Makrifah Tauhid Bagi Jazam


Assalamualaikum. Alhamdulillah kita diberi nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Semoga kita diberi istiqamah untuk melakukan amal-amal Islami. Mungkin ini post ambo yang terakhir dalam blog ni pada tahun ni. Kali ini ambo nak bahaskan tentang maksud makrifah menurut ulama tauhid dan ambo memadai dengan merujuk kitab Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma’rifati Rabbil Alamin karya Tuan Husin Kedah al-Banjari. Maqam Tuan Husin terletak di Masjid Tuan Husin di Titi Gajah tapi malangnya orang Titi Gajah sendiri pun ada yang tak kenal beliau. Malang sekali bila ulama dan wali Allah berdekatan dengan kita namun kita tidak mengambil barakahnya. Ambo kekalkan bentuk penulisan kitab ni agar tak lari daripada maksud pengarang dengan sedikit olahan bahasa yang bersesuaian dengan masa kini. Jika ada ulasan tambahan ambo buatkan kurungan […]. Jika ada mana-mana asatizah yang jumpa ibarat dalam kitab lain ambo alu-alukan untuk komen. Moga-moga usaha ini member manfaat kepada mereka yang membaca serta diri ambo sebagai bekalan akhirat kelak. Maka ambo mulakan maksud ambo ni dengan izin Allah.

Bermula haqiqat makrifat itu:

الجزم المطابق للحق عن دليل

Ertinya: Pengetahuan yang jazam tetap [ yakin 100% ] yang muwafaqat bagi yang sebenarnya yang ada ia daripada dalil.

Mafhumnya – Pengenalan yang tidak berubah dan tidak bergoyang dengan sebab tidak ada syak, zon dan waham. [ Secara mudahnya boleh kita katakana syak itu makrifat 50%, zon itu makrifat 75% dan waham itu makrifatnya Cuma 25% ]

Lagi Muwafaqat – ertinya berbetulan ia bagi haqiqat pekerjaan [ perkara ] yang dikenal akan dia.

Lagi yang diambil akan dia dengan Dalil.

Tanbih – Dan jika tidak tetap seseorang itu pada iktiqadnya dengan bahawa syak ia atau zon ia atau waham ia padanya dan jika berbetulan ia bagi yang sebenarnya sekalipun maka dinama akan dia Jahil Basit. [ contohnya seperti seseorang yang syak atau zon dengan kewujudan Allah Taala ]

Dan jika jazam ia padanya tetapi tidak berbetulan ia bagi yang sebenarnya maka dinama akan dia Jahil Murakkab seperti iktiqad Nasoro dengan tiga tuhan dan iktiqad Majusi dengan dua tuhan dan iktiqad Falasifah [ ahli falsafah ] dengan Qadim segala aflak [ planet ]. Maka barangsiapa bersifat ia dengan salah satu daripada dua jahil itu pada mengenal Allah Taala dan rasulNya maka tidak sah imannya.

Dan jika jazam ia pada iktiqadnya dan muwafaqat pula bagi yang sebenarnya tetapi sunyi ia daripada dalil [ tak dapat mendatangkan dalil sama ada dalil naqli mahupun dalil aqli ], maka dinama akan dia Taqlid – ertinya mengikut ia akan orang yang lain pada iktiqadnya. Bermula iman orang yang taqlid itu ikhtilaf ulama padanya. Bermula yang muktamadnya iaitu sah imannya jika jazam ia dengan dia.

[ Imam al-Baijuri rahimahullah ketika mengulas tentang iman taqlid dalam kitab “Tuhfatul Murid ala Jauharatit Tauhid” menyatakan sekiranya orang yang bertaqlid jazam dengan perkataan orang lain dengan jazam yang kuat di mana sekiranya orang yang ditaqlidkan itu berpaling daripada pendapatnya namun orang yang bertaqlid tadi tidak bergoyang imannya maka memadai imannya tersebut. Dari segi hokum dunia orang yang bertaqlid dalam imannya berjalan hokum-hukum syarak di dunia. Maka boleh dinikahi, dijadikan imam solat, dimakan sembelihannya, dipusakai hartanya oleh warisnya yang Islam dan ditanam mayatnya di perkuburan Muslimin. Begitu juga hokum-hukum akhirat. Maka dia tidak kekal di dalam api neraka jika taqdir Allah menghendaki dia masuk ke neraka dan kesudahannya Berjaya di syurga. Maka orang yang bertaqlid dalam aqidah adalah Mukmin, tetapi dia berdosa dengan meninggalkan pencarian dalil jika dia berkemampuan melakukan demikian. Jadi marilah sama-sama kita tambahkan pengetahuan kita dengan mengaji sungguh-sungguh perkara aqidah supaya terlepas daripada iman taqlid ]

Bermula dalil yang dituntut daripada mukallaf itu terbahagi ia atas dua bahagian dan memadai dengan didiri akan salah satu daripada keduanya jua.

Pertamanya – Dalil yang bangsa Naqliyah – iaitu seperti engkau iktiqad akan wujud Allah dan wujud segala sifatNya dan wujud segala makhluk ini daripadaNya [ penciptaanNya ] dan dijadikan akan dia mazharNya padahal engkau ambil dalil atas sebenar barang yang engkau iktiqad itu daripada firmah Allah Taala:

ولله المشرق والمغرب فأينما تولوا فثم وجه الله

 Ertinya: Bermula masyriq [ timur ] dan maghrib [ barat ] dan barang yang antara keduanya itu milik bagi Allah. Maka barang di mana berhadap kamu dengan pancaindera kamu yang zahir dan yang batin maka kamu dapatlah di sana satu kaun [ kejadian ] yang menunjuk ia atas wujud Allah yang mengada ia akan dia.(al-Baqarah: 115)

Keduanya – Dalil yang bangsa Aqliyah – iaitu seperti engkau kata bermula berubah-ubah uang maujud pada segala alam ini iaitu menunjuk ia atas baharunya. Dan demikian berubah-ubah itu dengan tergagah atasnya [ bukan dengan pilihan ] dengan dalil berulang-ulang ia iaitu menunjuk ia atas lemahnya dan kekurangannya. Bermula tiap-tiap yang baharu dan yang lemah dan yang kekurangan itu menunjuk ia atas ada orang yang membaharu akan dia dan menjadi akan dia lemah dan kekurangan yang bersifat Dia [ Maha Pencipta ] dengan segala sifat kamalatNya [ perlu diberi perhatian kepada mereka yang pening seperti Wahhabi bahawasanya sifat Allah bukan terbatas setakat 20 sifat sahaja ] yang Qadimah iaitu Allah Taala.

Dan diketahui akan bahawasanya Allah yang membaharu akan ini alam dan yang menjadi akan dia lemah dan kekurangan dengan khabar Rasulyang dibangkit akan dia kepada kita dan dikuat akan dia dengan beberapa mukjizat yang menunjuk ia atas benar perkhabarannya. Dan dengan diturun atasnya kitab menyatakan yang tersebut itu dan menyatakan beberapa hukum daripada pekerjaan agama dan dunia dan halal dan haram dan suruh dan tegah dan lainnya.

Ibnu Azmi asy-Syafii,
Pemukim Sungai Petani.


Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Aurat Lelaki Ketika Solat