Kefahaman sebenar Wahdatul-wujud

kefahaman yang sebenar tentang wahdatul-wujud menurut kaum sufi yang benar adalah suatu kefahaman yang murni dan bertepatan dengan aqidah Islam iaitu, melihat seluruh wujud makhluk tidak wujud dengan diri mereka sendiri, tetapi wujud dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan kekuasaanNya).

Adapun orang-orang yang jahil yang cuba menyesatkan kaum sufi dalam masalah ini, sebenarnya tidak memahami wahdatul-wujud dengan maknanya yang sebenar menurut kaum sufi itu sendiri.

Begitu juga, golongan orang yang sesat dalam fahaman wahdatul-wujud dengan mendakwa ketuhanan diri, mendakwa hulul dan ittihad, merupakan golongan yang tertolak di sisi kaum sufi itu sendiri. Kefahaman mereka bukanlah kefahaman kaum sufi terhadap wahdatul-wujud itu sendiri kerana kaum sufi memahami wahdatul-wujud dengan maksud wahdatus-syuhud, bukan dengan maksud hulul ((Tuhan menempati makhluk) dan ittihad (Tuhan bergabung dengan makhluk).

Golongan yang sesat ini jugalah akhirnya mendakwa sudah sampai kepada Allah s.w.t. dan mencapai darjat makrifat, lalu mendakwa bahawa dirinya sebagai tuhan, kerana tuhan wujud dalam setiap makhluk. Hasil daripada dakwaan itu, mereka mendakwa diri mereka tidak perlu melakukan syariat dan ketaatan kerana mereka adalah tuhan, atau tuhan wujud dalam diri mereka. Ini suatu kesesatan yang nyata, yang diingkari sendiri oleh para sufi yang benar.

Para ulama' sufi seperti Imam Ibn 'Arabi r.a., Imam Abdul Karim Al-Jili r.a., Sheikh Ibn Al-Faridhi r.a., Sheikh Ali ibn Wafa dan sebagainya, berlepas tangan daripada fahaman sesat ini, bahkan turut membantah kesesatan ini secara keras.

Imam Ibn 'Arabi berkata dalam Al-Futuhat pada bab Al-Isra':

"Sesiapa yang mendakwa akan hulul, bererti dia telah sesat. Ini kerana, orang yang berkata tentang hulul itu berpenyakit yang tidak dapat diubati. Sesiapa yang membezakan antara di antara diri kamu dengan diriNya, maka kamu telah menetapkan dirimu dan diriNya. Tidakkah kamu mendengar sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Maka Aku jadi pendengarannya yang Dia mendengar dengannya". Dia menetapkan dirimu dengan menunjukkan dirimu dalam hadith tersebut. Sesiapa yang mendakwa ittihad merupakan orang yang athies, seperti yang mendakwa hulul juga, merupakan orang yang jahil dan melampau. Ini kerana dia menisbahkan hal yang mustahil. Sesiapa yang membezakan dirinya dengan Allah s.w.t., maka dialah yang benar."

Malangnya ada pihak yang menuduh Imam Ibn A`rabi ini sesat dan kafir kerana tidak meletakkan makna wahdatul wujud itu kena pada juzuknya mengikut pandangan Ibn Arabi itu sendiri dan ahli sufi yg benar..Semua pendapat itu adalah rekaan, pengeliruan yang sesat dan tidak benar dari segi maknanya, rendah dari segi nilai falsafahnya, dan begitu asing dari suasana keIslaman, yang menggambarkan dari segi makna dan bentuknya hanya sengaja direka-reka..

Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali r.a. sendiri berbicara tentang maksud wahdatul-wujud ini menjelaskan;

setiap makhluk tiada berdiri dengan dirinya sendiri. Ia berdiri dengan selainnya (iaitu berdiri dengan kekuasaan Allah s.w.t.). Ia (makhluk) tersebut dari sudut dirinya sendiri adalah batil. Ini kerana, hakikatnya (hakikat makhluk) itu, dengan selainnya (iaitu dengan hakikat Allah s.w.t.),bukan dengan dirinya sendiri. Oleh yang demikian, tiada yang hak (benar) pada hakikatnya melainkan Allah s.w.t. yang Maha Hidup lagi Maha Mentadbir, yang tiada menyerupai sesuatu. Dialah yang berdiri dengan diriNya sendiri, sedangkan selain daripadaNya, berdiri dengan kekuasaanNya. Maka, Dialah Al-Haq dan selain daripadaNya adalah batil (pada hakikatnya)."

Imam Al-Ghazali r.a. berkata lagi tentang penyaksian wahdatul-wujud dalam pandangan para sufi (Al-Ihya' tajuk As-Syauq):

"Sesiapa yang kuat pandangan mata hatinya, maka keadaannya akan menjadi seimbang, di mana dia tidak lagi melihat selain daripada Allah s.w.t.. Dia tidak lagi mengenal selain daripada Allah s.w.t. (tidak fokus kepada yang lain-ini hal fana'). Maka, ketika itu dia mengetahui (bukan dengan pengetahuan akal semata-mata, tapi dengan penghayatan) bahawa tiada yang wujud kecuali Allah s.w.t.. (Dia mengetahui) perbuatan dirinya merupakan kesan daripada kekuasanNya, yang mana ianya wujud daripadaNya. Maka, tiada wujud bagi perbuatan-perbuatannya kalau tanpaNya. Sesungguhnya wujud itu milik Allah s.w.t. semata-mata, yang mana denganNyalah, sekalian makhluk itu wujud. Sesiapa yang dalam keadaan ini, tidak akan melihat satupun perbuatan, melainkan dia melihat Pembuatnya yang hakiki (iaitu Allah s.w.t.)…"

Inilah kefahaman para penghulu sufi dan ahli tasawwuf yang benar, berkenaan dengan wahdatul-wujud. Siapakah yang merasa dirinya lebih berilmu daripada Hujjatul-Islam Imam Al-Ghazali r.a. takkala berani menyesatkan kaum sufi hanya kerana tidak memahami maknanya dengan makna yang benar?

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat