Memecahkan Dua Syahwat


Bab pada menerangkan tentang memecahkan dua syahwat: iaitu syahwat perut dan syahwat faraj.

Penghancur terbesar bagi anak Adam ialah syahwat perut. Dengannya dikeluarkan Nabi Adam dan Hawa عليهما السلام daripada syurga ke tempat penuh penderitaan dan kehinaan di dunia. Kedua ibu bap akita tersebut dilarang daripada memakan sepohon pokok. Namun kerana syahwat dan waswas sang iblis, mereka berdua makan daripada pohon tersebut lalu tersingkap aurat mereka dan dikeluarkan daripada tempat penuh kemuliaan dan kenikmatan, yakni syurga. Kisah ini masyhur dalam al-Quran.

Perut hakikatnya adalah punca segala syahwat dan kebinasaan. Di situlah punca lahirnya syahwat faraj dan keinginan seksual. Kemudian diikuti keinginan untuk mendapatkan kemegahan dan harta yang merupakan wasilah untuk bersedap-sedap dengan syahwat nikah dan makanan (faraj dan perut). Daripada tabiat memperbanyakkan mengumpul harta dan kemegahan, timbul pelbagai macam kerosakan lagi umpama riya’, bangga, takabbur. Hingga membawa kepada hasad, permusuhan, kemungkaran dan lain-lain. Semua ini berpunca daripada mengamalkan siyasah perut supaya tidak terlampau kenyang dan penuh. Yang diutamakan hanya siyasah untuk “mendapat” Putrajaya.

Jika seorang hamba itu merendahkan dirinya dengan lapar dan menyempitkan laluan syaitan, nescaya ia akan patuh untuk taat kepada Allah Taala, dan tidak melalui jalan orang yang sombong dan melampau terhadap Allah Taala. Lalu ia tidak akan hanyut di dunia dan tidak akan mengutamakan perkara yang segera terhadap perkara yang akan didapati “di sana”.

Oleh kerana besar sekali bahaya syahwat perut, maka amat wajar diterangkan tentang bahayanya serta dinyatakan jalan mujahadahnya dan fadhilat mereka yang bermujahadah atas jalan ini. Demikian pula diterangkan perkara yang sama dalam syahwat faraj yang berpunca daripada syahwat perut.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Warak menurut Imam al-Ghazali