Kepentingan Suhbah Dengan Mursyid Dalam Tasawwuf

 


Untuk posting kali ni, hamba ingin bicarakan tentang kepentingan bersuhbah dengan mursyid dalam disiplin keilmuan tasawwuf walaupun hamba bukan yang layak bercakap mengenai perkara ini. Mudah-mudahan ada kebaikan buat yang membaca coretan ini.

Bagi suhbah ada impak yang mendalam bagi akhlak seseorang individu. Orang yang bersuhbah akan mendapat impak kerohanian daripada sifat guru yang didampinginya. Insan secara tabiat kemasyarakatannya mesti bergaul dengan manusia yang lain dan mempunyai teman dan kawan. Maka jika dia memilih berkawan dengan mereka yang jahat dan fasiq, rosaklah akhlaknya secara beransur-ansur tanpa disedarinya.

Sebaliknya jika dia memilih bersuhbah dengan mereka yang beriman, bertaqwa dan istiqamah maka tidak syak lagi peribadinya akan unggul dan beroleh akhlak terpuji, iman yang mantap dan bebas daripada penyakit kerohanian. Oleh itu, akhlak seseorang itu diketahui melalui teman dan sahabatnya.

Tidaklah para sahabat yang diredhai Allah mencapai kedudukan dan darjat yang tinggi selepas berada di dalam kegelapan jahiliyyah melainkan dengan bersuhbah dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Dan tidaklah para tabi’in mendapat kemuliaan yang tinggi melainkan kerana berkumpul dan mengambil ilmu dengan para sahabat.

Sebagaimana risalah Penghulu kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم umum kepada semua manusia dan kekal sehingga kiamat, maka para ulama Arifin BILLAH adalah pewaris Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Mereka mewarisi daripada Nabi mereka ilmu, akhlak, iman dan taqwa. Mereka adalah para khalifah Baginda dalam menyampaikan hidayah, petunjuk dan dakwah kepada Allah. Mereka mengambil daripada Cahaya Baginda untuk membri Cahaya tersebut kepada insan – menunjukkan jalan kebenaran. Maka barangsiapa yang duduk Bersama mereka akan mendapat rahsia yang diambil daripada Baginda, siapa yang menolong mereka maka dia telah menolong agama Allah, siapa yang pautkan hubungan dengan mereka maka dia telah menyambung rantaian sanad dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Siapa yang minum dengan hidayah dan petunjuk yang dibawa oleh mereka maka dia telah minum minuman yang dibawa oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Pawa pewaris Nubuwwah inilah yang menyampaikan agama kepada manusia yang ditunjukkan melalui akhlak mereka yang jelas terpancar melalui pergerakan dan diam mereka. Merekalah yang dimaksudkan melaui sabda Baginda:

"لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ" – رواه مسلم

Tidak terputus kesan peninggalan mereka dengan zaman dan tidak sunyi daripada mereka di bumi ini.

Mereka inilah pewaris Nabi yang mana dengan bersuhbah kepada mereka ini merupakan penawar hati yang telah terbukti, dan menjauhi mereka merupakan racun yang membunuh. Mereka ini adalah orang yang tidak sengsara dengan berada di majlis dan bersuhbah dengan mereka. Berdamping dengan mereka adalah rawatan amali memperbaiki jiwa dan akhlak serta menanamkan akidah dan iman yang kukuh. Ini kerana perkara-perkara sebegini tidak dapat diperolehi dengan membaca dan mutolaah kitab. Ianya adalah perkara amali yang bersifat wujdan serta minuman dan imput kerohanian.

Pada aspek yang lain, setiap manusia tidak akan terlepas daripada penyakit kerohanian yang tidak disedari oleh dirinya sendiri seperti riyak, nifaq, ghurur, hasad, mementingkan diri sendiri, cintakan kemsyhuran, ‘ujub, takabbur, bakhil…Bahkan kadang-kadang ada yang menyangka dirinya di kalangan manusia yang sempurna akhlak dan beragama. Ini adalah jahil murakkab dan kesesatan yang nyata.

Firman Allah Taala:

 قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

( الكهف: 103 – 104 )

Sebagaimana seseorang itu tidak dapat melihat keaiban wajahnya melainkan dengan cermin yang jelas untuk dia lihat haqiqat dirinya, begitu juga seseorang mukmin mesti mempunyai saudara mukmin yang Ikhlas menasihatinya dengan benar, yang lebih elok keadaan daripadanya dan lebih berakhlak, lebih kuat imannya yang beliau bersuhbah dan mulazamah. Maka akan ditunjukkan keaiban dirinya dan memberitahu penyakit-penyakit hatinya yang tersembunyi sama ada melalui perkataan ataupun hal ehwal perangainya.

Kerana itulah Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

"الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ" – رواه أبو داود

Demikianlah sahabat-sahabat kita diumpamakan seperti cermin. Di kalangan mereka ada yang tidak menunjukkan haqiqat nafsu kita dengan sentiasa memuji kita hingga kita menyangka diri kita sempurna, lalu timbul ghurur dan ‘ujub. Ada yang asyik mengeji kita hingga kita putus asa untuk memperbaiki diri. Manakala mukmin yang sempurna iaitu guru mursyid yang benar yang telah memperhalusi cerminnya dengan bersuhbah guru mursyid yang sempurna, yang mana gurunya pula mewarisi daripada guru mursyid sebelumnya hingga bersambung sanad dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dialah cermin yang telah dijadikan Allah Taala sebagai contoh yang ideal lagi tinggi untuk jiwa insan. Firman Allah Taala:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا – ( الأحزاب: 21 )

Jalan yang praktikal untuk menyucikan jiwa dan menghiasinya dengan akhlak-akhlak yang sempurna ialah dengan bersuhbah dengan waris Muhammadi, guru mursyid yang benar yang menambahkan iman dan akhlak kita dengan mendampinginya. Dengan bermulazamah dan menghadiri majlisnya menyembuhkan penyakit hati kita dan keaiban kita. Malah syakhsiah kita terkesan dengan peribadinya yang merupakan gambaran kepada syakhsiah unggul, iaitu peribadi Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Di sini jelaslah kesalahan mereka yang menyangka bahawasanya seseorang itu mampu mengubati penyakit hatinya hanya semata-mata dengan membaca al-Quran al-Karim dan mutolaah hadis-hadis Baginda. Ini kerana kitab dan sunnah telah menghimpunkan di dalamnya bermacam-macam ubat bagi pelbagai jenis penyakit jiwa dan hati. Maka tidak dapat tidak mesti memerlukan doktor kerohanian yang boleh memberitahu ubat bagi setiap penyakit dan rawatannya bersama-sama dengan pedoman kitab dan sunnah.

Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah mengubati hati-hati para sahabat dan menyucikan jiwa mereka dengan akhlak dan sabdaannya.

Terjemahan dan olahan oleh Mohd Amir Md Azmi Hj Md Isa asy-Syafii,

Daripada kitab “Haqaiq ‘an at-Tasawwuf” susunan Syeikh Abd Qadir Isa rahimahullah,

7.56 am – Sungai Lalang, SP, Kedah.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat