Kewajipan Berdakwah Mencegah Kemungkaran


Firman Allah Taala:

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر وأولئك هم المفلحون

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu jamaah yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali Imran: 104)

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ketika menerangkan ayat ini mengatakan ayat ini menunjukkan wajib berdakwah kerana kalimah ولتكن adalah fiil mudhari’ yang didahului لام الأمر . Dalam ayat ini juga menjelaskan bahawasanya kejayaan yang haqiqi terikat dengan usaha dakwah di mana Allah mengkhususkan mereka yang melaksanakan kerja dan usaha dakwah dengan ayat وأولئك هم المفلحون . Ayat ini juga menerangkan bahawa Amar Makruf Nahi Mungkar adalah fardhu kifayah bukannya fardhu ain. Sekiranya satu jamaah di kalangan Muslimin melaksanakannya maka gugurlah kefardhuannya daripada orang lain. Jika tidak semua orang Islam adalah berdosa. Jadi saya menyeru kepada semua jemaah supaya menghadiri majlis ijtimak dakwah, majlis-majlis ilmu dan kita fikir, risau serta bimbang dengan nasib umat Islam yang semakin meruncing.

Seruan kepada Allah dan kepada jalanNya, agamaNya dan ketaatan kepadaNya memang menjadi sifat para Nabi dan Rasul dan ciri-ciri hidup mereka. Allah Taala telah mengutus mereka untuk tugas ini. DisuruhNya mereka untuk menyampaikan seruanNya dan diwasiatkan kepada mereka untuk menyampaikan dakwah kepada agamaNya. Dan di atas tugas yang sama inilah juga para ulama amilin dan auliya’ solihin daripada para hamba Allah yang Mukminin telah menurut jejak langkah mereka. Mereka ini terus tetap atas keadaan yang serupa ini pada setiap zaman dan masa.

Mereka menyeru manusia ke jalan Allah dan jalan ketaatanNya dengan kata dan kota, yakni dengan perkataan dan perbuatan, dan dengan sepenuh kesungguhan dan daya upaya, semata-mata kerana mencari keredhaan Allah Taala dan kerana belas-kasihan terhadap hamba-hamba Allah, di samping mengharapkan pahala yang murni daripada Allah dan juga menurut jejak-langkah Rasulullah صلى الله عليه وسلم .

Semua macam kejahatan itu termasuk bala dan bencana yang menarik balasan siksa dan binasa, baik yang sekarang mahupun nanti di akhirat, yang batin ataupun yang zahir; semua itu bersebab daripada melakukan maksiat dan dosa, berani melanggar perintah dan larangan Allah Taala yang menyebabkan Dia murka, sesuai dengan bunyi firmanNya:

فكلا أخذنا بذنبه فمنهم من أرسلنا عليه حاصبا, ومنهم من أخذته الصيحة ومنهم من خسفنا به الأرض ومنهم من أغرقنا, وما كان الله ليظلمهم ولكن كانوا أنفسهم يظلمون (العنكبوت: 40)

“Maka semua mereka itu Kami turunkan siksa ke atas mereka disebabkan dosa masing-masing, yang di antara mereka ada yang Kami kirimkan angin yang keras, ada yang Kami timpakan suara yang keras, ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan ada yang Kami tenggelamkan mereka. Tidaklah Tuhan yang mahu menganiayai mereka, akan tetapi mereka sendiri yang menganiayai diri masing-masing.” (al-Ankabut: 40)

Lantaran itu, maka adalah wajar sekali bagi seorang Mukmin yang takut kepada Tuhannya, yang merasa belas ke atas dirinya, yang percaya bahawa dia akan kembali nanti kepada Tuhannya dan akan menemuiNya; wajarlah dia meninggalkan semua dosa dan maksiat, menjaga diri seboleh-boleh daripadanya. Begitu pula hendaklah dia menganggap bahawa semua dosa itu adalah umpama racun yang membinasakan badan atau umpama air laut yang menenggelamkan orang. Atau seperti api yang membakar jasad, kerana bermandi dengan dosa dan tercebur ke dalam bidangnya, malah lebih berat lagi dari semua contoh-contoh yang dimisalkan tadi dalam banyak hal, sebagaimana yang dikenal semua itu oleh siapa yang mempunyai pandangan tajam kepada agama, dan mengetahui tentang perjalanan para hamba Allah dan beriman lagi bertaqwa. Cuba perhatikan firman-firman Allah Taala yang berikut ini:

الذين يخشون ربهم بالغيب وهم من الساعة مشفقون – 
(الأنبياء: 49)

“Iaitu mereka yang takut kepada Tuhan mereka ketika bersendirian (ghaib) dan mereka juga terlalu bimbang dengan kedatangan saat (kiamat).” (al-Anbiya’: 47)

الذين يظنون أنهم ملاقوا ربهم وأنهم إليه راجعون – (البقرة: 46)

“Dan mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” (al-Baqarah: 46)

ومن يخالف شرعه الذي ظهر ويستحل فعله فقد كفر

Kata-kata ini adalah sebahagian daripada petikan kitab Al-Junnah fi Syarhi Aqidah Ahlil Jannah karya Syeikh Muhammad Kholil al-Khotib an-Nidi, salah seorang ulama al-Azhar.

Maksudnya: “Dan siapa yang menyalahi syariat Allah yang nyata, dan menghalalkan perbuatannya tersebut maka dia telah kafir”

Huraian: Sesiapa yang menyalahi syariat Islam dan menghalalkan perbuatan tersebut maka dia telah kufur dengan Allah Taala dan wajib dibunuh. Contohnya orang yang meninggalkan solat dan menghalalkan perbuatan meninggalkan fardu solat, dan orang yang berzina serta mengharuskan zinanya, dan orang yang meminum arak dengan iktiqad halalnya arak. Mereka yang beriktiqad seumpama begini wajib mengucap dua kalimah syahadah semula serta bertaubat nasuha dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar.

Golongan bukan Islam tidak boleh menzahirkan amalan minum arak dan memakan babi di dalam sebuah Negara Islam. Tokoh besar dalam Fiqh Kenegaraan dan Perundangan serta Penghakiman iaitu al-Imam al-Mawardi asy-Syafii(450H) menyebut di dalam kitabnya “al-Hawi al-Kabir":
 
والرابع: أن لا يتظاهروا بشرب خمورهم وخنازيرهم ولا يسقوا مسلما خمرا, ولا يطعمونهم خنزيرا.

“Dan yang ke-empat: Hendaklah mereka (golongan bukan Islam di bawah pemerintahan Islam) tidak menzahirkan perbuatan mereka meminum arak dan perbuatan mereka memakan babi dan mereka tidak boleh memberi minum arak kepada Muslim dan tidak boleh memberi mereka makan babi.”

Akhirnya saya menyeru kepada semua untuk sama-sama kita merebut fadhilat Amar Makruf Nahi Mungkar di mana antaranya Allah menyebut mereka yang melaksanakan kerja dakwah adalah sebaik-baik umat. Mudah-mudahan kita dirahmati dan diredhai oleh Allah seperti firmanNya:

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءامن أهل الكتاب لكان خيرا لهم منهم المؤمنون وأكثرهم الفاسقون – آل عمران (110)



Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat