Aurat Lelaki Ketika Solat

Bismillahirrahmanirrahim.

Pada tulisan kali ni ambo nak bayan sikit tentang aurat lelaki khususnya dalam solat. Ambo bahagikan kepada dua. Bahagian pertama:- Pendapat ulama tentang aurat lelaki. Bahagian kedua:- Isu semasa tentang aurat lelaki. Ambo hazafkan dalil2 untuk memudahkan pembaca. Bagi ahli ilmu boleh la merujuk kepada kitab2 asal bagi setiap mazhab. Ambo cuba untuk tak taksub kepada mana2 pendapat dengan izin Allah. Maka ambo pun mulakan dengan taufiq hidayah Allah.

Bahagian pertama:- Pendapat ulama tentang aurat lelaki.

Ambo mulakan dulu dengan pendangan ulama mazhab Zohiriyah. Kata Syeikh Ibnu Hazm dalam kitab al-Mahalli: “Aurat yang wajib ditutup daripada pandangan orang dan dalam solat bagi lelaki ialah zakar dan halaqah dubur sahaja; manakala paha bukannya aurat.”

Imam Ibnu Qudamah dalam kitab al-Mughni menyebut: “Menutup aurat daripada pandangan orang supaya tak menampakkan kulit adalah wajib, dan syarat sah solat. Inilah yang disebut Imam Syafii dan sebagahagian ulama. Namun sebahagian ulama Maliki berpendapat menutup aurat adalah wajib tetapi bukannya syarat sah solat. Dan berkata sebahagian daripada mereka; ia adalah syarat ketika teringat dan bukannya syarat ketika terlupa.”

Sambungnya lagi membahaskan had aurat: “Batasan aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Ini adalah satu riwayat Imam Ahmad, qaul Imam Malik, Syafii, Abu Hanifah dan kebanyakan Fuqaha’. Satu riwayat lagi daripada Imam Ahmad ianya adalah qubul dan dubur.”

Imam Ibnu Qudamah membawakan dalil2 bagi kedua2 pandangan dan membuat kesimpulan: “Hadis2 yang tersebut ditanggungkan kepada bahawasanya selain qubul dan dubur adalah aurat ghaira mughallazoh, manakala aurat mughallazoh adalah qubul dan dubur.”

Imam Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid menerangkan: “Imam Malik dan Syafii berpendapat had aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut, begitu juga pendapat Imam Abu Hanifah. Dan berkata sebahagian ulama; aurat lelaki hanya qubul dan dubur sahaja. Sebab khilaf ulama dalam perkara ini ialah wujudnya dua atsar yang zohirnya bertentangan, dan kedua2 atsar tersebut adalah tsabit. Dan berkata sebahagian ulama aurat lelaki adalah dubur, faraj(qubul) dan paha.”

Pengarang kitab Raddul Mukhtar meyebut: “Aurat lelaki ialah bawah pusat hingga bawah lutut.”
Dapat difahami daripada kalam Raddul Mukhtar- “bawah pusat” bahawa pusat bukannya aurat manakala daripada kalam “bawah lutut” menunjukkan lutut adalah aurat.

Menurut Syeikh Muhammad b Abd Rahman ad-Dimasyqi al-Usmani asy-Syafii dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilafil Aimmah: “Menutup aurat daripada pandangan orang wajib dengan ijmak dan ia syarat sah solat kecuali di sisi Imam Malik yang mengatakan ia wajib ketika solat namun bukannya syarat sah solat. Had aurat lelaki di sisi Imam Abu Hanifah, Syafii, ialah antara pusat dan lutut. Manakala daripada Imam malik dan Ahmad ada 2 riwayat; salah satunya antara pusat dan lutut. Satu lagi riwayat bagi kedua2 mazhab ini ianya qubul dan dubur. Dan para ulama bersepakat bahawasanya pusat lelaki bukannya aurat.”

Imam asy-Sya’rani dalam al-Mizanul Kubra menyebut: “Para ulama ijmak bahawa menutup aurat daripada pandangan orang sama ada dalam solat mahupun luarnya dan ia adalah syarat sah solat dan bahawasanya pusat lelaki bukannya aurat.”

Sambungnya lagi: “Qaul Imam Abu Hanifah dan Syafii dan satu riwayat daripada Imam Malik dan Ahmad bahawasanya aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Satu lagi riwayat daripada Imam Malik dan Ahmad bahawasanya ia adalah qubul dan dubur sahaja. Maka pendapat pertama (antara pusat dan lutut) lebih ketat dan khas bagi orang2 mulia seperti ulama dan umara’ manakala pendapat kedua(qubul dan dubur sahaja) lebih ringan dan khas bagi orang yang rendah kedudukan seperti para petani di mana mereka tidak merasa malu untuk membuka paha.”

Dr. Ali Jumuah dalam kitab Fatawa al-Bait al-Muslim menukilkan daripada kitab al-Majmuk: “Disyaratkan menutup aurat daripada atas dan sekeliling, tidak disyaratkan daripada bawah kain.”

Sekarang ambo nak pergi ke Bahagian kedua iaitu isu semasa tentang aurat lelaki dan ambo bahagikannya kepada dua cabang. Cabang pertama:- Apa hukum Imam dan AJK Masjid menghalau orang berseluar pendek misalnya supaya keluar daripada masjid? Cabang kedua:- Bolehkah kita yang bermazhab Syafii memakai seluar pendek ketika solat?

Untuk cabang pertama, sepanjang hidup ambo tak pernah lagi ambo nampak di tanah air ini orang pergi solat di masjid pakai seluar pendek. Di Mesir yang ada al-Azhar sebagai qiblat ilmu dan masyarakatnya amalkan pelbagai mazhab feqah tidak ada yang solat di masjid pakai seluar pendek melainkan budak yang belum aqil baligh. Tu pun AJK masjid tak halau depa. Jadi tak perlu kita bahaskan benda ni sebab kalau ada pun ianya jarang2 berlaku dan kita pakai kaedah “an-Nadir kal ‘Adam” iaitu perkara yang jarang berlaku hukumnya macam tak berlaku.

Jadi ambo fokuskan kepada cabang yang kedua iaitu kita yang dok amal mazhab Syafii ni boleh ke pakai seluar pendek ketika solat, di rumah misalnya? Ambo sebut seperti berikut:

1)      Menurut al-Allamah Hj Chik al-Qadahi dalam kitab Sullamus Sibyan, orang mazhab Syafii harus ia taqlid Mazhab Hanafi@Maliki@Hanbali pada satu masalah @ beberapa masalah dengan 6 syarat. Salah satu syaratnya ialah tidak ikut yang mana2 mudah seperti ambil wuduk sapu sikit kepala ikut mazhab Syafii dan solat tak baca Fatihah pada makmum ikut mazhab Hanafi, maka tak sah solatnya. Sama seperti kes kita nak pakai aurat solat ikut mazhab Maliki maka waktu wudhu’ pun ikut mazhab Maliki.

2)      Ada satu kaedah menyebut “al-Khuruj minal Khilaf Mustahab” iaitu keluar daripada perselisihan ulama dalam sesuatu perkara adalah sunat@disukai pada syarak. Imam Nawawi membawa contoh bagi kita mazhab Syafii musafir 2 marhalah sudah boleh qasar tetapi dalam mazhab Hanafi bila 3 marhalah baru boleh qasar. Jadi bila kita qasar 2 marhalah, mengikut mazhab Hanafi solat tu tak sah. Jadi disunatkan kita hanya qasar bila musafir 3 marhalah ke atas. Maka ketika tu semua mazhab kata sah. Begitu juga dalam hal ni bila kita pakai seluar pendek nampak paha ketika solat maka tak sah menurut kebanyakan ulama. Bila kita pakai seluar @ kain bawah lutut maka semua ulama kata sah. Jadi agak pelik bagi orang yang dah elok amal mazhab Syafii yang semua ulama kata sah dalam hal aurat tiba2 nak berpindah kepada yang ada khilaf.

3)      Dalam ilmu maqasid ada disebut Dharuriyat, Hajiyat daqn Tahsiniyat. Sekalipun kita berpegang kepada paha bukan aurat bukankah elok dari segi Tahsiniyat@Takmilat @ pelengkap kita memakai pakaian yang lebih sempurna. Ini lebih jelas apabila Imam Sya’rani sebut perbezaan antara ulama dan umara yang lebih jaga maruah lebih sesuai ambil pendapat yang kata aurat antara pusat dan lutut. Tambah pula bagi pelajar agama sudah tentu nampak sesuatu yang janggal solat berseluar pendek menampakkan lutut. Cuba kita bayangkan berada di depan raja lebih2 lagi dalam majlis rasmi. Sudah tentu kita berpakaian segak dengan bersampin dan bertanjak. Ini kita nak berhadapan dengan Tuhan sekelian alam!!!

4)      Kita patut berbangga apabila sesetengah negeri seperti Pahang dan Terengganu berusaha agar atlet sukan mereka berpakaian patuh syariah. Kalau dalam sukan pun berpakaian dengan menutup aurat seperti menutup lutut, amat janggal apabila kita solat dengan menampakkan paha kita.


Sekian dulu. Ambo hanya menyampaikan. Terpulang kepada adik abang nak terima atau tak. Apa yang baik datang daripada Allah dan buruk datang daripada diri ambo.

والله أعلم بالصواب

Mohd Amir Md Azmi Hj Md Isa,
Sg Lalang Kedah,
6/2/2020 pukul 10.55 p.m.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam