Awal Perjalanan Menuju Allah



Allah Taala berfirman:

من كان يريد العاجلة عجلنا له فيها ما نشاء لمن نريد, ثم جعلنا له جهنم يصلاها مذموما مدحورا. ومن أراد الآخرة وسعى لها سعيها وهو مؤمن فأولئك كان سعيهم مشكورا. ( الإسراء: 18-19 )
            
Perkataan Al-‘Ajilah yang ditafsirkan dengan maksud “Kehidupan yang sekarang”, bererti dunia.
            
Jika orang yang menuntut dunia, apatah lagi jika ia mengejarnya dengan penuh tenaga dan perhatian, akan tersungkur ke dalam api neraka serta ditimpa cela dan hina, maka sudah sewajarnyalah bagi orang yang waras fikiran membelakanginya dan memelihara diri daripadanya.
            
Adapun perkataan Al-Akhirah yang ditafsirkan dengan maksud Hari Akhirat, bererti syurga.
            
Orang yang mencita-citakan masuk syurga tidak cukup hanya dengan berangan-angan saja, malah hendaklah disertakannya dengan keimanan dan amal soleh; iaitu sebagaimana yang ditunjuk oleh firman Allah Taala yang tersebut di atas tadi, yang bermaksud: “Lalu ditujukan usahanya ke jurusan itu”.
            
Adapun maksud usaha yang akan diberi balasan yang baik; iaitu amal soleh yang dikabulkan oleh Allah Taala, yang menyebabkan pelakunya memperoleh kepujian dan penghargaan yang diiringi oleh balasan pahala yang besar yang tidak akan berakhir dan terputus dengan kemurahan dan rahmat Allah Taala.
            
Orang yang rugi dalam segala segi antara penuntut dan pengejar dunia yang sudah pasti akan mendapat ancaman Allah Taala, sebagaimana yang telah diterangkan oleh firman yang tersebut di atas itu, ialah orang yang menuntut dan mengejar dunia dengna penuh kemahuan, yang melalaikannya dari membuat amal untuk akhirat. Sama ada ia tidak percaya tentang kehidupan di akhirat, ataupun ia mempercayainya tetapi ia tiada menyediakan dirinya untuk beramal kerananya.
            
Adapun yang pertama, yakni yang tidak percaya tentang kehidupan akhirat, maka ia adalah seorang yang kafir yang akan tinggal berkekalan di dalam api neraka. Yang kedua pula, yakni yang mempercayainya tetapi tiada membuat sebarang amal untuknya, maka ia adalah seorang fasiq yang telah dicap sebagai seorang yang merugi.
            
Jelaslah kehidupan di zaman ini sungguh mengharukan setiap manusia oleh berbagai-bagai kenikmatan dunia sehingga ramai di antara manusia yang melupakan bahawa ia akan mati. Dunia itu telah memikat hatinya sampai semua masanya dihabiskan ke sana kerana mengharapkan habuan yang lebih, tidak pernah dirasakan cukup. Begitu Allah Taala memberikan kesenangan dan kekayaan, tetap ia akan mahukan yang lebih lagi. Maka apabila terbuka pintu-pintu keduniaan, dia terus memasukinya dengan penuh hati dan usaha yang tidak kenal penat-lelah tanpa kira waktu siang dan malam. Padahal kerja untuk kehidupan akhirat diabaikan, tidak diberikan perhatian sama sekali yang nanti akhirnya menyebabkab ia merasa kerugian yang besar apabila kelak dia kembali kepada Allah Taala, sedang segala apa yang dikejarnya dari dunia semuanya ditinggalkan menjadi hak orang lain. Padahal koceknya kosong tidak mempunyai apa-apa apabila nanti ia dijemput oleh Allah Taala. Tiada bekalan akhirat yang cukup untuk tempuh kehidupan yang abadi ini. Malah jika dia cuaikan dan lalaikan hak-hak Allah Taala< Tuhan Penciptanya, maka ia akan menerima siksayang berat kerana tidak mempedulikan perintahNya – Itulah yang hendak diingatkan oleh ayat di atas tadi.
            
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إنما الأعمال بالنيات, وإنما لكل امرئ ما نوى, فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله, ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه"
            
Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah mengajar kita bahawa tiap-tiap amal itu tidak akan dikira melainkan dengan niat. Dan setiap manusia akan diberi ganjaran dan balasan pahala menurut apa yang diniatkan. Jika niatnya baik, maka baiklah balasannya; dan jika buruk, maka buruk pulalah balasannya. Barangsiapa yang menyimpan niat yang baik, nescaya amalnya pula baik. Demikian pula jika ia menyimpan niat yang buruk, tiada syak lagi amalnya juga akan menjadi buruk meskipun pada lahirnya amal itu kelihatan baik. Umpamanya orang yang mengerjakan amal baik kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
            
Nabi صلى الله عليه وسلم juga telah mengingatkan kita bahawa sesiapa yang membuat sesuatu amal bakti semata-mata kerana Allah Taala dan untuk menurut jejak Rasulullah, maka Allah Taala akan menjamin pahalanya dan segala amal itu tertuju untuk mendapat keredhaanNya dan masuk syurgaNya, di samping mendapat tempat yang hampir di sisi NabiNya dan menjadi orang kesayanganNya. Dan sesiapa yang membuat amal bakti dengan niat selain dari Allah maka mintalah balasan dan ganjaran itu kepada siapa yang ia bermuka-muka dengannya. Tentu sekali orang itu tidak memiliki apa-apa untuk dirinya, apatah lagi untuk memberikannya kepada orang lain sama ada manfaat atau mudharat, mati atau hidup. Dan ia tidak berkuasa pula di Hari Kebangkitan kelak.
            
Dalam hal ini Nabi صلى الله عليه وسلم telah mengkhususkan hijrah antara sebegitu banyak amal ialah sebagai suatu contoh yang boleh dipadankan terhadap amal-amal yang lain. Sebab hal itu telah pun jelas dan terang bagi orang-orang yang mempunyai fahaman bahawa maksud Hadis yang tersebut itu bukanlah khusus untuk perkara hijrah semata, malah ia umum berlaku atas semua perkara dalam syariat Islam.
            
Kepada orang yang memang suka membuat bakti dan kebaikan, maka hendaklah maksud Hadis ini dijadikan cermin dan pegangan agar segala amal baktinya tidak sia-sia di kaca mata pandangan Allah Taala sebab Dia tidak akan menerima dari amalan-amalan manusia melainkan yang ditujukan sepenuhnya kepadaNya dan untuk mendapat keredhaanNya semata. Memang dalam tabiat manusia itu ada sifat tamak dan rakus, sentiasa mahu dipuji dan disanjung orang. Dia tidak merasa puas selama kebaktian yang diamalkan itu tidak dilihat atau diketahui orang lain. Sehingga ia dibanggakan, diberi pangkat dan dimuliakan di mata ramai. Amalan serupa inilah yang dicap riya’, bukan sahaja amalan itu menjadi hangus, tidak diterima Allah Taala, bahkan boleh menjadi sebab kemurkaan Allah di hari Akhirat. Allah Taala tidak akan menerima amalan atau kebaktian dari seseorang itu kecuali yang diikhlaskan buatNya dan dilakukan semata-mata untukNya. Dia tidak akan menerima sesuatu amalan yang dicampuri dengan tujuan yang lain, yang pada hari ini hal-hal yang semacam ini kerap dapat dilihat berlaku di antara kita. Maka waspadalah anda, wahai Mukmin, jangan sampai anda terperangkap dalam jerat yang membahayakan diri ini.

Rujukan:-

Petunjuk Jalan Thariqat oleh Imam Habib Abdullah Haddad.

Diterjemah oleh Syed Ahmad Semait

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat