Kelebihan Ulama Tasawwuf Berbanding Ulama Feqah yang Tidak Bertasawwuf

 


Diriwayatkan daripada Nabi صلى الله عليه وسلم:

"مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ" – رواه البخاري ومسلم وابن ماجه والترمذي والنسائي في السنن الكبرى

Al-Hasan al-Basri ditanya: Adakah si Fulan seorang yang Faqeh? Maka jawab al-Hasan: Siapakah Faqeh? Faqeh itu ialah orang yang zuhud dengan dunia, gemar dengan perkara akhirat dan melihat dengan matahati tentang urusan agamanya. Maka firman Allah Taala:

لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ – التوبة: 122

Maka yang dimaksudkan dengan ad-din dalam ayat ini ialah suatu kata nama yang merangkumi sekelian hukum Zahir dan batin.

Bertafaqquh dengan hukum-hukum ahwal, ma’ani dan maqamat di dalam istilah ilmu tasawwuf bukanlah kurang berguna jika dibandingkan dengan bertafaqquh dalam hukum-hukum seperti talaq, zihar, qisas, hudud dan sebagainya. Ini kerana hukum-hukum sebegini kadang-kadang tidak berlaku dalam seumur hidup kita melainkan sekali sahaja. Jika berlaku sekalipun kita boleh bertaqlid dan bertanya kepada orang alim tentang perkara tersebut. Adapun ahwal, maqamat dan mujahadah yang dibahaskan dan diperkatakan hakikatnya oleh ulama Sufi, setiap Mukmin berhajat kepada perkara tersebut dan mengetahuinya adalah wajib fardhu ain. Ia tiada waktu yang tertentu bagi ilmu tasawwuf ini. Misalnya benar (sidq), Ikhlas, zikir, menjauhi kelalaian dan lain-lainnya tidak mempunyai waktu yang tertentu. Bahkan ianya wajib ke atas setiap hamba pada setiap ketika dan setiap lintasan hati untuk diketahui apa tujuan dan kehendaknya setiap ketika. Jika ianya adalah tanggungjawabnya maka wajib ke atasnya untuk melaksanakannya. Sekiranya ia termasuk dalam tuntutan shahwat yang haram maka wajib ke atasnya untuk menjauhinya. Firman Allah kepada Nabi dan KekasihNya:

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا – الكهف: 28

Ketahuilah bahawa istinbat ulama Sufi dalam ilmu ini dalam mengetahui perinciannya yang mendalam lebih banyak daripada istinbat fuqaha’ dalam mencari hukum-hukum Zahir. Ini kerana ilmu tasawwuf ini tidak ada penghujungnya kerana ia adalah isyarat, khawatir dan anugerah Ilahi yang dicedok oleh ahlinya daripada lautan pemberian Tuhan. Ilmu-ilmu yang lain mempunyai had yang tertentu. Ilmu-ilmu lain pada penghujungnya membawa kepada beramal dengan ilmu tasawwuf. Ilmu tasawwuf adalah ilmu al-futuh yang dibukakan oleh Allah Taala kepada hati para waliNya dalam memahami dan mengistinbat KalamNya. FirmanNya:

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ – إبراهيم: 7

Tambahan kurnia daripada Allah Taala tidak ada penghujungnya. Syukur itu adalah suatu nikmat yang memerlukan kepada kesyukuran yang lain yang dengannya kita memperoleh tambahan lipah kurnia Ilahi yang tiada penghujungnya.

Diterjemah dan diolah oleh Mohd Amir Md Azmi Hj Md Isa asy-Syafii,

Daripada kitab “Al-Luma’ fi Tarikh at-Tasawwuf al-Islami” oleh Abu Nasr Abdullah b. Ali as-Siraj at-Tusi,

12.07 am, 19/8/2023

    

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat