Mengumpat Yang Dibolehkan


Ketahui olehmu bahawasanya sekelian kelakuan mengumpat itu haram dan tiada diharuskan oleh syara’ melainkan enam perkara:

Pertama: At-Tazhallum iaitu mengkhabarkan akan kejahatan orang yang menzalim akan dikau kepada qadhi supaya menghukumkan ia akan dia atau mengkhabarkan akan kejahatan qadhi yang menzalim akan dikau kepada sultan supaya menghukumkan ia akan dia maka yang demikian itu harus.

Kedua: Al-Isti’anatu ‘ala raddil munkari wal ma’siati ila as-shalah.Iaitu harus mengkhabarkan akan kejahatan orang kepada orang besar atau raja kerana sebab meminta tolong akan dia atas menolakkan kejahatan orang itu dan harus pula mengkhabarkan akan kejahatan orang yang berbuat maksiat kepada orang besar atau kepada raja2 kerana sebab meminta tolong supaya mengembalikan ia akan orang yang berbuat maksiat itu kepada berbuat kebajikan.

Ketiga: Al-Istifta’ iaitu harus mengkhabarkan kejahatan orang kepada mufti kerana menuntut fatwa kepadanya seperti berkata seseorang kepada mufti: Bapaku atau saudaraku menzalim ia akan daku dengan berbuat kejahatan akan daku,  maka apa hukumnya dan betapa jalan yang melepaskan akan yang demikian itu?Seperti yang diriwayatkan daripada perempuan yang bernama Hindun, maka mengadu ia akan hal suaminya Abu Sufian kepada Nabi SAW dengan katanya:

ان أبا سفيان رجل شحيح لا يعطيني ما يكفيني أنا وولدي, أفآخذ من غير علمه؟ فقال: خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف. متفق عليه

Ertinya: “Bahawa Abu Sufian lelaki yang kikir, tiada ia member akan daku dan akan anakku makanan dan pakaian yang memadai akan daku dan akan anakku.Maka adakah harus aku mengambil akan makanan atau pakaian itu dengan tiada ia mengetahui akan yang demikian itu?Maka sabda Nabi SAW: Ambil olehmu akan makanan atau pakaian itu yang memadai akan dikau dan akan anakmu dengan yang ma’ruf(kadar yang munasabah) dan jikalau tiada ia mengetahui akan yang demikian itu sekalipun”.

Keempat: Tahzirul muslimin minas-syarri iaitu harus mengkhabarkan kejahatan orang kerana menakuti akan orang Muslim daripada kejahatan orang itu.Apabila engkau lihat akan seseorang baru menuntut ilmu itu padahal ia berulang pergi kepada orang yang ahli bid’ah yakni orang yang tiada baik I’tiqadnya atau orang yang tiada baik agamanya maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang itu supaya jangan ia mengaji kepadanya atau supaya jangan ia bersahabat dengan dia kerana bersahabat dengan orang yang demikian itu membawa kepada membinasakan akan agama.

Dan demikian lagi jika engkau lihat akan seseorang yang berulang2 pergi datang mengaji kepada orang yang fasiq atau ulama yang jahat maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang yang fasiq itu dan kejahatan ulama yang jahat itu supaya menjauhi orang itu daripada berguru kepada orang yang demikian itu. Tetapi engkau qasad akan yang demikian itu kerana Allah Taala dan jangan engkau qasad kerana dengki akan dia. Dan demikian lagi jika engkau lihat akan seseorang yang berkehendak membeli akan sahaya padahal engkau ketahui akan sahaya itu pencuri atau berbuat maksiat maka harus engkau khabarkan akan orang yang berkehendak membeli akan dia akan kejahatan sahaya itu supaya menjauhi ia daripada membeli akan sahaya itu. Dan demikian lagi jikalau bertanya seseorang akan dikau akan halo rang yang hendak dijadikan akan saksi maka jikalau engkau ketahui akan orang itu jahat maka harus engkau khabarkan akan kejahatan orang itu.

Dan demikian lagi jika orang yang berkehendak kepada isteri maka bertanya orang akan dikau akan perempuan yang hendak diperbuatnya isteri itu padahal ia jahat perbuatannya maka harus engkau khabarkan akan kejahatan perempuan itu.Dan demikian lagi jika seseorang berkehendak mempersuamikan akan anak perempuannya dengan seorang lelaki yang jahat maka harus engkau khabar kepada bapa perempuan itu akan kejahatan lelaki itu dan barang sebagainya, seperti sabda Nabi SAW:

اذكروا الفاجر بما فيه لكي يحذره الناس – رواه الطبراني وابن حبان

Ertinya: “Sebutkan oleh kamu akan orang yang fajir yakni orang yang fasiq itu akan kejahatan yang ada di dalamnya itu supaya menjauhi akan dia itu oleh manusia”’

Kelima: Harus menyebutkan akan aib orang yang tiada diketahui akan dia melainkan dengan disebutkan akan aibnya itu seperti si fulan yang buta atau si fulan yang tempang atau sebagainya.

Keenam: Harus menyebutkan akan kejahatan orang yang telah masyhur dengan fasiqnya itu seperti orang yang masyhur dengan berzina atau masyhur dengan berliwath atau orang yang masyhur dengan meminum arak atau barang sebagainya.

Dan kata Hasan al-Basri ra:

ثلاثة لا غيبة لهم: صاحب الهوى, والفاسق المعلن بفسقه, والامام الجائر – رواه ابن أبي الدنيا

Ertinya: “Tiga orang tiada haram atas orang yang mengumpat bagi mereka itu.Pertama orang yang bid’ah.Kedua orang yang fasiq yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu sekira-kira jikalau dikata oleh orang akan kejahatannya nescaya tiada ia benci akan yang demikian itu.Ketiga raja yang zalim maka tiada haram atas seorang yang menyebutkan akan pekerjaannya yang zalim itu”.  

Rujukan: Sairus Salikin susunan Syeikh Abd Somad al-Falimbani yang merupakan ringkasan kepada Ihya' Ulumuddin susunan Imam al-Ghazali

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat