Masjid Rasulullah SAW dan Raudahnya menurut IbnuBattutah


Masjid Rasulullah yang mulia itu berbentuk segi empat bujur.Masjid ini dilingkungi oleh tiang2 yang mengelilinginya di keempat2 penjuru iaitu utara, selatan,timur dan barat.Di bahagian tengah masjid itu, terdapat halaman dalam yang terbuka dan berlantaikan batu serta pasir.Masjid Rasulullah itu dikelilingi pula oleh sebatang jalan yang berturap batu yang berpahat.Raudah yang suci itu, semoga Allah merahmati dan memberikan kesejahteraan kepada penghuninya, terletak berhampiran dengan penjuru tenggara masjid tersebut.Rupa bentuk Raudah tersebut agak luar biasa dan sukar untuk dihuraikan.Ia diserikan dengan batu marmar yang amat unggul pahatan serta tinggi mutunya.Bahagian atasnya pula masih terdapat bekas sapuan kasturi serta harum-haruman(yang telah menjadi hitam dan merekah) meskipun telah melalui peredaran zaman yang panjang.

Di bahagian tepinya iaitu mengarah ke selatan, terdapat paku perak yang terletak bertentangan dengan wajah(diri) Nabi yang mulia.Di situlah orang ramai berdiri mengucapkan salam dengan menghadapkan diri kepada Nabi yang mulia dan membelakangkan kiblat.Selepas menyampaikan ucapan salam hormat kepada Nabi SAW, mereka pun beredar ke sebelah kanan iaitu ke makam Abu Bakar al-Siddiq.Kepala Abu Bakar ra menghala ke arah kaki Rasulullah SAW.Kemudian mereka beredar ke makam Umar bin al-Khattab ra yang kepalanya pula menghala ke bahu Abu Bakar ra.

Di bahagian utara taman yang mulia itu, semoga Allah menambah keharumannya, terdapat sebuah kolam kecil yang berkemasan marmar dan menghala ke kiblatnya terdapat mihrab.Dikatakan bahawa mihrab itu ialah bilik Fatimah puteri Rasulullah SAW dan dikatakan bahawa itulah makamnya; Allah jua yang mengetahui hal yang sebenarnya.

Di tengah2 masjid yang mulia itu, terdapat daun pintu yang rata dengan permukaan lantai masjid menutupi jalan masuk ke sebatang lorong bawah tanah yang mempunyai tangga menuju ke rumah Abu Bakar ra iaitu di luar masjid.Lorong bawah tanah itulah yang digunakan oleh puterinya Aisyah r.anha untuk pergi ke rumah beliau.Lorong itulah yang disebut dalam hadis dan yang diminta oleh Nabi SAW supaya dikekalkan, sementara semua lorong yang lain ditutup. Rumah Umar ra dan puteranya Abdullah b Umar ra terletak bertentangan dengan rumah Abu Bakar ra.

Di sebelah timur masjid yang mulia itu terdapat rumah imam kota Madinah, Abu Abdillah Malik bin Anas ra.Berhampiran dengan Bab al-Salam,terdapat kolam yang mengalir.Kolam itu dinamai sebagai Mata Air Biru oleh penduduk dan boleh dituruni dengan menggunakan setingkat anak tangga.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat