Pesanan Kepada Penguasa Muslimin

Mereka ini tergolong para pekerja pejabat, biar mereka amir, sultan, raja dan siapa saja yang bertanggungjawab untuk menerajukan urusan kaum Muslimin yang wajib menjalankan nasihat dan peringatan kepada mereka, menyedarkan dan mengancam mereka.

Ketahuilah bahawa para penjawat yang menguruskan kendali kaum Muslimin adalah tidak boleh tidak sangat diperlukan.Dan jawatan pemerintah itu adalah suatu perkara yang berat sekali, sedang orang yang mengendalikan jabatan pemerintah itu selalunya dalam bahaya.Jika mereka menjalankan tugas yang diserahkan ke tangan mereka, niscaya mereka akan penat dan lelah.Tetapi jika mereka menyia-nyiakannya pula, niscaya mereka akan binasa dan merana.Sebab Rasulullah SAW telah bersabda: “Setiap kamu bertanggungjawab, dan setiap penanggungjawab akan ditanya tentang tanggungjawabnya.”

Sabdanya lagi: “Sesungguhnya kamu senang sekali hendak memegang jawatan pemerintah, dan sesungguhnya jawatan itu akan membawa penyesalan kelak di hari kiamat.”

Sabdanya lagi: “Ya Allah, Ya Tuhanku!Barangsiapa yang memegang apa pun dari urusan umatku lalu dia menyusahkan mereka, maka timpakanlah ke atasnya kesusahan.Dan barangsiapa yang memegang apa pun dari urusan umatku lalu dia berbelas-kasihan kepada mereka, maka balaslah dia dengan belas-kasihan.”

Sabdanya lagi: “Setiap penguasa atas urusan manusia, melainkan dia akan diseret di hari kiamat sedang kedua belah tangannya terbelenggu pada tengkuknya lalu keadilannya akan melepaskannya atau kezalimannya akan mencelakakannya.”

Sabdanya lagi: “Akan bercita2 nanti beberapa penguasa kalau dia digantung dengan rambutnya di bintang Tsuraiya sekalipun, namun tidak sampai dia menguasai apa pun dari urusan manusia.”
Sabdanya lagi: “Betapa banyak orang yang menyedok harta Allah Taala tanpa jalan yang benar, maka baginya balasan neraka di hari kiamat.”

Awas kamu, bahawa ancaman yang warid ke atas siapa yang menguasai urusan manusia lalu dia tidak berlaku adil dan insaf, tidak menjauhi kezaliman dan penyelewengan adalah sangat berat sekali dan sungguh membahayakan.Sebab itulah tugas ini telah ditinggalkan oleh para muttaqin, yakni orang2 yang mempunyai taqwa dan dijauhi oleh orang2 yang bijaksana yang ada menyimpan perasaan takut dan bimbang di dalam hatinya.Namun siapa yang sudah terbala untuk menerimanya dan tidak ada jalan untuk mengelakkan diri daripadanya, mereka sentiasa hidup dalam takut dan berjaga diri, selalu dalam berhati2 dan menyedarkan diri supaya tidak terburu nafsu.

Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a yang terkenal dengan sempurna keadilannya dan kemuncak berjaga-jaganya pun pernah berkata: “Siapa yang ingin mengambil alih jawatan ini dan memikul semua tanggungjawabnya?Kerana aku mahu menyelamatkan diriku daripadanya, tidak ada tanggungjawab lagi buat diriku atau atas diriku!

Lantaran terlalu takut kalau dia sampai berani menyia-nyiakan apa pun dari urusan kaum Muslimin padahal dia amat cermat dalam menjaga diri, dia selalunya tidak dapat tidur nyenyak, malah setiap malam dia bangun berkata kepada dirinya sendiri: “Jika aku tidur di siang hari, aku akan menyia-nyiakan urusan kaum Muslimin dan jika aku tidur di malam hari aku akan menyia-nyiakan urusan diriku (yakni tiada beramal), bagaimana aku akan tidur di antara dua waktu ini?!

Adalah Sayyidina Ali r.a apabila terkumpul saja wang di Baitul-Mal (perbendaharaan) kaum Muslimin segeralah dia memanggil semua rakyat Muslimin serta membagikannya kepada mereka sampai tiada tinggal satu dirham pun.Kemudian dia menyuruh orang menyapu tempat dan membersihkannya dengan air.Sesudah itu dia akan bersolat di situ seraya berkata: “Sebagaimana tempat ini akan bersaksi ke atasku dengan mengumpulkan harta kekayaan, biarlah dia kini bersaksi buatku dengan solatku di sini.”

Tatkala Umar bin Abdul Aziz rahimahullah ditunjuk menjadi Amirul Mukminin terdengar di tengah rumahnya tangisan yang keras dari sanak familinya.Ramai orang merasa hairan dan ingin tahu sebabnya.Mereka kemudian diberitahu bahawa Umar telah memberikan pilihan kepada para isterinya dan jariah2nya antara tidak boleh datang mendekatinya lagi ataupun mereka akan diceraikan saja.Katanya lagi: “Saya sekarang sedang ditugaskan memikul tanggungjawab urusan kaum Muslimin dan saya tidak sanggup untuk melalaikannya!” Maka mereka sekelian tidak ada jalan lain melainkan memilih tinggal dengannya sesuai dengan syarat yang ditetapkannya.

Ada suatu riwayat yang mengatakan bahawa sejak dia memikul tanggungjawab ini, dia mandi janabah hanya dua kali saja dan masa khilafahnya lebih kurang dua tahun setengah.

Pada suatu hari dia ingin mandi.Maka dibawakan pelayannya suatu bekas air panas dan udara pada ketika itu sangat dingin sekali.Umar pun bertanya kepada pelayannya: “Di mana engkau panaskan air ini tadi?” Jawabnya: “Di dapur orang ramai.” Maka Umar enggan bermandi dengan air itu, malah hendak mandi dengan air sejuk.Pelayan itu membangkangnya: “Kalau engkau mandi juga dengan air sejuk ini, pakai nampak rakyat jelata besok tidak ada khalifah lagilah!” (Yakni kerana cuaca kini amat dingin yang mana engkau akan mati bila bermandi dengan air sejuk seperti ini).Maka Umar berkata lagi: “Jadi apa yang mesti aku buat kerana air ini tidak halal buatku?” Jawab pelayan itu lagi: “Cuba kirakan berapa harga kayu yang dipakai untuk memanaskan air ini.Kemudian engkau gantikan harganya dan kembalikan semula kepada Baitul-Mal, habis cerita."

Daripada sejarah dan jalan hidup para Khalifah yang empat r.anhum itu terdapat banyak tauladan yang boleh kita contohi yang sudah termasyhur bagi orang2 yang membaca sejarahnya.Kalau hendak dibicarakan di sini tentu akan mengambil halaman yang panjang.Semua itu tentu tidak dapat ditiru atau diamalkan sepenuhnya kecuali bagi mereka yang empat saja iaitu: Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Faruq, Usman asy-Syahid dan Ali al-Murtadha.Mudah2an Allah meredhai mereka sekelian.

Diolah oleh:
Mohd Amir Md Azmi, ex-SKTG, ex-SMKAK,

Rujukan:
“Dakwah Yang Sempurna Peringatan Yang Utama” oleh Imam Habib Abdullah Haddad, 
diterjemah oleh Syed Ahmad Semait.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat