Manaqib Syeikh Judah Ibrahim q.s

Gambar di atas adalah Syeikh Muhammad Abu Zaid yang merupakan murid kanan Dr Judah al-Mahdi dan Khalifah Tariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah al-Judiyah sekarang



Manaqib Syeikh Judah Ibrahim r.a(datuk kepada Dr. Judah al-Mahdi an-Naqsyabandi)

Dilahirkan di Kampung al-Aziziyyah di markaz(barangkali mukim kalau di Malaysia) Munya Al-Qomhi dalam negeri asy-Syarqiyyah.Tarikh lahirnya ialah 30 Sya'ban 1264 Hijriyyah.Maka bersinarlah dunia dan terang benderanglah langit dengan kelahirannya.Bagaimana tidak sedangkan beliau adalah syarif daripada keturunan Nabi Muhammad SAW. Beliau ialah As-Sayyid As-Syeikh Judah Bin As-Sayyid Ibrahim Bin As-Sayyid Mustafa Judah  رضى الله عنه وعنا به .

Bapanya bernama Sayyidi Ibrahim bin Sayyid Mustafa Judah r.a.Nasabnya sampai kepada Qutub pertama iaitu Maulana al-Imam al-Hasan bin Sayyidina Ali Karamallu Wajhah wa radyiallahu anhuma fid darain. Amin.

Ibunya yang mulia bernama Sayyidah Syammah yang bersambung nasabnya sampai kepada Maulana al-Imam al-Husain cucu penghulu sekalian alam Rasulullah SAW رضى الله عنهم وعنا بهم

Sebelum ibunya hamil , bapanya telah bermimpi bahawa dijarinya terdapat cincin yang mana permata di cincin itu bersinar menerangi seluruh dunia. Maka ahli kasyaf dan makrifah menafsirkan mimpi itu bahawa beliau akan memperolehi seorang anak lelaki yang menjadi imam yang memenuhilah cahaya ilmu dan makrifahnya ke seluruh alam dan anaknya itulah wali qutub di zamannya.


Syeikhuna Judah Bin Ibrahim membesar dengan menghafaz Al-Quran pada awalnya. Di antara bukti beliau akan menjadi wali qutub apabila dewasa ialah dengan kedatangan wali-wali Allah dari Negara Syam dan Turki kepadanya untuk mengambil keberkatan daripanya sedang ketika itu beliau masih lagi kecil. Peristiwa ini berlaku ketika beliau sedang membaca Al-Quran, tiba-tiba datang beberapa orang syeikh dari Negara Syam dan Turki ke Kampung Al-‘Aziziah bertujuan untuk mengambil keberkatan daripadanya

Seorang ulama’ yang bernama As-Syeikh Al-Bakri iaitu guru hafazan Al-Quran bagi Syeikh Judah Bin Ibrahim pernah berlaku padanya peristiwa yang mencarik adat kebiasaan manusia, di mana Syeikh Judah apabila diajar satu ayat Al-Quran maka beliau akan menghafaz ayat dan membacanya di hadapan gurunya serta menghafaz ayat selepas itu yang belum diajar oleh gurunya. Beliau telah mendahului gurunya di dalam membaca ayat-ayat yang dihafaz. Kisah itu diceritakan oleh anaknya As-Syeikh Isa.

Setelah selesai menghafaz Al-Quran dan mempelajarinya, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Al-Azhar As-Syarif dan mendalami ilmu Al-Quran dan Al-Hadis. Beliau juga mendalami ilmu Feqah di dalam Mazhab Imam kita As-Syafi’e. Ilmu beliau ketika itu sangat mendalam umpama laut yang tiada bertepian. Beliau telah mempelajarinya daripada ulama’ Al-Azhar As-Syarif seperti As-Syeikh Muhammad Al-Ashmuni (wafat tahun 1321 hijrah), ulama' dalam bidang aqli dan naqli As-Syeikh Muhammad Al-Khodhri Ad-Dumyathi (wafat tahun 1298 hijrah) serta As-Syeikh Ibrahim As-Saqo ( wafat tahun 1298 hijrah) dan ulama’-ulama’ lain sehingga mahir dan melaut ilmunya. 

Syeikh Judah juga seorang yang sangat mahir di dalam ilmu mengenali Thuruq al-Ahadis (jalan2@sanad2 hadis), Al-Jarah dan At-Ta’dil serta Takhrij Al-Hadis daripada kitab Sunan Sittah dan lainnya. Begitu juga di dalam ilmu bahasa Arab seperti bahasa, Nahu , Sorof, Ma’ani, Bayan, Badi’ , Syi’ir, perumpamaan Arab dan sebagainya. Beliau tidak kurang hebatnya di dalam Ulum Aqliyyah seperti Ilmu Kalam, Mantiq dan lain-lain sehingga menjadi orang yang tunggal di dalam merungkai permasalahan yang rumit dan mendalam di dalam ilmu yang dipelajarinya.Beliau telah menghimpunkan antara ilmu zahir dan batin atau ilmu syariat dan hakikat.Beliau mahir dalam Ulum Quran, Hadis dan bertafaqquh dalam mazhab Maulana al-Imam asy-Syafi'i r.a.Maka beliau menjadi hujjah dan pakar dalam mazhab. 
 KEHIDUPAN AS-SYEIKH SEHARIAN

"Sesungguhnya saya ( yakni Dr Judah al-Mahdi iaitu cucu kepada As-Syeikh) telah bertanya Syeikh saya iaitu Syeikh Isa Judah tentang peraturan kehidupan seharian Syeikh Judah. Maka beliau menjawab dengan jawapan seperti berikut: " Adalah Saidina Syeikh Judah bangun dari khulwahnya yang khusus 2 jam sebelum masuk waktu fajar. Maka beliau akan memperbaharui wudhuknya dan bertahajjud pada 1/3 akhir malam sekira-kiranya ________ seperti mana yang disebutkan oleh Al-Imam As-Sya’rani. Kemudian beliau akan mula membaca Al-Quran seperti biasa sekurang-kurangnya 1/3 Al-Quran ( yakni 10 juzuk) sebagai wirid hariannya dan juga membaca zikir-zikir, wirid-wirid An-Naqsyabandi dan lain-lainnya.
 
Kemudian pada waktu Dhuha, beliau akan berwudhuk kali kedua dan masuk berkhulwah. Beliau akan membenarkan kekasih-kekasihnya(murid-murid dan teman rapat) yang khusus dan pengikutnya datang kepadanya dengan keizinan khusus ketika azan Zohor.

Selepas solat Zohor hingga Asar beliau akan berada di ruang tamu umum untuk bertemu dengan murid-muridnya, pengikut-pengikut dan tetamu-tetamu yang menziarahinya. Majlis beliau yang mulia itu ialah majlis Al-Quran dan ilmu. Kebiasaannya salah seorang muridnya yang khusus akan datang bersama kitab-kitab tafsir, hadis, fekah dan tasawuf. Murid yang membacanya itu kebiasaannya ialah As-Syeikh Muhammad Abu Qandil atau As-Syeikh Fadhlum Abu Muqallid atau bapa saya iaitu Sayyidi Muhammad Abu Yazid yang mana kedua-dua membaca Al-Quran kepada Syeikh Judah dengan menghafaz tanpa ada sedikit pun kesalahan. Maka tatkala selesai bacaan itu, Syeikh Judah akan berdoa kepadanya “ semoga Allah membuka ke atasmu”. Maka pembukaan yang dimaksudkan itu ialah pembukaan Ilahi terhadap pintu hati beliau. Bapa saya juga membaca Kitab Al-Mawahib Al-Ladunniah karangan Imam Al-Qostolani.

Sesungguhnya Syeikh Judah disoal ketika bacaan kitab tentang sehalus-halus ilmu dan menjawabnya dengan jawapan yang menyinarkan akal. As-Syeikh juga berfatwa di atas empat mazhab dan menyelesaikan kemusykilan ibarat ahli tasawuf yang tergantung bahkan As-Syeikh bertanyakan masalah-masalah kepada salah seorang daripada muridnya di pertengahan bacaan. Maka pembaca akan berhenti dan murid tadi akan menjawabnya dengan jawapan yang terbuku di hati daripada pembukaan Allah yang tiada had.
 
Adalah kebiasaan As-Syeikh Judah tidak akan bercakap tentang perkara-perkara dunia dan tidak seorang pun di dalam majlisnya dapat melafazkan sepatah perkataan berbentuk duniawi. Majlis As-Syeikh adalah majlis Allah yang dinaungi oleh para malaikat dan langit serta bumi berbangga-bangga dengannya. Tidakkan majlis ini adalah majlis ahli tahqiq di zamannya? (Bahkan ). Di sana juga didatangi oleh imam-imam, ulama’ dan syeikh-syeikh Islam untuk bersesak-sesak menuntut ilmu syariat dan hakikat daripadanya.
 
Selepas itu, Syeikh Judah akan masuk berkhalwah selepas solat Asar. Maka tiada seorang pun boleh masuk kepadanya sehingga waktu Isyak kecuali dengan izin. Selepas Isyak, beliau akan menegah untuk masuk kepadanya. Adalah ketika itu masa untuk beliau menyendiri,menyucikan diri dan menyempurnakan ibadatnya, mendirikan solat dan menyucikan rohaninya kepada Allah.

“ Maka adalah sebahagian perkara yang aku tidak tahu, maka disangka akan kebaikannya tanpa ditanya khabar beritanya “
 
Jadilah Imam kami,Syeikh kami Syeikh Judah –mudah-mudahan Allah mengangkatkan namanya di dalam alam- sebagai menara hidayah, pemancar makrifat Allah dan penunjuk kepada pendekatan diri kepada Allah sepanjang hidupnya di dunia selama 83 tahun sehinggalah As-Syeikh bertemu dengan Tuhannya Yang Maha Pemurah pada 27 Syawal tahun 1346 hijrah ( bersamaan 18 April 1928, hari Rabu). Maka adalah jumlah tahun kehidupannya di dunia ialah jumlah kiraan Lailatul Qadar (yakni jumlah seribu bulan bersamaa dengan 83 tahun) yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. 

*Tulisan di atas adalah gabungan tulisan saya dan tulisan sahabat saya, Ustaz Zamzuri Harun di blog beliau, http://al-judiah.blogspot.com/2009/11/wali-allah-al-arif-billah-syeikh-judah.html dengan merujuk catatan guru kami, al-Marhum Dr Judah Muhammad Abu al-Yazid al-Mahdi asy-Syafii dalam kitab-kitab karangan beliau.Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat