Friday, June 6, 2014

Politik Sufi Yang Murni

OKTOBR 1987, RABI’UL AWWAL 1408.
MAJALAH AL MUNIR

BASMALAH WALHAMDALAH

SEKARANG KITA SEDANG HIDUP DI SATU ZAMAN yang mana orang lebih suka diikut dari mengikut. Ertinya ramai manusia berbangga dengan kebolehan dan kehebatan masing-masing tanpa mahu mengalah pada pendapat orang lain. Sebenarnya inilah punca segala pertelagahan yang sedang berlaku sekarang. Sikap percaya-mempercayai di kalangan sesama manusia telah runtuh dilanda penyakit gila mahu jadi pemimpin.

Matlamat pemimpin-pemimpin palsu ini ialah kemewahan. Menjadi pemimpin membolehkan seseorang mendapat kuasa dan kuasa inilah nanti digunakan sebagai alat pencapai maksud nafsu yang tidak mengenal batas. Dan selagi dunia diterajui oleh orang yang tidak dapat mengawal nafsunya, selagi itulah kekacauan akan terus berlaku. Tegasnya menyerah kepimpinan kepada orang yang cinta dunia dan mempunyai nafsu besar, samalah seperti menyerahkan setandan pisang kepada sekumpulan beruk untuk dikawal. Rasanya dekad inilah ketandusan pemimpin yang berjiwa bersih, suci dan jujur sangat-sangat dirasai. Biarlah dunia ini ditadbir dan dikuasai oleh orang yang tidak menyintainya. Dan bila seluruh manusia menerima hakikat ini secara sukarela atau terpaksa, maka sudah tibalah masanya bagi orang-orang sufi masuk bergelanggang di medan politik. Wajah dunia akan berubah kerana buat sekian kalinya sekali lagi dunia jatuh ke tangan orang yang tidak menyintainya seperti dunia pernah jatuh ke tapak kaki Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a.

Politik akan berubah di tangan orang-orang sufi dan bukan politik yang mengubah orang-orang sufi. Bila ini terjadi maka dunia politik akan menjadi satu medan kasih sayang manusia dan lautan persaudaraan yang mana selama ini telah dikotori oleh orang-orang politik.

Siapakah orang-orang sufi itu? Siapa mereka sebenarnya tidak penting, tetapi lebih penting ialah mengenal sifat-sifat mereka. Orang-orang sufi tidak menyintai dunia tetapi ini tidak bererti mereka menolak dunia. Bagi mereka, dunia ini penting kerana alat buat menuju Akhirat, ladang menyemai bakti yang akan dituai untuk kebahagiaan abadi di Syurga dan sebagai titian yang akan menentukan sama ada selamat atau tidak bila dibicarakan di hadapan kadi Robbul Jalil di Padang Mahsyar kelak. Merka addalah golongan yang makan minumnya sekadar meluruskan tulang belakang untuk terus beribadah, rumah sekadar pelindung dari panas matahari siang dan kedinginan malam. Pakaiannya sederhana buat menutup aurat, kenderaan sekadar keperluan mencapai maksud hati ke merata dunia untuk menegakkan Hukum Allah dan lain-lain lagi yang tidak lepas dari batas keperluan dan kemudahan.

Bagi orang sufi, semakin banyak dunia di tangan semakin cepatlah dunia itu dilepaskan ke Jalan Allah. Harta panas di tangan mereka, kemewahan musuh hati mereka. Dan bagi mereka mengumpul dunia walaupun dari jalan yang halal akan membanyakkan hisab dan melambatkan jalan ke Syurga. Nah! Itulah sifat-sifat ahli politik angkatan baru yang sedang bersiap sedia untuk merubah putaran dunia dari menghadap Syaitan Laknatullah kepada Wajah Allah. Bila mereka terjun ke arena politik, jiwa sufi diletakkan di hadapan dan kepentingan politik di belakang. Ertinya, dia tidak akan membenarkan jiwa sufinya dipengaruhi oleh politik tetapi akan memastikan akan kepimpinan diri dan masyarakatnya berjalan atas landasan kesufian. Masyarakat akan dipandu ke arah membersihkan hati dan menentang hawa nafsu seperti disiplin kesufian yang berakar umbi dalam dirinya. Selagi masyarakat enggan, selagi itulah dia berjuang. Dia tidak akan bertolak ansur sedikit pun dalam hal ini. Selagi dia duduk sebagai pemimpin, selagi itulah dia mempertahankan matlamat kepimpinannya.

BERTOLAK ANSUR
PEMIMPIN SUFI naik melalui kehendak Allah, bukan atas undian dan kehendak manusia, lebih-lebih lagi dia tidak naik atas kehendak dirinya sendiri. Atas dasar inilah pemimpin berjiwa sufi tidak memerlukan atau melobi-lobikan manusia untuk menyokongnya. Dia pemimpin dalam semua keadaan. Dalam ramai dia pemimpin dan ketika bersendirian dia juga pemimpin. Ia tidak perlukan pengikut tetapi pengikutlah yang memerlukannya. Ertinya dia bebas untuk melaksanakan kehendak perjuangannya menurut Allah dan RasulNya tanpa takut kehilangan pengikut.

Oleh itu seorang pemimpin sufi tidak gentar kalah dalam pilihanraya kerana melaksanakan kehendak agama. Ini berbeza daripada pemimpin politik yang berlagak sufi. Ahli politik sentiasa meletakkan politik di hadapan dan sufi di belakang. Sebab itu dia sering bertolak ansur dalam melaksanakan ketetapan agama dengan berbagai-bagai alasan. Namun kita tahu alasan sebenarnya iaitu takut kehilangan pengikut. Tindakannya mesti mendapat persetujuan dari pengikut, jika tidak musim yang akan datang jatuhlah dia dari kerusinya. Alangkah murahnya harga kepimpinan orang yang tidak berjiwa sufi ini. Oleh itu sering terjadi dalam sejarah pemimpin-pemimpin sufi bertindak meninggalkan tampuk pemerintahan apabila kepimpinan tidak mengikut jiwa sufi mereka. Berlainan sekali dengan pemimpin politik yang berkeras mempertahankan kuasanya walaupun terpaksa mengorbankan prinsip. Tapi tidak lama. Mereka yang tidak mahu menyerah itu sering kali dijatuhkan, kadang-kadang melalui tangan yang sama iaitu orang yang telah menaikkan mereka dahulu. Pemimpin-pemimpin sufi yang pernah bertindak meninggalkan pemerintahan ialah Ibrahim Adham, Imam Hanbali dan Imam Ghazali. Ketiga-tiga mereka ialah pemimpin sufi yang melepaskan pemerintahan kerana kuasa tidak menjamin lagi matlamat kepimpinan mereka.

Pada mereka selagi kuasa di tangan mereka, selagi itulah mereka memikul amanah yang akan dipersoalkan di kemudian hari kelak. Sebab itu Umar Ibn Al Khattab berpesan kepada anaknya Abdullah (ketika ura-ura melantik anaknya sebagai Khalifah selepas kematiannya), “Cukup! Cukuplah Umar seorang dari anggota keluarganya yang memikul amanah ini. Cukup, sekadar Umar yang akan dipersoal oleh Allah atas urusan manusia.”

Namun sebenarnya menurut fakta sejarah, sudah seringkali dunia ini dipegang oleh orang-orang sufi. Bila dunia dipegang, diterajui oleh orang sufi, Islam cemerlang, Islam gemilang. Lihatlah bintang gemerlapan yang menyinar di celah kegelapan peribadi Khalifah Umayyah iaitu peribadi Umar Abdul Aziz, seorang yang sangat takut kepada Allah dalam urusan manusia tetapi tidak takut kepada manusia dalam urusan Allah. Seorang yang tidak lena tidur di malam hari kerana takut urusan dia dengan Tuhannya tidak selesai. Tidak juga dapat tidur di siang kerana cemas urusan rakyatnya terbengkalai. Baitul Mal di bawah amanahnya mengandungi harta berjuta-juta dinar tetapi dia tinggal dalam rumah yang sangat kecil dengan memakan roti yang dibuat dari tepung yang paling murah harganya. Lihat pula peribadi Sultan Salahuddin Ayyub yang berjaya merebut Baitul Maqdis dan berjaya mengalahkan Richard The Lionheart. Dia memukul hancur tentera Salib dengan pedangnya, tetapi mengkagumkan pemimpin-pemimpin Salib dengan akhlaqnya. Namun jiwa sufinya tidak mahu bertolak ansur dengan tentera-tenteranya yang didapati tidur di malam hari semasa berada di khemah-khemah barisan hadapan. Hanya tentera yang mendirikan solat malam dan membaca Al Quran saja yang dibenarkan tampil di medan perang, yang tidur dihalau balik ke rumah masing-masing. Dia sendiri adalah pengikut tareqat yang taat dan masa-masa yang tidak digunakan untuk berperang banyak dihabiskannya di bilik-bilik suluk. Umat Islam yang mahu menawan semula Palestin patut malu jika peribadi mereka tidak menyerupai tentera Sultan Salahuddin sebaliknya sama dengan peribadi tentera Israel yang mereka tentang itu. Sejarah Islam tidak akan gemilang klau tidak lahirnya putera-putera sufi seperti Khulafaur Rasyidin yang empat, Sultan Muhammad Al Fateh Turki dan lain-lain pemimpin Islam yang terkenal ddi dunia dan semerbak namanya di Akhirat kelak.

Mereka ini berpolitik tetapi jiwa mereka jiwa sufi. Tetapi bila orang politik bertopengkan agama mengambil alih tempat mereka, maka dunia Islam pun malap semalap hati mereka.

Selama ini kita telah dikelabui dengan janji-janji kosong pemimpin berjiwa dunia dengan slogan kejayaan, kemakmuran yang muluk-muluk tetapi hakikatnya kosong dan penuh dengan tipu daya. Malahan kemakmuran yang dijanjikan, kehancuran yang semakin mendatang. Dunia iSlam semakin lemah dan pincang di tangan pencinta-pencinta dunia ini. Jiwa orang politik yang rakus tidak pernah menggunakan kuasa untuk kebajikan tetapi menggunakannya untuk menambah kekayaan dan memperkukuh kekuasaan. Pada peringkat awal mereka bercita-ciat mendapat kuasa demi membela nasib anak pribumi yang tertindas, setelah dapat kuasa dunia dan harta menjadi buruan kononnya untuk memudahkan tugas sebagai pembela bangsa. Tetapi setelah sekian lama dunia, harta dan kemudahan diperoleh dia semakin rakus dan keinginan mahu menambah kemewahan terus-terusan memakan dirinya dengan alasan mengambil upah atau imbalan dari jasanya dalam perjuangan.

Namun dasar manusia tidak sedar diri, habis harta dunia dikautnya sehingga terlupalah dia pada rakyatnya, amanahnya dan perjuangan asalnya. Malah yang lebih teruk dari itu, dia lupa kepada Allah yang selama ini memberi nikmat dunia kepadanya. Inilah perompak-perompak yang diangkat jadi pemimpin yang kejahatannya terselindung di balik pelbagai pangkat dan gelaran. Mereka ini bukan saja tidak berjiwa sufi bahkan mengenal sufi pun tidak. Tetapi bila masayarakat ingin dibawa menjiwai Tasawuf mereka memekik mengatakan Tasawuf itu sesat! Sufi fanatik agama! Mereka juga berebut-rebut sesama mereka ibarat ulat menggomol najis, najis habis, mereka pun mati.

Bila pemimpin politik bergaduh, diajaknya orang bawah turut serta sedangkan pergaduhan itu atas kepentingan diri mereka semata. Diletakkan ulasan masing-masing konon mahu berbakti lebih sempurna kepada rakyat. Bila kemiskinan melanda, dia menjanjikan kemakmuran tetapi mesti diangkat jadi pemimpin terlebih dahulu, baru pertolongan dapat disalurkan. Puak-puak ini bertelagah menyalahkan, menghina satu sama lain sedangkan mereka sama-sama rakus dan gelojoh dengan dunia. Pertelingkahan tidak berhenti setakat di meja-meja mesyuarat, dewan-dewan megah bahkan rakyat diseret sama supaya bergaduh di kedai-kedai kopi dan masjid. Media massa terus mengapi-apikan fitnah bergantung kepada siapa taukey mereka. Ahli politik bercakap, cakap-cakap ini bertukar menjadi sikap apabila ia sampai kepada rakyat bawahan. Inilah yang mengakibatkan pergaduhan.

MENGUBAT HATI
SEDANGKAN JIKA ORANG SUFI BERPOLITIK, mereka berusaha mengubati hati orang miskin dengan cinta Akhirat. Mereka utamakan kebersihan hati, bebas dari pengaruh dunia. Pada mereka yang miskin harta dunia, ditanam kekayaan hati. Pada rakyat yang kaya diancam dengan kemiskinan jiwa, ditanam sifat sabar dan redha. Inilah sebenarnya roh dari doa Rasulullah s.a.w, “Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikanlah aku sebagai orang miskin dan bangkitkanlah aku di Mahsyar kelak bersama orang-orang miskin.”

Si miskin akan terhibur hatinya apabila dia melihat hidup para pemimpin lebih kurang sama dengan hidupnya. Ia tahu pemimpinnya itu dapat merasai derita yang ditanggungnya. Malahan pemimpin berjiwa sufi sanggup hidup lebih derita daripada rakyatnya. Ini berbeza dengan sikap ahli politik yang rata-ratanya melaungkan seruan yang sama, namun berbeza dalam sikapnya. Inilah sikap hipokrit yang ada, yang ditonjolkan oleh ahli politik sehingga rakyat meluat dengan sikap mereka. Disuruh rakyat berjimat tetapi pemimpin boros dan boleh dibuktikan pula dengan melihat cara hidupnya yang penuh dengan pembaziran. Mereka menyuruh rakyat bersabar menghadapi kemelesetan ekonomi tetapi belanja makan tengaharinya sahaja lebih mahal dari gaji sehari seorang rakyat biasa. Ini menjadi sebab berlaku pemberontakan, rakyat bangkit menuntut perubahan. Perkara ini berlaku di mana-mana negara dalam dunia.

Cubalah contohi Saidina Umar Al Faruoq r.a, sewaktu beliau menjawat jabatan Khalifah. Beliau sendiri meminta pandangan Salman Al Farisi r.a tentang cara hidupnya selepas jadi Khalifah. Jawab Salman r.a, “Tiadak ada apa-apa perbezaan.” Namun didesak oleh Umar r.a, lalu Salaman r.a. berkata, “Dulu ketika Umar belum jadi Khalifah ia hanya mempunyai sehelai baju tetapi kini dia mempunyai dua helai baju. Sehelai untuk musim panas dan sehelai untuk musim sejuk. Dulu kalau Umar makan, lauknya hanya satu, tetapi sekarang bertambah lauknya jadi dua jenis.” Lalu Umar r.a berkata, “Saksikanlah, bahawa aku akan kembali kepada asalku mulai hari ini.”

Beginilah sikap pemimpin sufi yang tidak menyintai dunia bila dia diberi kuasa mentadbir dunia. Umar r.a adalah pemimpin Islam yang berjaya menawan Rom dan Parsi serta Mesir. Sedangkan Rom dan Parsi adalah paksi kuasa besar dunia yang memiliki sejarah yang sangat panjang. Pemimpin sufi mempunyai daya tarik magnetik yang dapat menarik rakyat untuk patuh dan menyintai raja zahir dan batin. Kepatuhan lahir dari hati bukan dengan mengambil hati. Ahli politik melahirkan pengikut yang berpura-pura patuh bila digertak dengan undang-undang dan bekerja bila ada kepentingan peribadi. Pantang ada peluang naik, dijoloknya pemimpin hingga jatuh dan dia pula naik mengambil tempatnya.

Pemimpin politik sangat ingin berkuasa, berbeza dengan pemimpin sufi yang sangat takut untuk memerintah. Lihat peribadi Umar Abdul Aziz yang berdoa, “Jauhilah aku daripada jabatan Khalifah seperti jauhnya Timur dan Barat.” Beliau menanggung duka setelah dilantik menjadi Khalifah. Dia berkata kepada pengikutnya, “Kamu telah mengalungkan bala di atas bahuku.” Sikap ini jelas sekali berbeza dari pemimpin politik yang melonjak-lonjak gembira bila dipilih menjadi pemimpin. Setelah ada kuasa di tangan Umar Abdul Aziz, beliau berhubung dengan seorang ahli sufi besar di Basrah iaitu Hassan Al Basri, dikumpulkan juga para ulama untuk membantunya. Mereka diminta menceritakan kisah keadilan pemerintahan datuknya Umar Al Farouq r.a supaya dia dapat mencontohinya.

Ketakutan Umar Abdul Aziz kepada Allah sangat mendalam dan dalam khutbah yang diucapkan pada saat-saat akhir hayatnya, dia memuji orang-orang sufi, katanya, “Tahukah kamu dunia ini masih aman kerana adanya golongan manusia yang berpakaian compang-camping. Kalau mereka meminta sesuatu daripada kamu, nescaya kamu tidak akan memberinya. Kalau mereka meminang anak-anak perempuan kamu, nescaya kamu akan menolaknya. Tetapi tahukah kamu doa-doa mereka tidak pernah ditolak oleh Allah dan pintu langit sentiasa terbuka untuk doa-doa mereka. Dan kalau tidak dengan adanya golongan ini, sudah layak kamu dibinasakan Allah kerana kederhakaan kamu.” Suaranya amat sayu dengan tangisan yang menyekat-nyekat kelancaran khutbahnya.

Kisah-kisah sebegini kalau hidupkan di tengah masyarakat hari ini, maka akan sakitlah telinga pemimpin-pemimpin politik. Akan terpukullah hati-hati mereka yang menyintai dunia. Memang, kelembutan jiwa sufi bukan milik jiwa yang berkarat dengan daki dunia.

Kini ketika ahli-ahli politik bercakaran sesama mereka, tembelang mereka terbuka satu demi satu, maka Allah tidak akan membiarkan jiwa sufi terus terpendam dalam dunia suluk-sulukan dan zikirnya. Mereka pasti keluar untuk membaiki masyarakat seperti keluarnya Nabi Muhammad s.a.w dari Gua Hira’ memperjuangkan Islam secara berperingkat-peringkat di tengah masyarakat yang sedang rosak, sakit dan jahil.

Politik orang sufi adalah untuk menawan hati bukan untuk menawan kerusi. Dari hati yang berubah itulah mereka merubah dunia. Mereka pasti menguasai dunia seperti mereka menguasai nafsunya.

No comments: