Persoalan Qunut Subuh

Meskipun ada hadis yang menerangkan tentang syariat qunut Subuh, namun masih ada pihak tertentu yang menyatakan ia adalah bidaah. Lantaran darjat hadis tersebut dipandang sebagai hadis lemah, maka disimpulkan bahawa qunut Subuh adalah produk dalil yang lemah.

Proses pembidaahan tentang qunut Subuh ini tidak lazim dalam disiplin ilmu hadis dan fiqh. Ini kerana kebanyakan para Imam Mazhab ketika berhadapan dengan dalil dhoif, mereka hanya ikhtilaf sahaja tidak sampai membidaahkannya. Apalagi bagi Imam Nawawi yang berpandangan “Hadis dhoif mesti didahulukan berbanding pendapat sesiapa pun.”

Qunut dalam solat Subuh memang merupakan sebahagian daripada masalah yang diperselisihkan oleh para ulama. Sebahagian ulama tidak menerima dalil tentang qunut Subuh namun sebahagian yang lain tetap memandang bahawa hadis tentang qunut Subuh itu ada dan kuat.

Dalam kitab Subulus Salam Bab Tatacara Solat disebutkan beberapa hadis yang ada kaitan dengan dasar landasan syarak qunut Subuh. Hadis-hadis itu antara lain:

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: ما زال رسول الله صلى الله عليه وسلم يقنت في صلاة الصبح حتى فارق الدنيا

Ertinya: Daripada Anas bin Malik  رضي الله عنه katanya: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم sentiasa berqunut dalam solat Subuh sehingga wafat.”

Daripada Abi Hurairah رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila bangun daripada rukuk pada solat Subuh di rakaat kedua, Baginda mengangkat kedua-dua tangannya dan berdoa: Allahummahdini fii man hadait… dan seterusnya.

Daripada Ibn Abbas رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengajar kami doa untuk dibaca dalam qunut pada solat Subuh.

Dengan adanya beberapa hadis ini, maka para ulama salaf seperti Imam asy-Syafii, al-Qasim, Zaid bin Ali dan lainnya mengatakan bahawa melakukan doa qunut pada solat Subuh adalah sunat.

Imam an-Nawawi berkata: “Ketahuilah bahawa qunut solat Subuh adalah sunat kerana ada hadis sohih dalamnya iaitu daripada Anas رضي الله عنه:

ما زال رسول الله صلى الله عليه وسلم يقنت في الفجر حتى فارق الدنيا

Ertinya: “Bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak pernah meninggalkan qunut dalam solat Subuh hingga Baginda wafat.” – (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim Abu Abdillah dalam kitab al-Arba’in dan dia berkata sohih)

Setelah Imam Nawawi menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i, Ibn Majah dan Baihaqi tentang doa qunut dalam solat witir – Allahummahdinii fii man hadait…- beliau berkata: “Dan dalam riwayat yang disebut oleh al-Baihaqi bahawa Muhammad bin al-Hanafiyah iaitu Ibn Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya doa ini (iaitu doa qunut witir) adalah doa yang dibaca ayahku (Ali bin Abi Talib) dalam solat fajar ketika qunut.”

Kemudian Imam Nawawi berkata: “Telah berkata sahabat-sahabat kami (ulama Syafiiyah), qunut dengan doa yang datang daripada Umar bin al-Khattab, maka itu baik juga kerana Umar telah qunut dalam solat Subuh setelah rukuk lalu berdoa – Allahumma inna nasta’inuka…”

Ibnu Qayyim mengatakan: “Dan doa qunut mengandungi doa dan puji-pujian kepada Allah dan tentu ia adalah lebih baik (dilakukan) dalam setiap keadaan.”

Kesimpulannya, daripada paparan di atas jelas bahawa qunut Subuh bukanlah bidaah sebagaimana yang dituduh. Qunut masuk dalm lingkungan ikhtilaf kerana perbezaan cara pandang hadis tentang qunut Subuh itu sendiri. Di mana dalil-dalil syarak yang saling berbeza yang masing-masing ulama saling mempertahankan pandangannya. Keadaan ini tidak akan berakhir dengan kekalahan atau kemenangan salah satu pihak dan juga tidak boleh dikatakan bidaah dan sebagainya.

Comments