Friday, September 17, 2010

Tawassul - Syaikh Dahlan al-Kediri

Ikhwah, Syaikh Dahlan al-Kediri rhm., seorang ulama besar di Jawa, ada membicarakan persoalan ziarah kubur dan bertawassul dengan para wali dalam kitabnya "Sirajuth-Tholibin" yang merupakan syarah bagi kitab "Minhajul 'Abidin" karya Imam al-Ghazali r.a. Beliau membawa perkataan-perkataan berbagai ulama antaranya Quthubul-Habib 'Abdullah al-Haddad r.a. dan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan rhm. Pada mukasurat 466 - 467 jilid 1 kitab tersebut, antara lain, beliau menulis:-

• Al-Quthub al-Habib 'Abdullah al-Haddad juga berkata bahawasanya para akhyar (orang pilihan) apabila mereka mati tidaklah hilang daripada mereka melainkan 'ain mereka (yakni jasad mereka) dan rupa bentuk mereka, sedangkan hakikat mereka tetap ada (yakni hakikat kehidupan mereka iaitu roh). Maka mereka adalah hidup di dalam kubur-kubur mereka.

• Dan jika demikianlah keadaannya, seseorang wali itu hidup dalam kuburnya, maka sesungguhnya tidak hilang sesuatu daripada ilmunya, akalnya dan kekuatan rohaniahnya, bahkan pandangan batin, ilmu dan kehidupan rohaniah bagi roh-roh mereka bertambah selepas kematian, begitulah juga tawajjuh mereka kepada ALLAH (yakni tumpuan atau penghadapan mereka kepada ALLAH, bahasa mudah fokus mereka kepada ALLAH).

• Apabila bertawajjuh roh-roh mereka kepada ALLAH ta`ala untuk sesuatu, ditunaikan ALLAH s.w.t. dan dilaksanakanNya sebagai kemuliaan buat mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan sebahagian ulama yang bagi para wali itu ada `tasharruf' (yakni `tasharruf' atau `perbuatan' atau 'tindakan' atau 'kuasa' para wali itu adalah tawajjuhnya kepada ALLAH). Maka 'tasharruf haqiqi' yang melibatkan kuasa memberi bekas/kesan (ta`tsir), kuasa mencipta dan mengadakan semata-mata bagi ALLAH tanpa sekutu. Tidak ada bagi wali dan selainnya kuasa ta`tsir dalam sesuatu, sama ada hidup mahu pun mati. (Inilah 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, yang berkuasa memberi bekas hanya ALLAH, makhluk sama ada hidup mahupun mati tidak berkuasa memberi bekas, oleh itu tidak ada bezanya bertawassul dengan yang hidup atau yang mati. Fahaman yang mengatakan bahawa tawassul hanya boleh dengan yang hidup, tidak yang mati, maka dalam fahaman ini seolah-olah yang hidup boleh memberi bekas berbanding yang mati. Fahaman ini adalah logika yang mengandungi syirik yang halus.) Sesiapa yang percaya bahawa wali atau selainnya mempunyai ta`tsir dalam sesuatu perkara atau urusan, maka dia telah kafir dengan ALLAH ta`ala.

• Maka ahli barzakh daripada kalangan wali berada di hadhrat ALLAH ta`ala. Sesiapa yang bertawajjuh kepada mereka dan bertawassul dengan mereka, maka mereka bertawajjuh kepada ALLAH ta`ala pada menghasilkan kehendaknya. 'Tasharruf' yang terhasil daripada mereka adalah tawajjuh mereka dengan roh-roh mereka kepada ALLAH ta`ala, sedangkan 'tasharruf haqiqi' adalah bagi ALLAH semata-mata. Apa yang jatuh berlaku daripada mereka termasuk dalam jumlah asbab biasa yang tidak mempunyai ta`tsir, maka wujud sesuatu itu di sisi mereka bukan dengan (kuasa) mereka, menurut apa yang dilaksanakan ALLAH daripada segala kebiasaan. (Yakni yang mewujudkan adalah ALLAH semata-mata, inilah yang dimaksudkan dengan perkataan "wujud di sisi mereka bukan dengan mereka").

• Jangan engkau tertipu dengan segala syubuhat (kekeliruan) pegangan Wahhabi yang menegah tawassul dan ziarah kerana hujjahnya (yakni hujjah puak Wahhabi) adalah batil.

Inilah antara tulisan Syaikh Dahlan al-Kediri. Perlu diberi perhatian bahawa apa yang dinyatakan oleh beliau adalah bersumber kepada ulama-ulama lain dan merupakan pandangan jumhur Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Yang menegah tawassul dan ziarah kubur awliya` adalah puak Wahhabi penderhaka. Kita tak kisah kalau orang nak bertawassul atau tidak. Untuk menghasilkan sesuatu hajat, kita disuruh mencari sebab, walaupun ALLAH berkuasa mengabulkannya tanpa sebab dan kadang-kadang berlaku tanpa sebab, berusaha satu sebab, berdoa satu sebab, bertawassul satu sebab yang lain. Insya-ALLAH, dengan banyaknya asbab mudah-mudahan terkabullah segala hajat dengan syarat segala asbab tidak menyalahi hukum syarak yang mulia. Jika dihukumkan tawassul itu haram dan sesat, maka ramailah yang akan masuk neraka termasuklah ulama-ulama yang mu'tabar.

No comments: