Sifat 20

Ulama Al-Asya'irah menetapkan 20 sifat bagi Allah s.w.t. yang wajib diketahui dan diimani oleh kita, kerana ianya tekandung dalam dalil-dalil qot'ie (yang kuat lagi jelas) samada dalil tersebut adalah dalil naqli (dari Al-Qur'an dan As-Sunnah) mahupun dalil aqli (dari hukum akal yang sejahtera/waras).
20 sifat yang asas tersebut merupakan sifat bagi zat Allah s.w.t., samada dalam bentuk sifat wujudiyah, sifat-sifat salbiyah, sifat-sifat ma'ani dan sifat-sifat ma'nawiyah. Adapun selain daripada sifat-sifat yang 20 tersebut, yang disebutkan dalam Al-Qur'an, maka samada ianya kembali kepada 20 sifat asas tersebut (seperti sifat redha dan murka kembali kepada sifat iradah itu sendiri) ataupun merupakan sifat-sifat perbuatan (sifat af'aal) bagi Allah s.w.t. seperti Maha Mencipta dan sebagainya.
Adapun hakikat Allah s.w.t., nama-namaNya dan sifat-sifatNya tiada penghujungNya dan tiada siapa yang mampu menjangkau keseluruhan hakikat Nya dan sifat-sifatNya.
(rujuk Syarh As-Sanusiyyah ala Ummil Barahin)
Segala sifat-sifat yang dua puluh tersebut pada hakikatnya merupakan sifat-sifat maknawi samada dari sudut iktibar akal semata-mata, yang mana sifat-sifat tersebut tidak membawa kepada yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut kepada "mempunyai rupa dan bentuk".
Sifat wujud itu adalah sifat iktibari yang difahami oleh akal, namun tidak mempunyai bentuk dan tidak membawa kepada yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut sebagai berupa dan sebagainya. Begitu jugalah dengan sifat-sifat yang lain.
Allah s.w.t. itu wujud tanpa bentuk, rupa, tanpa dibatasi oleh masa dan tidak bertempat.
Tempat, masa, rupa dan sebagainya semuanya adalah sifat-sifat makhluk sedangkan Allah s.w.t. tidak menyerupai makhluk sama sekali. Inilah yang dijelaskan di dalam Al-Qur'an itu sendiri.
Adapun Allah s.w.t. itu Maha Nyata (Az-Zahir) bukanlah dengan bentuk, rupa dan sebagainya kerana Allah s.w.t. itu Maha Nyata dalam setiap kewujudan kerana setiap kewujudan alam ini ataupun diri kita sendiri, menunjukkan kepada kewujudan Allah s.w.t.. Ini kerana, mustahil alam ini wujud tanpa yang mewujudkan dan yang mewujudkan itu adalah AL-Wajib Al-Wujud yang tidak ada permulaan bagi kewujudanNya. Maka, terzahirlah wujud Allah s.w.t. dalam petunjuk daripada alam ini.
Adapun makna zauqi berkenaan dengan makna Allah yang Maha Nyata ini ada dalam buku-buku para sufi seperti Buku HIkam Ibn 'Atho'illah dan sebagainya.
Allah s.w.t. menzahirkan diriNya dalam hati-hati para waliNya tanpa bentuk, rupa dan sebagainya, sepertimana Dia mendekati para waliNya tanpa jarak, tempat dan sebagainya. Hanya yang merasainyalah yang menghayatinya, sedangkan selain daripada mereka, cukuplah sekadar menafikan sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah s.w.t..
Ilmu Aqidah ini hanyalah pintu bagi permulaan perjalanan seseorang menujuNya dengan bantuanNya. Apa yang penting adalah menterjemahkan ilmu kepada penghayatan dengan melalui jalan tarbiah sufiyah seperti zikir, mujahadah dan sebagainya di bawah bimbingan para mursyid yang kamil.
Wallahu a'lam...

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat