Membetulkan Salah Faham Tentang Ijtihad dan Taqlid


Untuk pos sulung aku tahun ni, suka aku nak sentuh tentang ijtihad dan taqlid. Alhamdulillah bila tengok orang zaman la ni yang jadi engineer dan pilot pun ambik tahu tentang ilmu Usul Fiqh. Perkembangan yang sihat. Ilmu usul fiqh bukan milik eksklusif golongan agamawan menurut guru kami yang bermazhab Hanafi, Dr Muhammad Fathy al-Etraby. Malah menurut beliau ilmu usul fiqh boleh menyelesaikan pelbagai masalah sains, perubatan, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan sebagainya. Cuma aku nak nasihatkan belajarlah secara berguru dan bukan hanya melalui pembacaan semata-mata.
            
Kembali kepada perbahasan ijtihad dan taqlid, pertama sekali kita lihat apa takrif kedua-duanya. Imam al-Ghazali mentakrifkan ijtihad sebagai “Usaha yang sungguh-sungguh daripada mujtahid untuk mencari ilmu berkaitan hukum-hakam syariat”. Orang yang mampu berijtihad disebut sebagai mujtahid. Manakala taqlid pula ialah “Mengambil pendapat orang lain tanpa mengetahui dalilnya”. Contohnya seperti menyapu sebahagian kepala ketika wudhu’ dengan bertaqlid kepada mazhab Syafii (bagi pengamal Syafii) dan makmum meninggalkan bacaan Fatihah ketika solat dengan bertaqlid mazhab Abu Hanifah (bagi pengamal Hanafi). Orang yang bertaqlid disebut sebagai muqallid. Sesetengah ulama membezakan antara taqlid dengan ittiba’ dengan mentakrifkan ittiba’ sebagai “Orang yang mengikut mangambil jalan orang yang diikuti dan mengambil hukum daripada dalil dengan cara yang diambil oleh orang yang diikutinya”. Namun kebanyakan ulama hanya membahagikan para mukallaf dalam masalah ijtihadiyah kepada dua golongan sahaja iaitu Mujtahid dan Muqallid yang akan diterangkan nanti.
            
Elok di sini kita sebut martabat para ulama menurut mazhab Syafii iaitu enam martabat sepertimana yang disebut dalam Mukhtasor al-Fawaid al-Makkiyah:

Pertama: Mujtahid mustaqil@mutlaq seperti Imam 4 mazhab dan seumpama mereka.

Kedua: Mujtahid Mutlaq Muntasib seperti Imam al-Muzani.

Ketiga: Ashabul Wujuh seperti al-Qaffal dan Abu Hamid ar-Ruzi.

Keempat: Mujtahid fatwa seperti Imam ar-Rafii dan Imam an-Nawawi.

Kelima: Ahli Nazor dalam mentarjihkan apa yang diperselisihkan asy-Syaikhan ( Imam Rafii dan Nawawi) seperti Imam al-Isnawi.

Keenam: حملة فقه  ( Ahli feqah yang meriwayatkan tarjih ulama ). Martabat mereka pelbagai. Yang tertinggi di kalangan mereka menyertai ahli dalam martabat kelima.

Telah dinaskan oleh ulama hanya 4 martabat yang pertama sahaja harus bertaqlid kepada mereka. - Intaha

Di dalam Hasyiah al-Bajuri ‘ala Ibni Qasim al-Ghizzi, pembahagian mujtahid adalah seperti berikut:

Pertama: Mujtahid Mutlaq yang mampu berijtihad/beristinbat hukum daripada Kitab dan Sunnah seperti Imam 4 Mazhab.

Kedua: Mujtahid Mazhab iaitu ulama yang mampu istinbat hukum daripada kaedah-kaedah imamnya seperti Imam al-Muzani.

Ketiga: Mujtahid Fatwa iaitu ulama yang mampu untuk mentarjih aqwal Imam seperti Imam ar-Rafii dan Imam an-Nawawi.

Manakala Imam Ramli dan Ibnu Hajar, mereka berdua tidak mencapai martabat at-Tarjih. Bahkan mereka berdua HANYA MUQALLID menurut kebanyakan ulama. Dan berkata sebahagian ulama bagi mereka berdua tarjih dalam beberapa masalah. Intaha
             
Cuba tengok tuan-tuan. Ulama besar seperti Imam Ramli dan Ibnu Hajar pun masih dianggap MUQALLID. Inikan pula kita yang tiada asas yang kukuh untuk mentarjih qaul-qaul ulama apatah lagi untuk istinbat hukum terus daripada Quran dan Hadis. Dan bukanlah bermaksud apabila ulama suruh kita taqlid, aqal kita direndahkan. Adakah ulama merendahkan martabat Imam besar dalam bidang feqah seperti Imam Ramli dan Ibnu Hajar apabila dikatakan hanya mencapai taraf MUQALLID walhal mereka berdua menjadi rujukan oleh ulama mutaakhirin.

Malah ulama selain daripada mazhab Syafii seperti Ibnu Abidin membahagikan martabat ulama feqah kepada 7 martabat dan hanya 3 martabat yang pertama disebut sebagai mujtahid manakala 4 martabat yang baki dikategorikan sebagai muqallid. Nah, jika ulama besar pun dikira sebagai muqallid, bagaimana kita orang awam nak bebaskan diri kita daripada daerah taqlid?

Jadi yang dimaksudkan Muqallid oleh ulama bukan hanya orang awam yang tak mendalami bidang agama. Termasuk juga muqallid ialah orang alim yang mempelajari sebahagian ilmu-ilmu yang muktabarah dalam bidang ijtihad akan tetapi beliau tidak sampai martabat ijtihad. Maka wajib ke atas kedua-dua golongan ini mengikut qaul mujtahidin. Orang awam tidak ada di sisinya ilmu-ilmu untuk beliau berijtihad. Manakala orang alim lemah daripada berijtihad. Kedua-duanya iaitu orang awam dan alim bertaqlid kepada ulama.

Daripada mana datangnya wajib bertaqlid?

1)    Al-Kitab ( فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون )

2)    Ijmak sahabat dan Tabiin yang mana mereka memberi fatwa kepada orang awam yang bertanya kepada mereka tentang sesuatu masalah.

3)    Dalil aqli:- Ijtihad adalah satu anugerah yang tak terhasil kecuali kepada sebilangan kecil di kalangan manusia. Apabila dilarang bertaqlid dan disuruh manusia semua berijtihad, ia merupakan taklifan yang tidak mampu diikuti, dan perkara ini tertegah di sisi syarak sebagaimana firman Allah Taala:

( لا يكلف الله نفسا إلا وسعها )
            
Dari satu aspek yang lain, orang awam ditaklif dengan pelbagai hukum syarak. Sekiranya orang awam ditaklifkan juga untuk mencapai martabat ijtihad ia sesuatu yang sulit dan masyaqqah. Maka seluruh urusan keduniaan dan pekerjaan orang awam akan tergendala dan terbantut. Sedangkan hadis Nabi SAW berbunyi:

( لا ضرر ولا ضرار في الإسلام )
            
Kesimpulannya, kita perlu memahami diri di manakah kedudukan kita sebenar? Sebagai mujtahidkah, muhaddis ataupun sebagai mujtahid mutlaq atau mujtahid fil mazhab? Jangan terlalu menonjolkan diri sebagai mujtahid jika tidak sampai kepada darjat ijtihad dan hanya mempunyai ilmu yang sedikit. Jangan pula terpengaruh dengan mereka yang berpura-pura membawa aliran mengikuti Quran dan Sunnah sedangkan mereka berpegang dengan aqidah tajsim dan tasybih yang menyalahi dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan Jumhur Muslimin.

Diolah oleh,
Mohd Amir Md Azmi asy-Syafii,
Sungai Petani.

Rujukan:
1)    Adakah Anda Mujtahid? – Maulana Husein Abd Kadir Yusufi
2)    Usulul Fiqh al-Islami – Dr Wahbah Zuhaili
3)    Hasyiah al-Bajuri ala Ibni Qasim al-Ghizzi
4)    Mukhtasor al-Fawaid al-Makkiyah – Syeikh Alawi b Ahmad as-Saqqof asy-Syafii al-Makki
                                   

Comments

Unknown said…
Penulisan yg wajar & adil daripada penulis yg dikenali rakan-taulan. Keep it up!!

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat