Benar Dalam Mengenal Jiwa dan Memeliharanya


Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat menegakkan keadilan, menjadi saksi kebenaran kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri, atau ibu bapamu, atau kerabatmu.” (an-Nisa’: 135)

Bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang bermaksud:

“Musuh yang amat jahat kepadamu ialah nafsumu yang berada di antara kedua rusukmu. Sesudah itu iala isterimu, kemudian anak-anakmu, kemudian kaum kerabat yang terdekat dan yang terdekat.”

Di antara sifat seorang yang benar dalam penujuannya kepada Allah Taala, hendaklah ia menggesa dirinya untuk mentaati Allah Taala serta menuntut keredhaanNya. Kiranya jiwanya menurut petunjuk ini, maka hendaklah ia mensyukuri Allah Taala serta berbakti kepada jiwa tersebut.

Demikianlah diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa orang ramai telah melihatnya sedang mencari sesuatu untuk dibuat alas. Maka beliau ditanya: Apa yang engkau buat ini? Jawabnya: Mencari sesuatu untuk membuat alas diriku, kerana jika aku tidak membuat baik kepadanya, nescaya ia tidak akan menurut petunjukku.

Andaikata jiwa itu masih tidak mahu menurut apa yang diredhai Allah, sedang ia sering berdalih-dalih untuk melaksanakan yang demikian, maka hendaklah anda menahan keinginannya dalam hidup, dan selalu melawan kehendaknya. Sesudah itu hendaklah anda menentangnya pada jalan Allah kerana Allah, serta anda mengadukan halnya kepada Allah, moga-moga Dia akan membetulkannya.

Janganlah hendaknya anda mencelanya pada suatu ketika, sedang anda memberinya muka pada ketika yang lain. Hendaklah anda mengingatkannya tentang keaibannya serta mencelanya terhadap segala perbuatan yang tidak diredhai Allah Taala.

Demikianlah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh setengah ulama, katanya: Aku sudah mengetahui, bahawa adalah baik untuk kepentingan diriku, aku tahu tentang keburukannya.

Memadailah seseorang itu akan dikira berdosa, apabila dia mengetahui sesuatu keaiban pada dirinya, akan tetapi dia tetap tidak mahu membetulkannya, dan tidak pula dia menganjurkan dirinya untuk bertaubat.

Sesetengah ulama berkata pula: Jika anda benar ingin mencela dirimu (atas kesalahannya), maka jika orang lain mencelamu atas kesalahanmu, janganlah anda marah pula terhadapnya.

Jika jiwamu mengajakmu untuk melakukan salah satu syahwat, ataupun memasyghulkan hatimu untuk membuat sesuatu yang diharamkan Allah seraya mengendahkan perbuatannya, maka hendaklah anda menuduh jiwa itu suatu tuduhan yang boleh menariknya untuk membetulkan keadaannya. Juga hendaklah anda melarangnya seperti larangan seorang tuan terhadap hambanya. Hendaklah anda menahannya dari berfoya-foya dalam kelazatan serta menganjurkannya supaya menurut jejak langkah orang-orang yang terdahulu daripadanya.

Sumber: “Masalah Sufi atau Jalan Menuju Kepada Allah” karya Abu Said al-Kharraz, olahan Syeikh Abd Halim Mahmud, bekas Syeikhul Azhar, terjemahan oleh Syed Ahmad Semait.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat