai Muhammad, terangkan kami tentang Tuhanmu.Maka Allah menurunkan surah al-Ikhlas yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak dan Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesiapa pun yang setara denganNya”.

Maka Allah menyifatkan dirinya.Begitu juga Rasulullah SAW menyifatkan Allah dengan menafikan persamaan dengan makhluk dan kekurangan yang tidak layak dengan zatNya.Maka orang2 beriman memahami bahawasanya Allah tak sama dengan segala yang baharu.

Oleh kerana itu tidak sewajarnya menyifatkan Allah Taala dengan sifat2 baharu.Begitu juga tidak patut menyoal tentangnya yang membawa waham Dia bersifat dengan sifat2 baharu.Namun demikian harus untuk bertanya tentangNya dengan kalimah “Aina” dengan tujuan mengetahui MalakutNya, MalaikatNya ataupun apa saja tentang ciptaanNya yang baharu.Atas inilah ditakwilkan makna apa yang warid daripada syarak tentang soalan “Aina”(Di mana) ataupun khabar2 yang mana zahirnya menunjukkan Allah mempunyai arah dan tempat.Wallahu A’lam.

Awas Bagi Yang Menyifatkan Allah Bertempat


Antara perkara yang ditegaskan golongan mutasyaddidun ialah menyifatkan Allah dengan arah dan tempat.Mereka mengatakan Allah berada di arah atas.Pendirian mereka ini berlawanan dengan apa yang sepatutnya diyakini iaitu mentanzihkan Allah dari sifat tersebut.

Berkata Sayyidina Ali b Abi Talib ra: “Adalah Allah wujud pada azali tanpa tempat, dan sekarang(selepas mencipta tempat) masih tetap sebagaimana azali(tanpa tempat)”. Imam Abu Hanifah ra berkata: “Kataku;bagaimana jika ditanya dimanakah Allah?Katakan bahawasanya Allah itu wujud tanpa tempat sebelumDia menciptakan makhluk”. Berkata Imam Syafii ra: “Sesungguhnya Allah Taala wujud tanpa bertempat.Maka Dia menciptakan tempat sedangkan Dia tetap dengan sifat azaliyah sebelum Dia menciptakan tempat(tak bertempat).Tidak harus bagiNya berubah pada zatNya serta sifatNya.”

Perkara ini juga ditegaskan oleh Imam at-Tohawi dengan katanya: “Dan siapa yang tidak memelihara ia akan menafikan melihat Tuhan di akhirat dan menyerupakan Allah dengan makhluknescaya tergelincir ia dan tiada ia menyucikan(tanzih) akan Allah.Maka bahawasanya Tuhan kita yang Maha Besar dan Maha Tinggi disifatkan akan Dia dengan sifat keesaanNya.Disifatkan akan Dia dengan sifat ketunggalan, tiada pada maknanya seorang daripada makhluk.Dan Maha Tinggi Ia daripada segala sempadan dan segala kesudahan dan segala rukun dan segala anggota dan segala perkakas.Tiada menghimpun akan dia segala pihak yang enam(kanan,kiri,depan,belakang,atas dan bawah) seperti segala yang baharu.”

Kemustahilan Allah bersifat dengan arah dan tempat bertitik tolak dari keyakinan muslimin yang beriman bahawa Allah Taala bersifat Qadim(sedia).Yakni mereka mensabitkan sifat qidam bagi Allah(qidam zati) yakni tiada pembukaan pada kewujudanNya ataupun tiada permulaan pada kewujudanNya.Ini diambil daripada firman Allah dalam surah al-Hadid:3 yang bermaksud: “Dialah Yang Awal(tiada permulaan).Dan juga sabda Rasulullah SAW: “Engkaulah Yang Awal, maka tiada sebelum Engkau sesuatu.”

Maka sifat Qidam menafikan wujudnya sesuatu sebelum wujudNya ataupun wujud sesuatu bersertaNya pada azali.Kerana itu sifat Qidam menafikan makna terdahulunya makhluk atas Allah.Maka sekelian sifat Allah Taala demikian juga bersifat Qadim, tidak berubah dengan terciptanya perkara baharu(antaranya adalah arah dan tempat)

-akan bersambung-

Tuesday, November 22, 2011

Imam Musa al-Kazim ulama ahlul bait


Diceritakan drpd Syaqiq al-Balkhi ra katanya: Pada tahun 149H, saya berangkat ke Baitullah utk menunaikan haji.Dalam perjalananku, saya berhenti sebentar di kota Qadisiyah bersama rombongan yang lain menuju ke sana.

Sementara saya melihat-lihat orang ramai dengan pakaian2 mereka yg berbagai ragam, tiba2 pandanganku tertumpu kepada seorang pemuda yg sungguh cerah wajahnya.Yang seluruh tubuhnya dikelubungi oleh kain guni yang kasar, kakinya memakai terompah kayu.Pemuda ini duduk sendirian tersisih dari orang ramai.

Saya berkata pada diriku bahawa si pemuda ini berpura-pura hendak menjadi seorang sufi dan tentu nanti akan menjadi beban atas orang lain.Saya akan mendapatinya dan akan mengujinya, sesudah itu saya akan mencelanya atas sikap kepura-puraannya itu.

Apabila saya mendekatinya, tiba2 saya dengar dia berkata kepadaku: “Hai Syaqiq!Tidakkah kau tahu bahawa Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Hai orang2 yang beriman!Tinggalkanlah banyak dari buruk sangka terhadap orang lain kerana setengah dari buruk sangka itu berdosa!”(al-hujurat:12)

Sesudah membacakan firman itu, pemuda itu lalu bangun dan beredar dari tempatnya.Rasaku tentu dia tersinggung, tetapi dari mana dia dapat membaca isi hatiku?Ajaib juga!Dia mengetahui namaku padahal saya sendiri tidak pernah bertemu dengannya.Ini adalah suatu perkara yang besar.Tentulah dia terhitung antara salah seorang solih yg termasyhur.

Saya kemudian segera mengejarnya dr belakang tetapi rupanya dia lebih cepat daripadaku.Saya tidak ketemu dia lagi, entah ke mana dia telah menghilangkan diri di antara orang ramai di situ.

Rombongan kami berangkat lagi dari kota Qadisiyah itu menuju ke Arafah.Ketika kami berada di sana saya bertemu sekali lagi dgn pemuda itu.Kali ini saya lihat dia sedang giat bersembahyang sedang semua anggota badannya bergoncang dan air matanya mengalir.Saya lalu duduk di dekatnya menunggu dia selesai dari sembahyang dan dalam hatiku mengatakan bahawa aku mesti maminta maaf atas kesilapanku.

Sesudah selesai dari sembahyang itu dia lalu menoleh kepadaku dan berkata: “Hai Syaqiq!Bacalah firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Aku(Allah) adalah Maha Pengampun kepada siapa yang kembali kepadaKu, beriman kepadaKu, mengerjakan amal solih, kemudian dia mencari jalan yang benar”(Toha:82)

Begitu dia habis membaca firman itu,dia telah menghilangkan dirinya sekali lagi.Di sini lebih susah lagi bagiku untuk mengejarnya kerana kesesakan orang di tempat itu.

Saya terus tafakkur dalam diriku, kataku:Pemuda ini telah dua kali dapat membaca isi hatiku, lalu menegurku dengan ayat2 Quran.Maka tentulah dia ini dari para Abdal yang besar,meskipun dia masih muda umurnya.

Kemudian di waktu saya berada di Mina, sekali lagi saya melihatnya.Kali ini dia sedang menuju ke sebuah perigi.Di tangannya ada sebuah bekas untuk mengambil air.Saya segera menuju kepadanya.Pemuda itu lalu menghulurkan tangannya untuk mengambil air dan air ketika itu agak jauh sedikit untuk dijamah oleh tangan.Tidak disangka-sangka bekas itu terlepas dari tangannya lalu jatuh ke dalam perigi.Nah, apa yang hendak dibuatnya sekarang!-kataku di dalam hati.

Saya lihat dia mengangkat kepalanya ke arah langit seraya memohon, katanya:

Kepada Engkau kukembali bila aku merasakan kehausan!

DaripadaMu juga kuminta makanan bila aku merasakan kelaparan!

Ya Allah!Ya Tuhanku!Aku tidak punya bekas selainnya, janganlah Engkau ambil dia dari tanganku!

Begitu selesai dari doanya, demi Allah, saya lihat air perigi itu beransur naik seolah-olah ada mata air yang sedang mengisinya dari bawah.

Pemuda itu lalu mencelupkan tangannya ke dalam air perigi itu dan mengeluarkan bekas yang jatuh ke dalam air itu tadi.Dia lalu meminum air itu sepuas-puasnya, mengambil wuduk.Kemudian berdiri sembahyang 4 rakaat.Setelah habis dari sembahyang itu, dia terus mengambil segenggam dari pasir di tempat itu dan dibubuhnya ke dalam bekas itu serta dikocak-kocakkannya dgn air yang ada di dalam bekas itu lalu dia meminumnya.

