Menyanggah Mufti Perlis

Saya sudah menonton satu video pendek daripada 4 orang pencaramah tentang doa akhir & awal tahun termasuk oleh Sohibus Samahah Mufti Perlis. Pada mulanya saya ingin abaikan saja video itu tapi saya terpaksa jawab kerana ada kandungannya yang berkaitan dengan ulama Muslimin. Hasilnya jawapan saya adalah tentang dua perkara.

Pertama tentang doa akhir tahun dan awal tahun yang sering ditimbulkan oleh puak Wahhabi ni. Kesemua mereka mengatakan doa awal tahun tidak pernah datang tunjuk ajar daripada Nabi صلى الله عليه وسلم . Dengan erti kata lain bacaan khusus awal tahun tidak ada dalil. Benarkah begitu?

Baik, perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم disebut ulama Usul Fiqh sebagai at-Tark ( الترك ). Ia termasuk dalam kaedah الترك لا ينتج حكما (at-Tark tidak menatijahkan hukum), atau الترك لا يقتضي تحريمه (at-Tark tidaklah semestinya membawa kepada pengharamannya).

al-Allamah as-Sayyid Abdullah al-Ghumari telah menulis sebuah syair dalam risalahnya yang bermaksud: "at-Tark bukanlah hujah dalam syariat kita. Tidak bermakna larangan dan tidak juga kewajipan. Maka sesiapa yang melarang sesuatu perbuatan dengan alasan Nabi صلى الله عليه وسلم tidak melakukannya, kemudian berpendapat itulah hukum yang benar dan tepat. Sesungguhnya dia telah terpesong dari seluruh dalil2. Malah dia keliru dalam memutuskan hukum yang benar, dan dia telah gagal. Tidak ada pelanggaran hukum kecuali pelanggaran yang diiringi ancaman siksa kepada sesiapa yang melanggarnya. Atau kecaman terhadap sesuatu perbuatan dan disertai hukuman yang pasti. Atau lafaz yang mengharamkan untuk perkara yang dicela."

Apa yang boleh difahami ialah jika sesuatu amalan yang tidak dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم bukanlah bermaksud perkara atau amalan itu haram/tidak boleh dilakukan. Ia hanya haram/tidak boleh dilakukan jika:
1) Ada ancaman berupa seksaan jika melakukan amalan itu.
2) Amalan itu dikecam oleh syarak.
3) Hukuman disediakan jika amalan itu dilakukan ada lafaz yang mengharamkan perkara atau amalan itu.

Dr Ali Jumuah menyimpulkan perbahasan ini dalam kitabnya al-Bayan dengan katanya: "Dari keterangan2 di atas, kita mengetahui bahawa perbuatan meninggalkan suatu amalan oleh Nabiصلى الله عليه وسلم, para sahabat hingga generasi tiga abad yang terbaik, tidak membawa apa2 kesan hukum. Tidak menunjukkan haram dan tidak juga makruh, malah tidak juga selain keduanya. Inilah yang difahami oleh para sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم semasa Baginda masih hidup. Baginda tidak mengingkari pemahaman mereka. Itulah yang boleh disimpulkan dan difahami oleh para ulama selepas mereka. Kita memohon kepada Allah Taala agar mengurniakan pemahaman tentang agama kepada kita, dan akhir doa kita adalah segala puji bagi Allah Taala, Tuhan semesta alam. Dan Allah Taala Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui."

Malang sungguh bagi seorang yang berbangga sebagai Mufti tetapi tidak memahami kaedah bahawa apa yang ditinggalkan atau yang tidak dibuat oleh Rasulصلى الله عليه وسلم bukanlah semestinya bererti perkara itu haram, tetapi ia hanyalah menunjukkan perkara itu bukan wajib atau boleh ditinggalkan. Sebab itulah dikatakan:

إن الترك لا يقتضي تحريما وإنما يقتضي جواز المتروك

"Sesungguhnya at-Tark bukanlah bermaksud ia haram, akan tetapi ia bermaksud harus ditinggalkan."

Baik, kembali kepada doa awal tahun dan akhir tahun yang dikatakan bidaah oleh Wahhabi. Apakah cukup dengan kita mengatakan ianya tidak ada dalil yang khusus maka kita tidak boleh melakukannya? Jadi di manakah dalil khusus bacaan doa ketika sambutan Hari Keputeraan YDP Agong atau Sultan? Mana dalil khusus bacaan doa ketika sambutan Hari Guru dan sambutan rasmi yang lain? Adakah ini semua bidaah? Ataupun termasuk dalam galakan supaya berdoa dalam dalil2 umum (seorang Mufti mesti tahu beza antara Am dan Khas) yang lain seperti hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak yang bermaksud:

"Berdoalah kalian kepada Allah dengan keyakinan yang ianya akan diijabahkan Allah dan ketahuilah bahawasanya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lali dan leka (yakni tiada kesungguhan)".

Tambahan lagi telah warid dalam pelbagai nas yang kuat bahawa Nabi  صلى الله عليه وسلم menganjurkan umatnya berdoa ketika nampak anak bulan atau masuk bulan baru. Maka para ulama kita berdasarkan kaedah qiyas, turut menganjurkan kita berdoa ketika permulaan tahun baru yang semsestinya dimulai bulan baru - Muharram.

Malah Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab al-Isobah fi Tamyiz as-Sohabah ketika mengulas tentang Sayyidina Abdullah b Hisyam al-Qurasyi meriwayatkan: "Adalah para sahabat Rasul صلى الله عليه وسلم mempelajari doa yang dibaca ketika masuk sesuatu bulan atau tahun sebagaimana mereka mempelajari al-Quran".

Nah, ini dalilnya. Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa ianya adalah hadis mauquf yang memenuhi syarat sohih (menurut penilaian Imam Bukhari).

Baik habis isu doa. Isu kedua saya ingin fokuskan kepada apa yang disebut oleh Us Ayaq Acaq (sebab dia kata ilmu tasawwuf lagi teruk daripada ayaq acaq - longkang - ). Beliau mengatakan bacaan doa awal tahun dan akhir tahun adalah amalan Syiah Ismailiyah yang menurutnya dekat dengan tasawuf (ada saja benda buruk dia nak kaitkan dengan tasawuf). Malah dia kata yang buat Barzanji Syiah tu la. Ini yang akan saya fokuskan iaitu Barzanji.

Untuk pengetahuan puak Wahhabi, Barzanji adalah karangan al-Allamah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Jaafar b Hasan b Abd Karim al-Barzanji. Beliau bukanlah Syiah. Bahkan merupakan Mufti asy-Syafiiyah di Madinah waktu zamannya. Beliau wafat tahun 1177 H, dan ada pendapat mengatakan beliau wafat 1184 H.

Dalam Barzanji ada menceritakan tentang kisah kelahiran Baginda, perutusan Baginda sebagai Rasul, hujrah, akhlak, peperangan sehingga wafatnya Baginda.

Ada satu kisah keramat yang berlaku kepada Syeikh Jaafar al-Barzanji. Suatu ketika musim kemarau beliau sedang berkhutbah Jumaat. Lalu ada jemaah yang meminta beliau istisqa' mohon hujan. Maka dalam khutbahnya beliau pun berdoa memohon hujan. Dengan serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya sehingga seminggu. Maka ada sebahagian ulama yang bersyair:

"Dahulu al-Faruq dengan al-Abbas beristisqa' memohon hujan,
Dan kami dengan Jaafar pula beristisqa' memohon hujan,
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan,
Dan ini wasilah kami seorang Imam yang Arifin."

Maka saya berharap agar Sohibus Samahah Mufti Perlis dan kumpulannya berhentilah mengelirukan masyarakat dengan menimbukan perkara khilafiyah yang para ulama ratusan tahun dahulu sudah bincangkan. Eloklah kiranya Sohibus Samahah menasihati PM ke -7 agar berpegang kepada ajaran Quran, Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qiyas yang nyata (buakn ambil Quran sahaja). Jangan asyik bodek dan ampu pemerintah. Mungkin Sohibus Samahah boleh menasihati sahabat karib beliau, Menteri Pelajaran untuk menunaikan janji2 beliau dahulu.

Sekian dulu buat kali ini.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat