Faedah Menundukkan Pandangan

Sesungguhnya pemuda yang bermuraqabah dengan Tuhannya dan menundukkan pandangannya pada zaman kini adalah seorang wali daripada wali-wali Allah Taala. Para ulama telah menyebutkan faedah yang banyak bagi perbuatan menundukkan pandangan, antaranya adalah seperti berikut:

1 ) Pembersihan hati daripada deritanya penyesalan. Barangsiapa yang tidak menjaga pandangan penyesalannya akan berkekalan. Ingatlah bahawasanya sesiapa yang tidak menjaga pandangannya pasti penyesalannya akan berkekalan.

Perkara yang paling memudhoratkan hati ialah tidak menjaga pandangan. Ini kerana nisbah pandangan kepada hati umpama anak panah pada panahannya. Sekiranya ia tidak membunuhnya, ia mencederakannya. Atau diumpamakan percikan api yang dilempar ke arah rumput kering. Jika ia tidak membakar semuanya, sebahagiannya akan terbakar.

Benarlah kata syair yang bermaksud:

"Setiap insiden bermula daripada pandangan***dan kebanyakan api itu berpunca daripada percikan api yang kecil."

Berkata Ibnul Qayyim rahimahullah:

"Sesungguhnya pandangan itu melukakan hati dengan satu lukaan. Kemudian dituruti lukaan demi lukaan. Kemudian kesakitan luka itu tidak mencegahnya daripada mengulanginya.

2 ) Sesungguhnya ia mewarisi cahaya dan pencerahan terhadap hati yang terzahir pada mata, wajah dan anggota badan.

Kata Ibnul Qayyim rahimahullah:

Kerana itu ( wallahu a'lam ) Allah Taala menyebut ayat an-Nur cahaya dalam firmanNya:
الله نور السماوات والأرض - النور: 35
selepas firmanNya:
قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم - النور: 34  

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:

"Pandangan itu adalah anak panah yang beracun daripada panahan Iblis. Maka sesiapa yang menundukkan pandangannya daripada kecantikan perempuan, Allah mewariskan akan hatinya kemanisan yang dapat dirasainya sehingga bertemuNya."

3 ) Sesungguhnya ia mewarisi firasat yang benar kerana ia daripada cahaya dan buahnya. Apabila hati itu bercahaya maka benarlah firasat kerana ianya seumpama cermin yang cerah. Apabila seseorang hamba tidak menjaga pandangannya akan mengakibatkan cermin hatinya menjadi kabur.

Berkata Syuja' al-Karmani: "Siapa yang membina zohirnya dengan mengikut sunnah, dan batinnya dengan ubat muraqabah dan menundukkan pandangannya daripada yang diharam serta menahan nafsunya daripada syahwat dan memakan yang halal tidak akan tersalah firasatnya".

Allah Taala membalas hambaNya dalam seseuatu amalan dengan yang sejenis dengannya. Maka sesiapa yang menundukkan pandanganNya daripada yang haram Allah Taala gantikan dengan cahaya matahati yang tajam.

Firman Allah Taala dalam surah ar-Rahman ayat 60:
هل جزاء الإحسان إلا الإحسان

4 ) Dalam menundukkan pandangan akan terbuka jalan-jalan ilmu serta pintunya dan dimudahkan baginya sebab-sebabnya.

Telah ditanya Luqman al-Hakim rahimahullah: Dengan apa engkau diberikan hikmah?

Maka jawabnya dengan sembilan sebab.

1) Aku tundukkan pandanganku.
2) Aku jaga lidahku.
3) Warak pada pemakananku.
4) Aku menjaga kemaluanku.
5) Perkataanku yang benar.
6) Aku menunaikan janji.
7) Aku memuliakan tetamuku.
8) Aku menjaga hak-hak jiranku.
9) Aku meninggalkan apa yang tidak berkaitan denganku.

### Akan bersambung in sya Allah.

Diterjemah oleh Ibnu Azmi asy-Syafii an-Naqsyabandi daripada kitab " النظر بين الرجل والمرأة" oleh Dr Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, pensyarah Usul Fiqh Kulliyah Syariah wal Qanun, al-Azhar cawangan Tanta.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat