Berzikir Dengan Lafaz Isim Mufrad

 


Berzikir dengan lafaz isim mufrad Allah Allah Allah, ataupun Hayyun Hayyun Hayyun ataupun seumpamanya adalah harus dan dibolehkan, bahkan dituntut dari segi syarak dan lughah. Dari sudut syarak, firmanNya:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا – الإنسان:25

Juga firmanNya:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا- المزمل:8

Disebut kalimah ( الاسم ) yang mana antara maknanya ialah pengulangan sebutannya, sepertimana yang dilakukan oleh ahli zikir di kalangan Sufi.

Dalam surah Muzzammil ayat 8 di atas juga memberi panduan tentang kaifiat zikir, di mana at-tabattul ialah khusyuk, merendah diri dan memutuskan daripada segala perkara yang menggangu kita ketika berzikir. Kemudian dalam firmanNya:

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى- الأعلى:1

Dalam ayat ini kitab oleh mengistinbat adab berzikir dengan isim mufrad dan lafaz-lafaz yang lain, di mana tasbih adalah pengagungan secara hissi dan maknawi. Ulama-ulama besar seperti asy-Syanqiti, Ibnu Ato’illah telah membahaskan tentang rahsia berzikir dengan isim mufrad, bagi seseiapa yang ingin mengetahui secara lebih mendalam boleh membuka kitab “Miftah al-Falah” karya Ibnu Ato’illah. Ini perbahasan dari sudut syarak.

Manakala dari sudut lughah pula, isim mufrad pada hakikatnya adalah ayat yang sempurna. Isim Allah boleh kita i’rab sebagai khabar bagi mubtada’ mahzuf dengan taqdirnya: ربي الله – Tuhanku adalah Allah. Dan boleh juga kita i’rab sebagai mubtada’ dan khabarnya mahzuf dengan taqdirnya: الله ربي، أو الله قادر – Allah adalah Tuhanku atau Allah adalah Maha Berkuasa. Dan boleh juga kita i’rab sebagai maf’ul bagi fiil mahzuf dengan taqdirnya: أستغفر الله أو أستعين الله – Aku memohon ampun kepada Allah atau Aku memohon pertolongan kepada Allah. Dan boleh juga kita i’rab sebagai munada yang dihazafkan ya’ nida’ dengan taqdirnya: Ya Allah. Kesemua i’rab ini adalah harus dari sudut lughah dan balaghah.

FirmanNya lagi:

قُلِ اللَّهُ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ- الأنعام:91

Lafaz Allah dalam ini dii’rabkan dengan marfu’ dengan dua wajah samaada mubtada’ mahupun khabar. Ayat ini menunjukkan keindahan kepada zikir dengan isim mufrad yang dapat difahami secara jelas oleh mereka yang mempunyai mata hati.

FirmanNya lagi:

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى- الإسراء:110

Antara makna berdoa ialah seruan, dan seruan adalah zikir. Seolah-olah Allah berfirman secara mafhum: Katakanlah berdoalah atau berzikir dengan menyebut: Ya Allah, ataupun Ya Rahman. Dihazafkan ya’ an-nida’ dari sudut lughah adalah harus.

Bahkan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pernah mendengar ada sahabat yang berzikir dengan isim mufrad dan Baginda mengakui perbuatan tersebut. Telah warid secara sahih bahawa Baginda melihat Bilal bin Rabah yang diazab kerana memeluk Islam, lalu mengucapkan: Ahad Ahad. Baginda tidak mencegah perbuatan tersebut. Ahad adalah salah satu nama Allah Taala, dan diamnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم ketika mendengarnya sebagai dalil bahawa berzikir dengan isim mufrad adalah sunnah iqrariyah untuk dilaksanakan. ولله الأسماء الحسنى – yakni Allah, Hayyun dan seumpamanya. Apa yang dilakukan oleh ulama besar Sufi adalah junjungan kepada perintah Tuhan mereka dan mengikuti sunnah Nabi mereka.

Mohd Amir Md Azmi an-Naqsyabandi,

Sungai Petani.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat