Berkumpul Untuk Berzikir

Sayyidina Muawiyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menemui para sahabat dalam suatu halaqah. “Apa yang membuat kamu semua berkumpul di sini?” Tanya Baginda.

“Kami berkumpul untuk berzikir dan memuji Allah kerana telah memberikan hidayah sehingga kami memeluk Islam,” jawab mereka.

“Allah..., hanya itukah yang membuat kamu semua berkumpul?”

“Allah…, hanya itu yang membuat kami berkumpul.”

“Sesungguhnya aku tidak mengajarkan itu pada kamu semua, namun Jibril datang padaku dan memberitahu bahawa Allah memuji kamu semua di hadapan para malaikat.”(HR Muslim)

Sayyidina Anas b Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika kamu semua melalui taman syurga, sebaiknya kamu semua singgah,” “Apa taman syurga itu?” “Halaqah zikir.” (HR Tirmizi)

Sayyidina Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berada pada jalan2.Apabila bertemu dengan golongan yang berzikir yang memohon sesuatu, dia berkata, “Teruskan permintaan kamu semua.” Ia lantas bergegas terbang ke langit dengan sayap2nya lalu memohon agar Allah mengabulkan permintaan hambaNya.” “Apa yang diucapkan hambaKu?” Tanya Allah kepada malaikat. “Mereka menyucikan, mengagungkan, memuji serta meninggikanMu,” jawab Malaikat.

“Adakah mereka melihatKu?” “Tidak, ya Allah.Sesungguhnya mereka tidak melihatMu.” 

“Bagaimana sekiranya mereka melihatKu?” “Sekiranya mereka melihatMu, pasti mereka lebih giat beribadah, lebih khusyuk dalam mengagungkanMu, dan lebih banyak bertasbih kepadaMu.”

“Apa permintaan mereka?” “Mereka meminta syurga.” “Adakah mereka melihatnya?” “Tidak, ya Allah.Sesungguhnya mereka tidak melihatnya.” “Bagaimana keadaan mereka sekiranya mereka melihatnya?” “Sekiranya mereka melihat syurga, pasti mereka lebih gigih dalam memintanya, lebih bernafsu untuk mendapatkannya, serta lebih cinta kepadanya.”

“Daripada apa mereka berlindung?” “Mereka berlindung daripada neraka.” “Adakah mereka melihatnya?” “Tidak, ya Allah.Sesungguhnya mereka tidak melihatnya.Sekiranya mereka melihat neraka, pasti mereka berusaha menghindari dan jauh lebih takut.”

“Saksikan bahawa Aku telah mengampuni mereka,” Salah satu daripada malaikat berkata, “Di sana ada si Fulan yang tidak termasuk ke dalam golongan mereka.Dia datang kerana satu keperluan.”

“Mereka adalah golongan yang tidak dicelakakan kerana majlis yang mereka adakan.” (HR Bukhari)

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat