Sifat Syurga dan Kenikmatannya

Allah Taala berfirman dalam surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud:

“Segeralah kamu mendapatkan pengampunan daripada Tuhan kamu (dengan mengerjakan amalan ketaatan kepada Allah dan amalan yang menghampirkan diri kepadaNya), dan ke arah syurga yang luasnya tujuh petala langit dan bumi.”

Ibnu Abbas r.a berkata: “Jika tujuh petala langit dan bumi dicantumkan satu sama lain, maka selebar dan sebesar itulah syurga.”

Imam Ath-Thabarani berkata: “Apabila Allah mencipta syurga, difirmankan kepadanya; Perluaskanlah dirimu! Syurga berkata: Wahai Tuhanku, sejauh perjalanan berapa luasku itu? Allah berfirman: Sejauh perjalanan 100 tahun. Syurga pun meluaskan dirinya sejauh perjalanan 100 tahun. Kemudian Allah berfirman: Luaskan lagi dirimu! Syurga berkata: Wahai Tuhanku, sejauh mana lagi luasku? Allah berfirman: Luaskan dirimu sekadar muat rahmatKu. Syurga pun meluaskan dirinya hingga tiba di batas dan tiada kesudahannya sepertimana rahmat Allah itu tiada batas dan akhirnya.

Imam Nasiruddin as-Samarqandi di dalam tafsirnya mengenai firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud: “Katakanlah, wahai Muhammad, andainya segala air laut itu menjadi tinta untuk menuliskan segala kalimat Tuhanku itu (iaitu segala yang dijanjikan Allah Taala untuk hamba2Nya yang mukminin di dalam syurga yang berupa pahala) nescaya air laut itu akan kehabisan sebelum habisnya dituliskan segala kalimat Tuhanku itu.”

Telah berkata Ibnu Abbas r.a menerangkan bahawa syurga itu terus bertambah luas sejak dari hari diciptakannya oleh Allah Taala hinggalah ke hari Kiamat.

Apabila Nabi Yususf a.s dicampakkan ke dalam telaga dan dipukul oleh saudaranya, Malaikat berkata: “Wahai Tuhanku, saudara2 Yusuf memukulnya. Allah berfirman: Itu tidak sebesar mana jika dibandingkan dengan negeri Mesir menjadi kepunyaannya dan ia berkuasa ke atas perbendaharaannya. Begitu juga orang mukmin berada di sakaratul-maut, Malaikat akan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya hambaMu sedang berada di tengah2 kedukaan menghadapi mati. Allah Taala berfirman: “Ini terlalu sedikit dibandingkan dengan nikmat syurga yang Aku janjikan kepadanya.”

Di antara nikmat syurga ialah firman Allah dalam surah ad-Dahr ayat 19&20 yang bermaksud:

“Mereka ahli syurga itu dikelilingi anak2 yang kekal. Apabila engkau melihat mereka wahai Muhammad, engkau sangkakan mereka itu mutiara yang bertaburan, dan apabila engkau melihat di sana nanti engkau lihat nikmat yang tidak dapat engkau sifatkannya dan kerajaan yang amat besar.”

Iaitu ahli syurga dikelilingi khadam2 yang berupa kanak2 yang belum baligh kekal dalam bentuknya tidak berubah daripada kejadiannya daripada kanak2 kepada dewasa kemudian tua. Mereka dijadikan oleh Allah Taala berada di dalam syurga untuk berkhidmat kepada ahlinya dan kanak2 itu bukan daripada kanak2 dunia. Mereka dikatakan anak2 bidadari menurut qaul yang Sahih. Dikatakan juga mereka anak orang2 kafir yang mati dalam usia kecil. Dikatakan juga mereka anak orang2 mukminin.

Abdullah bin Umar r.a berkata: “Tiada seorang pun dari kalangan ahli syurga melainkan seramai seribu kanak2 berkhidmat untuknya. Setiap seorang ghulam atau kanak2 itu memberi khidmat yang berlainan daripada khidmat yang diberikan oleh rakannya. Apabila mereka sibuk menjalankan khidmat kepada tuan masing2, mereka kelihatan seperti lu’lu’ (mutiara) yang bertaburan. Demikianlah sifat khadam2 itu.”

Sementara sifat makhdum iaitu orang yang diberikan khidmat itu, maka diriwayatkan daripada Hasan bahawa apabila dibacakan ayat di atas, para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah sifat makhdum itu? Nabi SAW bersabda: Kelebihan makhdum ke atas khadam itu ialah seperti kelebihan bulan malam purnama ke atas segala bintang2.

Nabi SAW bersabda: “Ahli syurga yang paling rendah kedudukannya ialah orang yang menyeru khadamnya lalu dijawab oleh 1000 orang khadam di pintunya; Labbaik…Labbaik.

Sebuah Hadis lagi menyebut, ahli syurga yang paling rendah kedudukannya ialah orang yang mendapati kerajaannya seluas perjalanan 1000 tahun dan ia dapat melihat yang paling jauh sekali seperti melihat yang paling hampir kepadanya.

Sufyan ats-Tsauri berkata: “Kami telah disampaikan bahawa para Malaikat memberi salam kepada kerajaan yang amat luas itu. Dikatakan bahawa mahkota yang berada di atas kepala mereka seperti yang ada di atas kepala raja2 dan yang lebih besar darjatnya ialah orang yang melihat wajah Tuhannya setiap hari.”

Ibnu Abbas r.a berkata: “Tiada sesuatu dalam dunia yang menyamai sesuatu di dalam syurga kecuali pada nama sahaja. Ada pun ‘ainnya jauh berbeza, kerana segala yang ada di dalam syurga itu lebih mulia dan lebih tinggi. Emas dan perak dalam syurga umpamanya amat bersih zahir dan batinnya serta amat jernih.”

Riwayat daripada Ibnu Abbas r.a mengenai firman Allah Taala dalam surah al-Kahfi ayat 31 yang bermaksud: “Mereka duduk bersandar di atas arikah iaitu ranjang2 pengantin.”

Katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang lelaki berkahwin dalam sebulan iaitu dalam tempoh sebulan dengan 1000 Hurul-‘Iin (bidadari) dan ia mendakapi setiap seorang daripada mereka mengikut selama umurnya di dunia.”

Suatu riwayat daripada Abdullah bin Abbas r.a menyebut: “Seorang lelaki ahli syurga akan mendakap Hurul-‘Iin selama 70 tahun. Ia tidak jemu memperisterikannya dan Hurul-‘Iin itu tidak jemu mempersuamikannya. Setiap kali ia datang menemui Hurul-‘Iin itu ia mendapatinya masih gadis dan setiap kali Hurul-‘Iin itu datang, syahwat lelaki itu kepadanya timbul kembali dan dijimaknya mengikut kekuatan 70 lelaki. Tiada air mani yang keluar daripada kedua2nya.

Ambo nukilkan perihal syurga ini daripada kitab “Bingkisan Mutiara” yang dirumikan daripada kitab Jawi “al-Jawhar al-Mawhub” oleh Syekh Ali Abd Rahman al-Kalantani.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat