Kelebihan Surah Yaasin

 


عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ، قَالَ: بَلَغَنِي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ قَرَأَ يس فِي صَدْرِ النَّهَارِ، قُضِيَتْ حَوَائِجُهُ» - رواه الدارمي

Ertinya: Hazrat Ata’ bin Abi Rabah r.h berkata, “Telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan hari, maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” (HR Imam Darimi)

Keterangan

Di antara kelebihan surah Yaasin juga banyak disebutkan dalam hadis-hadis. Adalah diriwayatkan dalam sebuah hadis:

"لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبٌ، وَإِنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ يس مَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ" – رواه البيهقي في شعب الإيمان

Ertinya: “Segala sesuatu mempunyai hati dan hati bagi al-Quran ialah surah Yaasin. Sesiapa membaca surah Yaasin, Allah Taala akan menulis pahala baginya seumpama dia membaca seluruh al-Quran sebanyak sepuluh kali.” (HR al-Baihaqi)

Menurut sebuah hadis yang lain, Allah Taala membaca surah Toha dan surah Yaasin 1000 tahun sebelum menciptakan langit dan bumi. Apabila para malaikat mendengar keadaan ini mereka berkata, “Bertuahlah umat yang akan diturunkan al-Quran ke atas mereka, bertuahlah hati-hati yang akan memikul al-Quran (yakni yang akan menghafalnya) dan bertuahlah lidah-lidah yang akan membaca al-Quran.”

Diriwayatkan dalam satu hadis, “Sesiapa yang membaca surah Yaasin semata-mata kerana Allah Taala segala dosanya yang dahulu akan diampunkan. Oleh itu bacalah surah ini untuk orang yang telah mati.”

Mengikut hadis

سُورَةُ يس فِي التَّوْرَاةِ تُدْعَى الْمُعِمَّةَ، قِيلَ: مَا الْمُعِمَّةُ؟ قَالَ: "تَعِمُّ صَاحِبَهَا بِخَيْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَتُكَابِدُ عَنْهُ بَلْوَى الدُّنْيَا، وَتَدْفَعُ عَنْهُ أَهْوَالَ الْآخِرَةِ" – رواه البيهقي في شعب الإيمان

Ertinya: “Dalam kitab Taurat, surah Yaasin dinamakan Mu’imah (pemberi nikmat) kerana surah itu membawa kebaikan kepada pembaca surah itu dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Al-Quran juga menghindarkan penderitaan di dunia dan di akhirat dan menjauhkan kedahsyatan dalam kehidupan akhirat.” (HR al-Baihaqi)

Surah ini juga dikenali sebagai Rafi’ah Khafidhoh, iaitu yang mengangkat darjat orang berimandan merendahkan darjat orang kafir. Menurut satu riwayat, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah Yaasin berada dalam setiap hati umatku.” Mengikut sebuah hadis yang lain, jika seseorang itu membaca surah Yaasin pada setiap malam dan kemudiannya mati, maka dia akan mati sebagai syahid.

Diriwayatkan daripada hadis yang lain, “Sesiapa yang membaca surah Yaasin, maka dosanya akan diampunkan, sesiapa sahaja yang membaca surah ini semasa kelaparan, akan dihilangkan kelaparannya itu, sesiapa membaca surah ini ketika sesat jalan, akan menjumpai semula jalannya, sesiapa membaca surah ini kerana kehilangan binatang kenderaannya akan menjumpai semula binatangnya itu, dan apabila seseorang itu membaca surah ini kerana bimbangkan makanan tidak cukup, maka makanan itu akan mencukupi. Sekiranya seseorang itu membaca surah Yaasin kepada orang yang sedang dalam keadaan nazak, maka kesakitan ketika nazaknya akan diringankan. Jika seseorang itu membaca surah ini ke atas Wanita yang menghadapi kesukaran semasa melahirkan anak, maka akan dimudahkan kelahiran bayinya.”

Muqri r.h. berkata, “Sekiranya surah Yaasin dibaca oleh seseorang yang takutkan pemerintah atau musuh, maka ketakutan itu akan hilang.” Menurut satu hadis yang lain, jika seseorang membaca surah Yaasin dan surah as-Soffat pada hari Jumaat dan memohon kepada Allah Taala sesuatu, maka doanya akan diterima. (Kebanyakan bahan yang dinukilkan di sini ialah daripada kitab Mazohirul Haq, tetapi sesetengah ulama hadis telah mempersoalkan kesahihan sesetengah daripada riwayat-riwayat tersebut.)

والله أعلم بالصواب

Diolah daripada kitab Fadhilat Amal,

Susunan Sheikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariya    

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Warak menurut Imam al-Ghazali