Manakah Yang Afdhal, Ilmu Atau Harta?

Nabi SAW bersabda:
أنا مدينة العلم وعلي بابها
Ertinya: “Aku kota Ilmu dan Ali pintunya”.

Apabila terdengar hadis ini, golongan Khawarij merasa dengki dengan Sayyidina Ali dan seramai 10 orang pembesarnya telah berkumpul dan berkata: Masing2 kita tanyakan padanya mengenai satu masalah yang sama, dan lihat apa jawapannya.Jika beliau menjawab kepada masing2 kita dengan jawapan yang berlainan bererti beliau seorang yang benar2 alim seperti kata Nabi.Seorang daripada mereka tampil dan bertanya: “Wahai Ali, manakah yang afdhal, ilmu atau harta?” Jawab Ali: “Ilmu lebih afdhal daripada harta.” Orang itu bertanya lagi: “Apakah dalilnya?” Ali menjawab: “Ilmu itu pusaka peninggalan para Anbiya’ dan harta itu pusaka peninggalan Qarun, Syaddad, Firaun dan orang2 seumpama mereka.”

Kemudian orang yang kedua pula tampil dan bertanya seperti itu juga.Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana ilmu itu memelihara kamu, sementara harta pula kamu yang memeliharanya.”

Kemudian orang yang ketiga tampil dan mengemukakan soalan yang sama juga.Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana pemilik harta mempunyai ramai musuh, sementara orang yang berilmu ramai taulannya.”

Kemudian tampil pula orang yang keempat dengan mengemukakan pertanyaan yang sama juga dan Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana apabila harta dibelanjakan ia menjadi kurang.Sementara ilmu itu apabila dibelanjakan nescaya ia bertambah.”

Kemudian tampil pula orang yang kelima dengan menanyakan perkara yang sama.Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana pemilik harta itu dipanggil dengan nama bakhil dan dicela, sementara orang yang berilmu dipanggil dengan nama yang disanjung dan mulia.”

Kemudian tampil pula orang yang keenam dengan mengemukakan pertanyaan yang sama juga.Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu itu lebih afdhal daripada harta kerana harta mesti dijaga daripada pencuri, sementara ilmu tidak perlu dijaga daripada pencuri.”

Kemudian orang yang ketujuh pun tampil dan menanyakan soalan yang sama.Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana pemilik harta akan dihisab pada hari Kiamat, sementara orang yang berilmu akan disyafaatkan pada hari Kiamat.”

Kemudian tampil pula orang yang kedelapan dan menanyakan seperti itu juga.Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana harta itu binasa mengikut peredaran masa, sementara ilmu tidak binasa dengan peredaran masa.”

Orang yang kesembilan pula tampil dan mengemukakan pertanyaan yang itu juga.Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana harta mengeraskan hati sementara ilmu itu menerangkan hati.”

Kemudian tampil pula orang yang kesepuluh dengan menanyakan manakah yang lebih afdhal, ilmu atau harta?Sayyidina Ali menjawab: “Ilmu lebih afdhal daripada harta kerana pemilik harta mendakwa ketuhanan kerana hartanya, sementara orang yang berilmu mendakwa penghambaan dirinya.”

Sayyidina Ali berkata: Jika mereka menanyakan kepada aku lagi mengenainya nescaya aku akan memberikan jawapan yang berlainan selama hidupku.Orang2 Khawarij itu semuanya kemudian kembali kepada Islam.

Sumber: Bingkisan Mutiara Untuk Menghidupkan Hati Yang Merana - Syed Ahmad Semait

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat