Adakah Boleh Berhujah Dengan Qadha dan Qadar?
Persoalan tentang bolehkah berhujah dengan
qadha dan qadar, ada tiga perbahasan hukum mengikut keadaan sama ada tidak
boleh, boleh malah ada ketikanya hukumnya menjadi wajib.
Pertama: Tidak harus berhujah dengan qadha
dan qadar dalam dua situasi.
Situasi pertama: Berhujah dengan qadha dan
qadar sebelum berlaku agar dapat melakukannya. Contohnya seseorang berkata: “Allah
telah mentaqdirkan kepadaku berzina” sebagai tujuannya dengan demikian itu
untuk membolehkannya melakukan zina.
Situasi kedua: Berhujah selepas berlakunya
maksiat dengan tujuan untuk melepaskan diri daripada pembalasannya. Contohnya
apabila disabitkan bersalah melakukan zina lalu dia berkata: “Allah telah
mentaqdirkan demikian itu kepadaku” tujuannya agar terlepas daripada hukuman hudud.
Hal kedua: Berhujah dengan qadha dan qadar
selepas terjadi untuk menolak kecaman sahaja, maka tidak mengapa. Dalam suatu
hadis:
تَحَاجَّ
آدَمُ وَمُوسَى، فَقَالَ لَهُ مُوسَى: أَنْتَ آدَمُ الَّذِي أَغْوَيْتَ النَّاسَ
وَأَخْرَجْتَهُمْ مِنَ الْجَنَّةِ إِلَى الْأَرْضِ؟ فَقَالَ لَهُ آدَمُ: أَنْتَ
مُوسَى الَّذِي أَعْطَاكَ اللَّهُ عِلْمَ كُلِّ شَيْءٍ، وَاصْطَفَاكَ عَلَى
النَّاسِ بِرِسَالَتِهِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: أَتَلُومُنِي عَلَى أَمْرٍ كَانَ
قَدْ كُتِبَ عَلَيَّ أَنْ أَفْعَلَ مِنْ قَبْلِ أَنْ أُخْلَقَ؟ " قَالَ:
«فَحَاجَّ آدَمُ مُوسَى»
Maksudnya:
Nabi Adam a.s berdebat dengan Nabi Musa a.s. Berkata Nabi Musa: “Kamu bapa
manusia yang menjadi sebab bagi pengeluaran anak-anakmu daripada syurga dengan
sebab engkau makan daripada pokok itu”. Maka jawab Nabi Adam: “Wahai Musa, maka
engkau yang dipilih Tuhan sebagai kalimullah, telah menulis bagimu Taurat dengan
tanganNya (maksudnya kekuasaanNya), engkau mencela aku atas perkara yang telah
ditetapkan oleh Allah Taala ke atasku 40 ribu tahun sebelum penciptaanku”.
Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم: (Maka telah berhujah
Nabi Adam akan Musa).
Hadis
ini menarik untuk dibahaskan. Saya akan bahaskan sedikit.
Dalam
menghuraikan hadis ini ada beberapa pandangan para ulama. Antaranya yang dicela
tersebut adalah perbuatan yang mengeluarkan dirinya dan zuriatnya daripada
syurga. Bukan mencela perbuatan maksiat kerana sudah maklum para Nabi adalah
maksum. Keduanya ada di kalangan ulama yang mengatakan Nabi Adam berhujah
dengan qadha qadar di sini terhadap musibah yang menimpanya. Ini termasuk dalam
hal ketiga yang akan diterangkan kelak. Ketiga: Hujah Nabi Adam tersebut
berlaku selepas zaman taklif, iaitu berlaku selepas kewafatan dalam alam ruh.
Keempat: Nabi Musa tidak berhak untuk mencela Nabi Adam kerana Baginda tidak
pernah diperintahkan untuk melakukan perkara sedemikian. Kelima: Huraian ini lemah
sedikit, iaitu sebagai anak, tidak wajar dan tidak beradab untuk Nabi Musa
mencela bapa sendiri, iaitu Nabi Adam.
Hal
ketiga: Wajib berhujah dengan qadha qadar. Wajib untuk qadha dan qadar bagi
meringankan yang terkena musibah dahsyat. Juga untuk mengurangkan kesombongan
dan ketakburan semasa senang.
والله أعلم بالصواب
Comments