Saya sungguh takjub sekali apa yang dibuat oleh pemuda itu lagi.Dia minum apa yang ada dalam bekas itu setelah saya lihat dia membubuh di dalamnya segenggam pasir itu.

Saya menghampirinya seraya berkata kepadanya:

“Berilah aku sedikit dari rezeki yg diberikan Allah kepadamu!”pintaku kepadanya.Saya lebih banyak ingin tahu apa yang di dalam bekas itu yang dimakan oleh pemuda itu, daripada merasa lapar dan hendak makan untuk mengenyangkan perutku.

Pemuda itu merenung wajahku seolah-olah dia mengingkari sesuatu pada diriku, kemudian dia berkata:

“Hai Syaqiq!Nikmat Allah itu terlalu banyak yang diberikanNya kepada kita, ada yang zahir dan ada yang batin.Bersihkanlah hatimu dan jangan suka mensyaki apa2!”

Pemuda itu lalu memberikan saya bekas itu, dan saya pun meminum daripadanya.Saya rasa dia itu bubur sawiq yang manis, dan rasanya enak sekali serta baunya harum pula.Demi Allah, saya belum pernah merasakan bubur sawiq yang begitu lazat seumur hidupku seperti apa yang saya makan itu.Saya terus menghirup bubur itu sampai kenyang.Kenyang perutku berterusan hingga beberapa hari sehingga saya tidak inginkan makanan yang lain dalam waktu itu.

Setelah saya kembalikan bekas itu kepadanya semula dia terus beredar lagi dan dia tidak kelihatan lagi hingga kami berada di Mekah.

Pada salah satu malam di Mekah sekali lagi saya terlihat pemuda itu di pinggir kubah air zamzam.Dia sedang berdiri bersembahyang dengan penuh khusyuknya.Dalam sembahyangnya yang mengambil masa yang panjang saya terdengar suara keluh kesahnya dan suara tangisannya yang sungguh memilukan siapa yang berada di sampingnya itu.Dia terus bersembahyang rakaat demi rakaat hingga muncul waktu fajar barulah dia berhenti.Kemudian disambungnya pula dengan bertasbih dan berzikir kepada Allah.

Apabila sembahyang subuh didirikan dia turut bersembahyang jemaah dengan kami.Selesai subuh, dia lalu bertawaf mengelilingi Ka’bah 7 kali kemudian dia meminggirkan dirinya dari tempat tawaf itu menuju ke suatu tempat di pinggir masjid itu.

Saya mengikutinya dari belakang untuk melihat apa yang dibuatnya sesudah itu.Saya lihat setelah dia duduk, dia dikelilingi oleh ramai orang,mungkin pengiring2 dan pengikut-pengikutnya.Orang2 ini ternyata datang dari pelbagai tempat dan mereka bertemu setiap tahun di situ.Sebab dalam perjalanan kami saya tidak melihat seorang pun dari mereka dalam rombongan kami itu.

Saya ikut duduk di situ mengelilinginya dan orang ramai terus datang membanjirinya dari pelbagai arah dari masjid itu.Saya ingin tahu siapa sebenarnya pemuda ini?Selama ini saya lihat bermacam-macam keajaiban daripadanya tetapi tidak terlintas hendak bertanya siapa gerangan pemuda ini.

“Wahai saudara!Boleh saya bertanya sedikit?”Saya menujukan pertanyaan itu kepada seorang yang duduk di sebelahku. “Boleh,”jawabnya.

“Siapa pemuda ini?”kataku kepadanya. “Kau belum tahu?”tanyanya kembali kepadaku.Saya menggeleng-gelengkan kepalaku.

“Dia ini Musa b Ja’far b Muhammad b Ali b Husain b Ali b Abu Talib,”jawabnya tersenyum.

“Oh dari keturunan Sayyidina Ali Zainul Abidin b Husain,” kataku pula sambil mengangguk-anggukkan kepalaku.

Orang yang di sebelahku itu sengih lagi seraya berujar: “Orang yang baik dari keturunan yang baik!”

Daripada Syeikh Kamaluddin Tolhah bahawa Imam Musa al-Kazim mempunyai 37 orang anak.Yang termasyhur ialah Imam Ali ar-Ridha rodiyallahu anhum ajmain.

Moga2 Allah menurunkan rahmat berkat dari mereka sekelian serta mengurniakan manfaat bagi kita dunia dan akhirat, Amin!