Pengerusi OIC karut

Nasib Palestin: Pengerusi OIC lari ikut pintu belakang

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Amerika boleh selesaikan isu Palestin jika dia jujur disifatkan sebagai 'Lari melalui pintu belakang'.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen dalam kenyataannya berkata, kenyataan Abdullah itu melambangkan beliau cuba melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak lain.

"Banyak berpendapat jika Amerika Syarikat benar-benar mahu menjadi 'broker' (pengantara) yang adil, mereka akan berjaya. Israel sentiasa berpegang kepada beberapa perjanjian dicapai sebelum ini," kata Abdullah dalam temubual dengan stesen televisyen, Australia Network, menerusi program Asia Pacific Focus yang disiarkan, semalam.

Kepada soalan pengacara program itu, Helen Vatsikopolous, Perdana Menteri turut berkata, bahawa beliau bersetuju jika Amerika Syarikat memberi lebih tumpuan terhadap usaha menyelesaikan krisis Palestin-Israel, hubungan antara dunia Islam dan Barat akan bertambah baik.

Memikirkan semua kejadian ini, ucapan pengerusi OIC di program Asia Pacific Focus benar-benar menguris perasaan umat Islam diseluruh dunia, kata Herman.

Beliau, kata Herman, tanpa segan silu memberikan hormat dan tunduk pada Amerika dan Israel.

"Sikap beliau yang tidak serius memperjuangkan isu Palestine menjadi barah kepada kejerihan rakyat Palestine yang tiada berkesudahan," dakwa Herman.

Sebagai Pengerusi OIC, tegas Herman, Abdullah seharusnya sedar tentang politik jijik yang dimainkan oleh Amerika dan Israel dalam menzalimi Palestine.

Beliau seharusnya tampil kehadapan bagi menjadi orang tengah bagi meredakan konflik yang semakin menegang ini. Pengerusi OIC tidak seharusnya lari ikut pintu belakang dan meninggalkan kaum seagamanya dibunuh dan dirogol oleh Zionis Israel dan Amerika, katanya.

"Sebagai orang yang mengucap dua kalimah syahadah, adalah bacul bagi kita meninggalkan saudara seagama kita untuk diperlakukan sedemikian rupa tanpa pembelaan. Justeru itu, Pemuda PAS WP mengesa agar pengerusi OIC bertindak segera untuk campurtangan dalam isu dan tidak menyerahkan isu ini pada Amerika semata-mata,"tegas beliau dalam kenyataannya.

Sumber:Siasah

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat