Kajian Dr Asmadi Mengenai Wahabi(Part 1)


Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah:

Gerakan Tajdid & Pemikiran Najdiyyin

Di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

Tajuk: Wacana Religio-Intelektual Najdiyyin: Pro & Kontra Terhadap Peranannya pada Tamaddun Ummah

Oleh: Dr. Asmadi Mohamed Naim

Profesor Madya Universiti Utara Malaysia

24 Januari 2010

Abstrak:

Artikel ini bertujuan menjelaskan aliran Gerakan Najdiyyin dengan merujuk secara khusus pembawaan Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab dan alirannya. Artikel ini cuba untuk memahami siapakah pendokong, penyanggah dan mereka yang agak pertengahan dalam mengkritik beliau. Artikel ini juga mendatangkan isu-isu yang diperjuangkan oleh Sheikh ini dan beberapa tuduhan oleh pihak penentang.

Pandangan penulis dalam artikel ini adalah dengan merujuk buku-buku pendokong dan penyanggah aliran ini. Di akhirnya penulis membentangkan beberapa isu yang mungkin akan meneruskan ketidaksepakatan dan fitnah berterusan antara kedua-dua pihak. Semoga Allah SWT mengurniakan kita jalan yang lurus.

Penulis ialah Profesor Madya (Kewangan Islam) di Kolej Perniagaan, UUM dan boleh dihubungi melalui emel asmadinaim@gmail.com dan keterangan lanjut mengenainya boleh didapati di www.drasmadinet.blogspot.com.

1.0 PENDAHULUAN

Aliran Najdiyyin yang dimaksudkan dalam artikel ini ialah pemikiran Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab (1115H – 1206H bersamaan1703M-1787M) dan pengikut-pengikut aliran pemikirannya sehingga ke hari ini.

Dalam memberikan pengklasifikasian terhadap pendokong pemikiran ini, terdapat sedikit kesukaran dalam menentukan individu yang mendokong atau individu yang menentang. Kesukaran berlaku kerana terdapat ulama-ulama semasa yang menyetujui pembawaan Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab dalam beberapa perkara, tetapi menafikan mereka menyetujui kesemua pembawaan Sheikh tersebut.

Demikian juga, ramai ulama lain lebih selesa menyandarkan pandangan mereka kepada Imam Ibn Taymiyyah atau Imam Ibn Qayyim, berbanding dengan pandangan Muhammad Abd al-Wahhab. Sebagai contoh, penulisan Sheikh Yusof al-Qardhawi banyak merujuk terus kepada Imam Ibn Taymiyyah berbanding dengan aliran Muhammad Abd al-Wahhab. Bahkan Sheikh al-Qardhawi tidak bersikap 'mengkafir atau menyesatkan' Ahlusunnah wal Jamaah aliran Asyairah dan Maturidiyyah.

Demikian guru saya, Dr Abu Laith Kharul Abadi, walaupun banyak menggunakan pandangan Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim, beliau masih mengklasifikasikan Asyairah dan Maturidiyyah sebagai fahaman Salaf.

Lebih menyukarkan lagi, sesetengah ulama-ulama semasa menyedari adanya sokongan kuat dari sesebuah negara terhadap aliran ini. Justeru, untuk mengelak dari kelihatan mengkritik sesuatu negara, mereka 'bermujamalah' tetapi dalam masa yang sama mengemukakan hujah menolak satu-persatu pegangan aliran ini.

Justeru, artikel ini hanya berupaya menyenaraikan pendokong atau penyanggah yang tegar iaitu mereka yang secara terang-terangan mendokong atau menyanggah pandangannya.

2.0 PANDANGAN PENDOKONG:

Secara ringkasnya, antara tokoh-tokoh semasa yang berpegang kukuh kepada pendekatan aliran Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab ialah Sheikh Abd al-Aziz Ibn Baz, Dr. Abdullah al-Salleh al-Uthaimin, Dr Saleh Fauzan al-Fauzan dan lain-lain.

Muhammad Zakaria Daud menukilkan dalam kertas kerja, sokongan beberapa ulama terhadap Sheikh Muhammad Abd al-Wahhab, antaranya ialah al-Zirkili (pengarang kitab al-I'lam), Syeikh Muhammad al-San'ani (pengarang kitab Subul al-Salam) dan Muhammad Ali al-Syaukani (pengarang kitab Nail al-Autar) serta Muhammad Rasyid Redha.

Para pendokong aliran ini berpandangan aliran ini mendokong perkara-perkara berikut:

1. Berkenaan tauhid Uluhiyyah dan furu'nya seperti istighathah, berdamping kepada selain daripada Allah, tawassul, nazar, sembelih, bersumpah dengan makhluk dan sebagainya.

