Taqrir Matan Abi Syuja'
TAQRIR MATAN ABI SYUJA’
Ringkasan Riwayat hidup pengarang kitab
Di
dalam at-Tobaqat al-Kubra karya Imam as-Subki dalam Tobaqat (generasi) kelima
ulama yang mengikuti mazhab al-Imam Abi Abdillah asy-Syafii R.A di kalangan
ulamak yang wafat selepas 500H (no 567)…dinyatakan beliau ialah Ahmad bin
al-Hasan bin Ahmad al-Asbahani al-Qadhi Abu Syuja’, penyusun kitab “al-Ghayah
fi al-Ikhtisor”. Diriwayatkan bahawa beliau belajar di Basrah lebih daripada 40
tahun dalam mazhab Syafii.
Berkata
Syeikh Hani al-Haj: “Abu Syuja’ lahir pada tahun 433H di Basrah. Beliau
dilantik jawatan Menteri pada tahun 447H lalu menyebarkan keadilan dan agama.
Beliau tidak akan keluar daripada rumahnya hinggalah bersolat dan membaca
al-Quran. Dalam menyebarkan kebenaran beliau tidak menghiraukan cacian pencaci.
Beliau
telah mempelajari di Basrah lebih daripada 40 tahun dalam mazhab Imam Syafii
R.A. Kemudian beliau bermukim di Madinah Munawwarah membersihkan Masjid Nabi
yang mulia dan menyalakan lampu hinggalah wafat salah seorang yang berkhidmat
menjaga maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Beliau mengambil alih
tugas menjaga maqam Rasulullah صلى الله عليه
وسلم
hinggalah beliau wafat pada tahun 593H dan dikebumikan di masjidnya yang dibina
berdekatan Bab Jibril A.S (tempat yang Malaikat Jibril bertemu dengan Nabi صلى الله عليه وسلم)
Al-Qadhi
Abu Syuja’ R.A hidup selama 160 tahun namun anggota tubuhnya tidak dimamah
usia. Bila ditanyai perkara tersebut, jawabnya: “Aku tidak pernah melakukan
maksiat dengan anggota tubuhku, oleh kerana aku menjaganya ketika muda daripada
melakukan maksiat kepada Allah, Allah Taala menjaganya sewaktu usiaku tua.”
Nisbah Kitab Kepada Penyusunnya
Kitab
“Ghayah al-Ikhtisor” atau “at-Taqrib” yang masyhur dengan nama “Matan Abi
Syuja’” tidak diragukan lagi bahawasanya ia susunan al-Imam Abu at-Toyyib yang
lebih dikenali dengan Abu Syuja’ sebagai yang disebut ulamak-ulamak yang
mensyarahkan kitab ini seperti Syeikh Muhammad bin Qasim dan al-Khotib
asy-Syirbini dan lain-lain.
Syarahan-syarahan kepada kitab ini
Antaranya
ialah:
1- “Kifayah
al-Akhyar” karya Abu Bakar bin Muhammad al-Hishni ad-Dimasyqi yang wafat pada
tahun 829H.
2- “Syarah
Mukhtasor Abi Syuja’” karya Ahmad al-Ikhsosi (wafat 889H)
3- “Fath
al-Qarib al-Mujib” karya Muhammad bin Qasim yang wafat pada tahun 928H. Kitab
ini mempunyai banyak hasyiah seperti al-Baijuri, al-Azizi, al-Barmawi,
al-Qalyubi. Syeikh Abu Muhammad al-Makki menyebut dalil-dalil kitab ini dalam
kitabnya yang bernama “Fath al-Hadi ar-Raqib fi Adillati Fath al-Qarib
al-Mujib.
4- “An-Nihayah
fi Syarh al-Ghayah” karya Waliyuddin al-Basir (wafat selepas 972H).
5- “al-Iqna’ fi
Hilli Alfazi Abi Syuja’” karya Muhammad al-Khatib asy-Syirbini yang wafat pada
tahun 977H. Kitab ini mempunyai banyak hasyiah yang disusun oleh para ulamak
seperti al-Bujairumi, al-Ajhuri dan lain-lain.
Manhaj Abu Syuja’ Dalam Kitabnya
Kitab
“Ghayah al-Ikhtisor” sangat bertepatan dengan namanya. Kitab ini antara kitab
yang paling ringkas yang dikarang dalam fiqah al-Imam asy-Syafii. Matan yang
kecil ini merangkumi keseluruhan cabang fiqah mazhab Syafii.
Matan
ini adalah antara kitab mazhab yang terbaik dari sudut susunannya. Walaupun
kitab ini kecil, ia syumul dalam kesemua bab feqah dan kebanyakan hukum dan
masalahnya dalam bab ibadat, muamalat dan lain-lain. Dibawakan dalam ibarat
bahasa yang mudah, kecantikan lafaz dan susunan yang elok. Ia juga istimewa dari sudut pembahagian tajuk yang memudahkan para panuntut
ilmu Allah Taala mempelajarinya.
Beliau menyifatkan karyanya seperti
berikut: “Telah meminta sebahagian rakanku HafizohumuLLahu Taala supaya daku
membuat mukhtasor (ringkasan) dalam feqah mazhab Imam Syafii RahmatuLLah sehabis-habis
ringkas; supaya mudah penuntut ilmu mempelajarinya terutamanya yang baru
belajar untuk menghafaznya. Dan supaya daku memperbanyakkan pembahagiannya.
Maka daku sahut permintaan tersebut dengan mengharapkan pahala dan supaya Allah
Taala memberi taufiq kepada jalan yang benar. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa
terhadap apa yang dikehendaki-Nya lagi Amat Berlemah Lembut dengan hamba-Nya.”
Antara Masaalah
Kitab
Antara permasaalahan yang disebut
dalam kitab Matan Abi Syuja’ ialah masaalah perkara yang membatalkan wudhuk. Kata
Syeikh Abu Syuja’: “Perkara yang membatalkan wudhuk 6 perkara. Pertama; Apa
yang keluar daripada dua jalan (qubul dan dubur). Kedua; Tidur yang tidak tetap
papan punggung. Ketiga; Hilang akal dengan sebab mabuk ataupun sakit. Keempat; Lelaki
menyentuh Wanita Ajnabi tanpa berlapik. Kelima; Menyentuh kemaluan anak Adam
dengan tapak tangan (باطن الكف). Keenam; Menyentuh
halaqah dubur mengikut qaul Jadid.”[1]
Dapat difahami daripada matan
perkara yang membatalkan wudhuk ada 6 perkara:
Pertama: Apa saja yang keluar
daripada salah satu daripada dua jalan (qubul dan dubur). Dalam Hasyiah
al-Bajuri disebut: “Yang dimaksudkan ibarat ini ialah keluar sesuatu itu dengan
yakin. Maka jika yakin dalam keadaan bersuci, kemudian syak adakah berhadas
ataupu tidak, maka tidak menjadi mudharat kerana asalnya masih kekal toharah.
Maka syak tersebut tidak menjadikan ia dikira berhadas.”
Dalilnya ialah firman-Nya dalam
surah al-Maidah:6:-
"أو جاء أحد منكم من الغائط"
Yakni, daripada tempat qadha hajat.
Kata al-Khatib asy-Syirbini dalam
al-Iqna’: “Disebutkan dengan dua jalan atas Ghalib (kebiasaan), di mana bagi
wanita ada tiga tempat keluar, dua di qubul dan satu di dubur. Sekiranya ada
lelaki yang mempunyai dua zakar, maka apa yang keluar daripada kedua-duanya
juga membatalkan wudhuk. Begitu juga bagi wanita yang diciptakan dengan dua
faraj sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Majmuk.”
Katanya lagi: “Dikecualikan daripada
perkara tersebut (membatalkan wudhuk), keluarnya mani seseorang (maninya
sendiri), umpama keluar mani dengan sebab semata-mata memandang atau mimpi
dalam keadaan tidur yang tetap papan punggungnya, maka tidak membatalkan
wudhuknya. Ini kerana ia melazimi perkara yang lebih besar iaitu mandi wajib.”
Kedua: Tidur yang tidak tetap papan
punggung. Berkata Syeikh Ibn Qasim: “Keluar daripada ibarat tetap papan
punggung sekiranya seseorang itu tidur dalam keadaan duduk yang tidak tetap
papan punggung dan tidur dalam keadaan berdiri atau tidur dalam keadaan berbaring, sekalipun
tetap papan punggung.”
Namun menurut al-Khotib asy-Syirbini
disunatkan berwudhuk disebabkan tidur dengan tetap papan punggung sekalipun
atas dasar keluar daripada khilaf ulama yang mewajibkannya.
Ketiga: Hilang akal dengan sebab
gila atau mabuk sekalipun yang tidak berdosa dengannya, atau hilang akal sebab
sakit seperti pitam atau mengambil ubat dan selainnya termasuk kena sihir.
Keempat: Seorang lelaki menyentuh
kulit perempuan ajnabi (bukan mahram) tanpa berlapik.
Kata Syeikh Ibn Qasim: “Yang
dikehendaki dengan lelaki dan perempuan ialah yang telah sampai had syahwah
secara uruf. Yang dikehendaki dengan mahram ialah mereka yang haram dinikahinya
dengan sebab nasab atau susuan atau persemendaan.”
Kelima: Menyentuh sesuatu daripada faraj
(kemaluan) anak Adam, sama ada dirinya sendiri atau orang lain, lelaki ataupun
perempuan, bersambung ataupun terpisah, dengan tapak tangan tanpa berlapik.
Kata Khotib asy-Syirbini: “Keluar
dengan faraf anak Adam itu, faraj binatang atau burung. Maka tidak membatalkan
wudhuk dengan diqiyaskan kepada tidak wajib menutupnya dan tidak haram
memandang kepadanya.”
Keenam: Menyentuh halaqah dubur anak
Adam dengan diqiyaskan kepada menyentuh faraj atas Qaul Jadid dan ianya adalah
Muktamad dalam mazhab Syafii. Mengikut Qaul Qadim tidak membatalkan wudhuk
sekiranya menyentuh halaqah dubur, dan ini adalah Qaul yang dhaif dalam mazhab
Syafii.
Pujian Ulamak
Terhadap Kitab Ini
Kata Syeikh Hani al-Haj: “Adapun kitab yang dinamakan (Ghayatul Ikhtisor) adalah antara kitab yang tercantik yang dikarang dalam mukhtasor Feqah walaupun kitab ini sangat kecil.” Cukuplah kelebihan kitab ini dengan bahawasanya ianya diajar di forum-forum ilmiah dan institusi agama seperti al-Azhar asy-Syarif.
Penutup
Sebagai rumusan, kitab matan Abi
Syuja’ yang dinamakan dengan at-Taqrib ataupun Ghayatul Ikhtisor sangat penting
dalam menghidupkan Turats Islami secara umum dan khususnya dalam Feqah Mazhab
Syafii. Oleh kerana itu, para guru sangat mengambil berat kepada para pelajar
di peringkat permulaan dengan menghafaz matan ini dan ianya antara kitab yang
diterima oleh umat Islam secara umumnya.
Di negara kita Malaysia,
pelajar-pelajar kita di Maahad-maahad agama mempelajari feqah mazhab Syafii
dengan menggunakan kitab Matan Abi Syuja’ beserta syarahan-syarahannya seperti “Fath
al-Qarib al-Mujib” dan “al-Iqna’ fi Hilli Alfazi Abi Syuja’”. Bahkan Matan Abi
Syuja’ dipelajari di seluruh alam Islami hatta di al-Azhar asy-Syarif – semoga Allah
menambahkannya kemuliaan dan kemegahan.
Semoga Allah memberi balasan yang
sebaik-baiknya kepada guru-guru kami khususnya para pensyarah al-Azhar asy-Syarif
yang membimbing kami hingga kami mengetahui nilai ilmu dan ulamak secara
umumnya serta kitab matan Ghayatul Ikhtisor dan pengarangnya secara khusus. Dan
semoga Allah menurunkan rahmat dan salam ke atas penghulu kami Sayyidina Muhammad
dan ke atas ahli keluarga Baginda dan para sahabat sekeliannya pada setiap ketika
dan nafas seluas mana ilmu Allah Taala,
والحمد لله رب العالمين
Disediakan oleh,
Mohd Amir bin Md Azmi asy-Syafii,
Maktab Mahmud Kuala Muda,
9.43 PM, 29/1/2022
Rujukan
1)
Syeikh
Ibrahim al-Bajuri, Hasyiah al-Bajuri, Cetakan Bin Halabi, Fatoni, tanpa tarikh
cetakan.
2)
Al-Imam
al-Allamah Taqiyuddin ad-Dimasyqi asy-Syafii, Kifayatul Akhyar fi Hilli Ghayah
al-Ikhtisor, dengan tahqiq Hani al-Haj, cetakan Maktabah at-Taufiqiyah, tanpa Tarikh
cetakan.
3)
Al-Khotib
asy-Syirbini, al-Iqna’ fi Hilli Alfazi Abi Syuja’, dengan tahqiq Syeikh Ali
Muhammad Mu’awwadh, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, tanpa Tarikh cetakan.
4)
Imam
Tajuddin as-Subki, Tobaqat asy-Syafiiyyah al-Kubra, dengan tahqiq Abd Fattah
Muhammad, cetakan Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, tanpa Tarikh cetakan.
5)
Syeikh
Abu Muhammad al-Makki, Fath al-Hadi ar-Raqib fi Adillati Fath al-Qarib
al-Mujib, cetakan Maahad an-Nasr li Tahfiz al-Quran al-Karim, Jawa, Indonesia,
1424H, 2004M.
Comments