Manusia Berbeza Antara Satu Sama Lain
Allah Taala memberikan keistimewaan kepada anak-anak
Adam dengan segala nikmat-Nya yang khusus lalu Dia menjadikan mereka
sebaik-baik ciptaan melebihi kebanyakan ciptaan-Nya. Allah Taala menjadikan
mereka sebaik-baik makhluk, tabiat yang paling sempurna, susunan kejadian yang
paling seimbang, kehidupan yang penuh kenikmatan, sebaik-baik perjalanan menuju
tempat Kembali sesuai dengan kurniaan akal yang sedar serta harapan yang jelas
memimpin mereka.
Allah Taala jualah yang menghiasi manusia dengan
keindahan adab yang baik, budi pekerti yang mulia, lantaran itu mereka dapat
membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Allah Taala juga memuliakan
Pembina ke atas binaannya, raja ke atas hambanya, pemimpin ke atas rakyatnya,
supaya menjadi jalan agar mereka mengetahui perbezaan antara Pencipta dan
makhluk, di samping hujah yang jelas bagi mengesahkan kewujudan Pencipta yang
Qadim (azali). Cuma mereka yang keras hati, ingkar dan angkuh Sahaja yang akan
menafikannya.
Dengan belas kasihan-Nya, sekali lagi Allah Taala
mengurniakan kepada manusia dengan menjadikan mereka berbeza dari sudut akal
dan buah fikiran, sebagaimana Allah Taala menjadikan harta yang dimiliki,
kedudukan dan pangkat mereka tidak sama. Ini kerana sekiranya ditakdirkan
keadaan mereka itu sama atau hamper sama, maka hal tersebut akan membawa kepada
kerosakan yang kemudiannya berakhir dengan kebinasaan akibat daripada
perbalahan dan persengketaan yang mencetuskan penindasan dan kezaliman.
Sesungguhnya orang yang berakal akan mengetahui
sekiranya semua manusia menjadi raja, maka mereka akan saling berperang sesama
mereka. Atau sekiranya ditakdirkan semuanya menjadi manusia biasa, nescaya akan
binasa juga dengan sendirinya. Andai kata semuanya kaya, maka tidak ada yang
akan bekerja untuk orang lain mahupun adanya tempat untuk dihulurkan bantuan.
Jika semuanya miskin pula, mereka akan menderita mati dan binasa dalam
kemiskinan.
Oleh itu, apabila sifat cemburu dan suka berbangga itu
menjadi tabiat semula jadi diri manusia, maka perbezaan taraf hidup dan keadaan
mereka menjadi daya penyebab kepada kelangsungan dan kepuasan hidup.
Justeru, seorang yang memiliki kekayaan duniawi dengan
cara yang begitu mudah namun tidak memiliki ilmu dan adab, apabila melihat
keadaan orang yang cerdik pandai namun hidup dalam serba kekurangan, maka dia
tidak sangsi lagi bahkan meyakini bahawa harta yang dimilikinya itu sebenarnya Ganti
kepada kecerdasan akal yang tidak dimilikinya.
Manakala seorang yang beradab mulia namun fakir
miskin, apabila dia menghalusi keadaan si kaya yang jahil maka tanpa ragu lagi
dirinya itu sebenarnya dimuliakan dan diutamakan berbanding si kaya tersebut.
Begitu juga halnya seorang pekerja mahir yang
menjalani kehidupan menerusi Kemahiran yang dimilikinya. Dia tidak akan iri
hati kepada raja yang banyak bertanya ataupun luas kuasanya. Semu itu petanda
hikmah dan bukti kehalusan tadbir-Nya, dan tanda-tanda Rahmat dan belas kasihan-Nya.

Comments