PENGARUH ULAMA’ PONDOK DALAM PENENTUAN TARIKH KEMERDEKAAN NEGARA


Ilmu Falak ialah suatu cabang ilmu unik dan sering mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Sebelum dikupas kedudukan ilmu ini dari kaca mata yang berbeza, suka dipetik tulisan Sdra. Nor Azam Mat Noor, Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Universiti Sains Malaysia di dalam Utusan Malaysia pada 31 Ogos 2004 mengenai hubungan kepentingan ilmu falak dalam mentadbir aturan hidup manusia :-

Sebelum Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra berlepas ke London untuk merundingkan tuntutan kemerdekaan daripada Kerajaan Inggeris, beliau telah meminta nasihat daripada al-Marhum Syeikh Abdullah Fahim. Al-Marhum Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan al-Marhum Syeikh Abdullah Fahim kerana pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu.

Al-Marhum Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab "AM KHIR ATANA", yakni tahun baik datang kepada kita - bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan.

Beliau juga melarang pemuda-pemuda UMNO memberontak dan merampas kuasa jika Kerajaan Inggeris tidak menyetujui tarikh 31 Ogos 1957 ini. Jika kemerdekaan tidak dapat disambut pada tarikh yang dikehendaki itu, Al-Marhum Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962.

Mengambil kira hakikat ini atas ilham pemilihan tarikh kemerdekaan yang dibuat oleh al-Marhum Syeikh Abdullah Fahim, tentu ada sebab yang berpatutan yang mendorong tarikh 31 Ogos 1957 ini dipilih, istimewanya mungkin dari kedudukan buruj-buruj bintang yang boleh kelihatan pada waktu maghrib sempena detik kemerdekaan negara 1957.

Kajian falak menunjukkan bahawa pada malam kemerdekaan terdapat empat buah buruj sedang berada di ufuk barat sejurus selepas terbenam matahari pada jam 7.19 malam, 30 Ogos 1957 bersamaan 4 Safar 1377 H, malam Sabtu. Buruj-buruj tersebut ialah Buruj Kala Jengking (Scorpio), Buruj Dacing (Libra), Buruj Anak Dara (Virgo) dan Buruj Kapal Layar(The Sail). Kelihatan juga dua buah planet dalam keadaan sangat terang pada ketika itu - planet Musytari (kecerahan 100%) dan planet Zuhrah (kecerahan 79%). Kedua-dua planet berhampiran dengan Buruj Kapal Layar. Bulan pula tepat berada di dalam Buruj Libra. Apabila kedua-dua tarikh pilihan al-Marhum Syeikh Abdullah Fahim diperbandingkan; iaitu bagi malam 31 Ogos 1957 (4 Safar 1377H) dan malam 31 Ogos 1962 (29 Rabiul Awal 1382H); maka akan didapati jasad cakerawala berkedudukan serupa !

Pada 16 September 1963 - Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah telah bersetuju untuk membentuk negara Malaysia. Brunei, yang turut menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia telah membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir. Namun, tidak ramai di antara kita yang menyedari rahsia disebaliknya apabila permasyhuran Malaysia pada hari itu telah dimeterai oleh peristiwa falak seumpama mata rantai yang mengikat antara keduanya. Bandaraya Kuala Lumpur turut diisytiharkan sebagai ibu kota negara Malaysia dengan lokasinya yang berada di pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Menghayati artikel ini akan menyedarkan kita bahawa ilmu falak dalam konteks agama Islam tidak terhad kepada fenomena saintifik semata-mata, malah ia membantu kita membuat keputusan tepat yang selari dengan hukum fitrah yang ditetapkan Allah Taala. Buruj Kapal Layar dipilih UMNO sebagai lambang Parti Perikatan dan Buruj Dacing diambil UMNO sebagai lambang Barisan Nasional. Dan huruf alif-mim-wau-nun dalam huruf ejaan UMNO sendiri mempunyai maksud falak yang tersendiri - sedangkan UMNO itu ialah singkatan dari bahasa inggeris untuk United Malay National Organisation ? Adakah kesemua ini suatu kebetulan ???

Para ulama’ pondok tidak pernah menghukum syirik kitab-kitab yang menjelaskan mengenai pengaruh ilmu falak terhadap aturan hidup manusia seperti dalam Risalah Durar al-Azman Pada Mengirakan Pangkal Tiap-Tiap Tahun Dan Bulan, Natijah AI-Ahmadiah, Kitab Abi Maksyaral Falakie, Kitab Tajul Muluk dan sebagainya menceritakan dengan jelas tentang zodiak, empat unsur, tarikh lahir, huruf nama, hari nahas/celaka dan sebagainya.

Semoga kerajaan dapat mengumpul dan menghimpun orang-orang seumpama Syeikh Abdullah Fahim al-Fathtani, Syeikh Raja Muhammad Sa'id al-Bugisi, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minangkabawi, Kiyai Muhammad Shalih al-Achesi dll. Hidup mereka tidak kaya dan tidak bergaya. Hidup mereka sentiasa disuluh ilmu feqah al-Shafie dan ilmu tasauf al-Ghazali. Inilah sekelom[ok manusia yang kian pupus, menyepi diri…..yang wajar kita rujuk untuk diambil berkat dan nasihat bagi membantu pemerintah membangunkan Agama Islam, Bangsa Melayu dan Negara Jawi !

Catatan kali ini diakhiri dengan simpul rumusan Sdra. Nor Azam Mat Noor yang begitu menyentuh sekali "....walaupun peristiwa falak mempunyai beberapa hubungan yang berkait dengan sejarah negara, ini sebenarnya adalah suatu yang lumrah dan bukannya suatu kuasa kosmik yang luar biasa. Maksud di sini ialah peristiwa falak menjadi titik-tolak bagi meraikan hari yang bersejarah secara kesederhanaan di mana kita boleh jadikannya sebagai satu iktibar bahawa perjalanan alam ini telah diatur sedemikian rupa oleh Allah Ta'ala dan mempunyai erti yang amat besar kepada hamba-hamba yang mendapat kurniaNya".

Selanjutnya beliau menyatakan "...dalam disiplin ukur tanah, sesuatu ukuran lot sempadan tanah adalah diukur dan diikat dengan posisi kedudukan matahari bagi menentukan arah utara, selatan, timur dan barat bahkan juga arah kiblat. Ini secara langsung menunjukkan bahawa peristiwa falak tidak sahaja mengikat sesuatu hari yang diraikan itu, bahkan ia turut sama mengikat kedudukan kita di atas muka bumi ini atau dalam erti kata lain ialah darinya juga kita akan dikembalikan. Kita tidak dapat lari ke mana-mana di alam ini kerana kita sebenarnya telah diikat rapi oleh masa dan ruang. Peristiwa falak adalah masa dan ruang itu".

Al-marhum Syeikh Abdullah Fahim pernah dipetik oleh Al-marhum Tunku Abdul Rahman Putra sebagai berkata:- “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredhaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita.”

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat