Monday, July 16, 2012

Ijazah amalan@zikir daripada orang mati kepada orang hidup


Pada malam aku diisra`kan Allah s.w.t. aku berjumpa dengan Nabi Ibrahim. Baginda berkata kepadaku:- "Ya Muhammad, sampaikan salamku kepada umatmu dan khabarkan kepada mereka bahawa sesungguhnya syurga itu amat subur dan airnya pun tawar, tanamannya adalahsubhanaAllah wal hamdulillah wa la ilaha illaAllah wa Allahu Akbar."

Pehin Mufti Brunei telah menjadikan kisah ini antara dalil bagi mengharuskan ijazah amalan atau zikir daripada orang mati kepada orang hidup. Ini dinyatakan dalam kertaskerja beliau yang diterbitkan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam dengan jodol "Tasawuf dan Tarikat Menurut Pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah", pada mukasurat 101 - 102 Almarhum Pehin menyatakan antara lain:-

  • Kalau kiranya ada dikatakan zikir-zikir Muhammadiyah itu dapat ijazah daripada Rasulullah dalam Kaabah, jangan lekas mengingkari, (se)bagaimana disiarkan oleh media massa, iaitu tersebut dalam hadis-hadis Israk bahawa Nabi Ibrahim a.s. telah berpesan kepada Nabi kita s.a.w. supaya sampaikan salam baginda kepada umat Sayidina Muhammad, dan berpesan supaya umat Sayidina Muhammad beramal dengan zikir yang disebutkan oleh baginda.
  • Daripada sahabat Ibnu Mas`ud r.a. telah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: Saya berjumpa Nabi Ibrahim a.s. malam Israk saya itu, maka Nabi Ibrahim bersabda: "Ya Muhammad sampaikan salam saya kepada umat kamu," ('alaikas salam ayyuhan Nabiyu Ibrahim), dan kamu khabarkan kepada mereka bahawa syurga itu bagus tanahnya, nyaman airnya dan rata luas tanahnya dan tanamannya : subhanaAllah wal hamdulillah wa la ilaha illaAllah wa Allahu Akbar. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzi dan katanya hadis ini hasan.
  • Pada hadis ini bahawa Nabi kita mendapat ijazah daripada Sayyidina Ibrahim a.s. yang wafat dalam barzakh dan Nabi kita yang hidup dalam Israk. Jadi kalau ada orang mendapat ijazah daripada Nabi kita dalam Kaabah setelah wafat Nabi kita, tiada boleh diingkarkan (se)bagaimana seorang pemuda dapat ijazah berselawat daripada Nabi kita di dalam Kaabah, (se)bagaimana disebut oleh al-Imam Sufian ath-Thawri yang dibukukan oleh al-Hafiz Abu Nu`im dalam al-Hilyah dan disebutkan oleh al-Muhaddits al-Ghumari dalam kitabnya "an-Nafhatul Ilahiyyah fis sholati 'ala Khairil Bariyyah".......