2. Menekankan mengenai Tauhid al-Asma' was sifat.

3. Muhammad bin Abd al-Wahhab menentang khurafat dan bid'ah

i. Pemujaan terhadap kubur, pokok, batu serta memohon hajat daripadanya.

ii. Maysrakat di negeri Najd memuja dan memohon hajat daripada kubur Zaid Ibn al-Khattab dan Dirar al-Azwar, dengan keyakinan ia boleh menunaikan hajat.

iii. Memuja pokok-pokok tamar jantan yang besar, jika seorang perempuan lewat kahwin dia akan pergi ke pokok berkenaan lalu memeluk dan memohon hajat daripadanya seraya berkata: Hai jantan segala jantan! Aku inginkan seorang suami sebelum habis tempoh.

iv. Di Daerah Dir'iyyah (bahagian selatan negeri Najd) terdapat sebuah gua yang didakwa terbentuk untuk menyelamatkan seorang wanita yang teraniaya, dikenali Bint al-Amir, lalu mereka memujanya dengan menghantar dan meletakkan makanan seperti daging dan roti di dalamnya.

v. Di daerah yang sama ada seorang lelaki yang dikenali dengan nama Taj

Al-Mandeely mengatakan:

Kebanyakan masyarakat Islam ketika itu sentiasa berulang alik ke kubur-kubur yang didakwanya sebagai kubur para sahabat dan para wali. Tanpa disedari mereka melakukan upacara ibadat yang tidak selayaknya melainkan untuk Allah seperti bernazar, tawaf, meyembelih, meminta tolong dan sebagainya. Mereka seolah-olah tidak mengenal Allah. Apabila ditimpa musibah atau sakit, maka mereka akan menjerit-jerit menangis berdoa dan meminta tolong di kubur-kubur.

3.0 PANDANGAN PENGKRITIK DAN PENYANGGAH

Terdapat ramai ulama yang mengkritik aliran Wahhabi. Ulama-ulama semasa yang mengkritik aliran ini ialah Imam Abu Zahrah, Prof. Dr Ramadahan al-Buti, Prof. Dr Muhammad Alwi al-Maliki, Prof. Dr Abd al-Malik al-Sa'di (bekas Mufti Iraq) dan lain-lain. Shekh Muhammad Fuad Kamaluddin menyenaraikan nama 100 orang ulama dan penulisan mereka yang menolak fahaman Sheikh Muhammad Abd alWahab.

Dalam teks di bawah, iaitu Mufti Mazhab Hanbali di Mekah (wafat 1295H), Syeikh Muhammad ibn Abdullah al-Najdi al-Hanbali pernah menulis dalam kitabnya 'alSuhub al-Wabilah 'ala Daroih al-Hanabilah' sepertimana berikut:

Bermaksud: Beliau (Abd al-Wahhab) adalah bapa kepada Muhammad ibn Abd alWahhab seorang pendakwah yang menyebarkan kejahatannya ke seluruh pelusuk dunia. Tetapi di antara mereka (bapa dan anak), terdapat perbezaan yang ketara. Muhammad tidak menzahirkan dakwahnya melainkan selepas bapanya meninggal dunia.

Dikhabarkan kepada saya oleh sebahagian ulama sezaman dengannya yang pernah saya temui, bahawa bapa Muhammad ibn Abd al-Wahhab amat marah kepadanya kerana beliau tidak redha Muhammad ibn Abd al-Wahhab hanya sibuk mempelajari feqah seperti orang-orang yang terdahulu dan penduduk di tempatnya. Beliau juga berfirasat bahawa akan terjadi sesuatu yang buruk kepada anaknya.

Begitu juga Sulaiman yang merupakan adik kandung Sheikh Muhammad menafikan dakwah yang dibawa oleh abangnya, dab menolaknya dengan hujjah yang baik bersumberkan ayat-ayat dan athar-athar. Dan Muhammad ibn Abd alWahhab tidak merujuk kepada pendapat ulama mutaqaddimin atau mutaakhkhirin tetapi hanya merujuk kepada pandangan Sheikh Taqiyuddin Ibn Taymiyyah dan anak muridnya Ibn al-Qayyim. Beliau melihat pendapat kedua-dua orang ulama tersebut sebagai suatu nas yang harus diterima bulat-bulat dan tidak boleh ditakwilkan, sekalipun tidak difahami. Oleh kerana itu, Sulaiman menulis kitab untuk menolak fahaman yang dibawa oleh saudaranya yang dinamakan dengan:

Fasl al-Khitab fi al-Radd 'ala Muhammad Ibn Abd al-Wahhab.

Dapat difahami di sini, adik Sheikh Muhammad ibn Abd al-Wahhab juga menentang pemikirannya.

Dalam memperkatakan kritikan terhadap Gerakan Aliran Wahhabiyah, saya tertarik dengan penjelasan Imam Muhammad Abu Zahrah. Beliau mengatakan yang bermaksud:

Telah lahir Wahhabiyah di Gurun Sahara Arab disebabkan berlebih-lebihan pada mentaqdiskan manusia dan mengambil berkat terhadapnya, dan meminta dekat dengan Allah dengan menziarahi orang-orang ini; ia juga natijah dari banyaknya bid'ah yang bukan daripada agama. Terlebih ketara bid'ah-bid'ah ini pada musim-musim keagamaan dan amalan-amalan agama.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat