Tuesday, December 22, 2015

Secebis kisah kelahiran Rasulullah SAW

Ketika Siti Aminah hamilkan Rasulullah SAW telah zahir beberapa keajaiban dalam kehamilannya. Kata Sahl b Abdullah at-Tastury r.a: “Ketika Allah Taala menghendaki untuk menciptakan Nabi Muhammad SAW dalam perut ibunya Aminah pada malam Rejab berbetulan malam Jumaat, Allah memerintahkan Ridhwan malaikat penjaga syurga untuk membuka syurga al-Firdaus. Lalu berseru penyeru di langit dan bumi ketahuilah bahawasanya Nur (cahaya) yang tersimpan yang tersembunyi yang menjadi tanda Nabi seorang petunjuk telah menzahir pada mala mini di perut ibunya.Yang mana sempurna penciptaannya dan akan keluar kepada manusia sebagai pembawa berita gembira serta mengingatkan dengan ancaman bagi yang ingkar.”


Dalam hadis Ibnu Ishaq bahawasanya Siti Aminah menceritakan bahawa dia didatangi sesuatu ketika hamilkan Nabi SAW lalu dikatakan kepadanya bahawa engkau sedang mengandungkan Penghulu umat ini. Kata Siti Aminah: “Aku tidak merasakan bahawa aku sedang menghamilkannya. Dan tidak aku dapati berat dan kesakitan sepertimana perempuan lain yang mengandung. Kecuali aku tidak mengalami haidh dan datang sesuatu kepadaku ketika aku antara tidur dan jaga lalu dia mengatakan: “Apakah kau sedar bahawasanya kau mengandungkan dengan penghulu segala makhluk? Kemudian ketika hampir  bersalin Malaikat datang lagi dan mengatakan kepadaku “Katakanlah Aku lindungkan dia dengan Tuhan Yang Maha Esa, daripada kejahatan setiap yang hasad; Kemudian namakanlah dia Muhammad.”

Daripada Abu Zakaria Yahya b ‘Aaiz “Nabi SAW berada dalam perut ibunya Sembilan bulan sempurna. Ibunya tidak mengadu sakit, kembung perut, sakit angin dan lain2 yang dialami oelh wanita2 yang mengandung. Siti Aminah mengatakan: “Demi Allah, tidak pernah aku lihat kehamilan yang paling ringan dan paling besar barakahnya selainnya.”

Setelah sempurna dua bulan kehamilan, wafat bapa Baginda, Abdullah di Madinah di sisi kerabatnya dari kalangan Bani an-Najjar dan dimakamkan di Abwa’. Daripada Ibnu Abbas r.a bahawasanya ketika wafat bapa Baginda Abdullah berkata para Malaikat: “Ya Tuhan kami, NabiMu telah menjadi anak yatim. Maka Allah berfirman: “Akulah Penjaga dan Penolong baginya.

Daripada Hassan b Tsabit r.a katanya aku ketika itu budak berumur tujuh atau lapan tahun. Aku lihat dan aku dengar seorang Yahudi menjerit suatu pagi Wahai golongan Yahudi. Maka mereka pun mendengar mereka bertanya ada apa? Jawab Yahudi tadi: “Telah terbit bintang Ahmad yang lahir pada malam tadi. Daripada Aisyah Ummul Mukminin r.anha katanya “Adalah seorang Yahudi tinggal di Mekah. Ketika malam kelahiran Rasulullah SAW katanya: “Wahai kaum Quraisy, adakah lahir seorang anak di kalangan kamu pada malam ini? Mereka menjawab “Kami tidak tahu. Katanya: “Pergilah kalian cari. Sesungguhnya telah lahir pada malam ini Nabi umat ini. Antara dua bahunya terdapat tanda kenabian. Maka mereka pun beredar dan bertanya2 siapa yang melahirkan anak. Lalu dikatakan kepada mereka: Telah lahir anak lelaki kepada Abdullah b Abd Muttalib. Maka Yahudi itu pun bersama mereka pergi berjumpa ibu Nabi SAW lalu ditunjukkan kepada mereka bayinya. Ketika Yahudi tersebut melihat tanda kenabian dia terus pengsan dan berkata: “Telah hilang Nubuwah daripada Bani Israel. Wahai kaum Quraisy, demi Allah! Akan datang kepada kamu kekuasaan. Akan keluar beritanya daripada timur dan barat. – diriwayatkan oleh Yaakob b Sufyan dengan isnad yang hasan sebagaimana di dalam Fathul Bari.

Di antara keajaiban kelahiran Nabi SAW juga apa yang diriwayatkan daripada bergegarnya istana Kisra dan jatuhnya 14 daripada berandanya serta keringnya Tasik Tabariah dan terpadamnya api Parsi yang sebelum ini 1000 tahun tidak pernah terpadam sepertimana yang diriwayatkan oleh ramai orang perawi. Antara keajaiban yang berlaku juga bertambahnya penjagaan langit dengan ditutup intaian syaitan dan dihalang mereka daripada mencuri dengar berita. Nabi SAW juga dilahirkan dalam keadaaan berkhatan dan terpotong tali pusat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar dan lain2. Dan daripada Anas r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Di antara kemuliaanku di sisi Tuhanku ialah aku dilahirkan dalam keadaan berkhatan. Maka tiada seorang pun yang melihat auratku.”

Telah berselisih pendapat ulama dalam menentukan tahun kelahiran Baginda SAW. Majoriti ulama berpendapat Baginda dilahirkan pada tahun gajah ataupun lebih tepat 50 hari selepas peristiwa tersebut. Baginda dilahirkan pada 12 Rabiul Awal ketika terbitnya fajar hari Isnin. Daripada Ibnu Abbas r.anhuma katanya Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin. Demikian juga dilantik menjadi Nabi pada hari Isnin. Keluar berhijrah daripada Mekah ke Madinah juga pada hari Isnin dan masuk ke Madinah juga pada hari Isnin. Peristiwa Fathu Mekah dan turunnya surah al-Maidah juga berlaku pada hari Isnin.

Daripada Abdullah b Amru b al-‘Ash r.anhuma katanya ada seorang pendeta bernama Iso daripada penduduk Syam. Pendeta tersebut berkata: “Hampir2 akan lahir di kalangan kamu di Mekah yang mana beriman dengannya orang Arab dan memerintah orang Ajam. Inilah zamannya. Maka tidaklah lahir di mekah seorang bayi melainkan beliau bertanyakan tentangnya. Manakala tibanya pagi dilahirkan Rasulullah SAW keluar Abd Muttalib hingga berjumpa dengan Iso maka Iso pun memanggil Abd Muttalib. Maka kata Iso: “Telah lahirlah bayi yang aku ceritakan pada kamu lahirnya pada hari Isnin, diutuskan menjadi Nabi pada hari Isnin dan mati juga pada hari Isnin. Maka kata Abd Muttalib: Telah lahir bagiku Subuh tadi seorang bayi. Lalu Iso bertanya: “Apa yang kau namakannya? Katanya “Muhammad. Kata Iso: “Demi Allah, sungguh aku berharap agar itulah bayinya di kalangan kamu wahai ahlul bait dengfan tiga ciri. Sesungguhnya telah terbit bintangnya semalam dan dia lahir pada hari ini serta namanya adalah Muhammad SAW.

Malam kelahirannya adalah lebih afdhol daripada malam Lailatul Qadar. Pada mulanya Nabi SAW disusukan oleh Tsuwaibah hamba yang dimerdekakan oleh Abu Lahab ketika dia memberi berita gembira kepada Abu Lahab dengan kelahiran Nabi SAW. Selepas matinya Abu Lahab ada seorang bermimpi lalu ditanya: Apa keadaanmu? Katanya “Di neraka kecuali diringankan bagiku pada setiap malam Isnin aku boleh minum air daripada dua ibu jariku disebabkan aku membebaskan Tsuwaibah ketika dia menggembirakanku dengan kelahiran Nabi SAW dan penyusuannya kepada Nabi SAW.

Kata Ibnu al-Jazari: “Apabila Abu Lahab yang kafir yang mana turun ayat Quran mengejinya dibalas baik kerana kegembiraannya pada malam kelahiran Nabi SAW, maka bagaimana hal seorang Muslim yang bertauhid di kalangan umatnya SAW yang bergembira dengan Maulid baginda serta mengorbankan apa yang termampu dalam mengasihinya SAW. Maka sudah pasti balasannya daripada Allah Yang Maha Mulia ialah dimasukkkan ke dalam kurniaNya syurga Jannatun Naim…..”

Diterjemah dan diolah oleh Ibnu Azmi asy-Syafii daripada kitab al-Anwarul Muhammadiyah minal Mawahibal Ladunniyah karya al-Qadhi asy-Syeikh Yusuf Ismail an-Nabhani.

No comments: