Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله


   
Beliau adalah al-Imam Abu Zakaria Muhyiddin, Yahya b Syaraf b Muriy an-Nawawi ad-Dimasyqi. Imam ahli zamannya dari segi ilmu dan ibadat.
            
            Beliau dilahirkan pada bulan Muharram 631H. Ketika berumur 7 tahun, beliau tidur di sebelah ayahnya pada malam 27 Ramadhan. Berkata ayahnya; “Beliau terjaga sekitar pertengahan malam lalu mengejutkanku lalu bertanya;- Wahai ayah, apakah cahaya ini yang memenuhi rumah kita? Lalu beliau mengejutkan sekelian ahli keluarga, namun kami semua tidak melihat sesuatu pun. Kata ayahnya; “Maka tahulah aku bahasanya itu adalah Lailatul Qadar.”
         
           Berkata seorang wali Allah, Syeikh Yasin b Yusuf al-Marakisyi (wafat 687H)[1]; “Aku melihat Syeikh ketika umurnya 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak lain memaksa beliau bermain bersama-sama[2] namun beliau lari daripada mereka dan menangis dengan paksaan mereka dan beliau membaca al-Quran ketika itu. Maka timbul di hatiku perasaan kasihkannya. Ayahnya menyuruh beliau bekerja di kedai. Namun begitu dalam aktiviti jual belinya tidak melalaikannya dengan al-Quran.” Kata Syeikh Yasin; “Aku berjumpa dengan guru Qurannya dan berpesan supaya mengambil berat hal beliau dan aku sebut:- Semoga beliau menjadi orang paling alim dan zuhud pada zamannya dan memberi manfaat kepada manusia. Maka bertanya gurunya:- Adakah tuan ahli nujum? Kataku:- Tidak, sebaliknya ilham daripada Allah.” Perkara tersebut diceritakan kepada ayahnya, lalu diambil berat tentang hafazannya hingga beliau khatam hafazan al-Quran sebelum usia baligh.
             
            Berkata Syeikh Ibnu al-‘Attor, Syeikh قدس الله روحه menyebutkan kepadaku; “Adalah aku mempelajari pada setiap hari 12 pelajaran dengan para guruku; dengan syarah dan tashih. 2 pelajaran kitab “al-Wasit”, masing-masing satu pelajaran dalam kitab “al-Muhazzab”, “al-Jam’u Baina as-Sohihain”, “Sohih Muslim”, “al-Luma’” karya Ibnu Junni dalam ilmu Nahu, “Islahul Mantiq” karya Ibnu as-Sikkit dalam ilmu Lughah, satu pelajaran dalam ilmu tasrif, satu pelajaran dalam ilmu Usul Fiqh (kadangkala kitab “al-Luma’” karya Abu Ishaq dan kadangkala kitab “al-Muntakhob” karya Fakhruddin ar-Razi), satu pelajaran dalam ilmu Asmaur Rijal dan satu pelajaran dalam Usuluddin.[3]
       
         Antara pujian ulama besar terhadap beliau:
1-      Khadamnya, al-Allamah Alauddin Ali b Ibrahim yang dikenali dengan Ibnu al-‘Attor, katanya:- “Beliau tidak pernah mensia-siakan waktunya pada malam dan siang kecuali menyibukkan diri dengan menuntut ilmu hinggalah pada perjalanan pergi dan balik. Beliau bersungguh-sungguh pada usaha mendapatkan ilmu dengan cara ini lebih kurang 6 tahun. Kemudian beliau sibuk dengan mengarang dan memberi faedah dan nasihat kepada orang awam Muslimin dan penguasa mereka. Di samping itu beliau begitu kuat bermujahadah melawan hawa nafsu, beramal dengan feqah yang sedalam-dalamnya dan berijtihad sungguh-sungguh untuk keluar daripada khilaf para ulama.”
2-      Berkata Syeikh Taqiyuddin Muhammad b al-Hasan al-Lakhmi:- “Beliau seorang yang alim dalam Feqh dan furu’nya daripada Aqwal Imam Syafii dan Awjah ulama-ulama mazhab Syafii.[4] Selama lebih kurang 20 tahun beliau berfatwa dan mengajar manusia ilmu, feqah, hadis, adab dan zuhud. Tidak ada pada zamannya di Negara-negara Islam seumpamanya. Seorang yg Muhaqqiq, hafiz, teliti, warak, mendalam dalam ilmu hadis, alim tentang sohih, hasan dll … Para Imam yang soleh dan ulama Arifin memujinya, kaum Muslimin amat bersedih dengan kematiannya.”
3-      Kata Syeikh Tajuddin as-Subki dalam Tabaqot asy-Syafiiyah al-Kubra:- “Ustaz al-Mutaakhirin wa hujjatullah ‘ala al-Lahiqin. Tidak pernah terlihat oleh mata orang yang lebih zuhud daripadanya pada jaga dan tidurnya. Dan tidak terpapar yang lebih mengikuti jalan salafus soleh di kalangan umat Muhammad صلى الله عليه وسلم lebih daripada beliau.
4-      As-Sodru Sulaiman b Yusuf al-Yasufi al-Hafiz berkata: “Apabila aku mendengar seseorang mengatakan an-Nawawi tersilap, maka aku menganggap sesungguhnya beliau telah kafir.
Kata hamba: Boleh jadi yang dimaksudkan dengan katanya “beliau telah kafir itu” ialah kufur yang tidak terkeluar pelakunya daripada Islam ataupun kufur nikmat. Wallahu a’lam.
Dan pelbagai lagi pujian ulama terhadap Imam an-Nawawi. Apa yang hamba sebutkan di sini tentang apa yang disebutkan tentangnya oleh para Imam dan ulama sudah memadai dan semoga beroleh barakah.    

Antara karamahnya:
1-      Keluar cahaya yang terang daripada jarinya sewaktu mengarang kitab.
2-      Antara karamahnya yang disebut oleh Ibnu al-‘Attor bahawasanya Syeikh Waliyuddin Abul Hasan Ali suatu ketika mengalami kesakitan di kakinya. Imam Nawawi menziarahinya dan berbicara tentang sabar. Setiap kali berbicara, sakit yang dialami hilang sedikit demi sedikit hingga hilang seluruh kesakitan yang dialami.
3-      Sebahagian ahli kasyaf menjelaskan bahawa Imam menjadi wali Qutub sebelum kematiannya. Menyebut Syeikh as-Soleh Abul Qasim al-Muriy bahawasanya beliau bermimpi melihat panji-panji yang banyak dan nobat dipukul. Beliau lalu bertanya: Apakah ini? Maka dikatakan padanya: Pada mala mini dilantik Imam Nawawi sebagai wali Qutub. Setelah itu beliau mendatangi Imam untuk memberitahunya dan didapati Imam dikelilingi orang ramai. Maka Imam Nawawi pun bangun berjumpa dengan beliau dan mengisyaratkan supaya didiamkan hal tersebut.
4-      Antara karamahhnya juga ialah beliau peranah mengingkari hasrat Gabenor Syam untuk memindahkan kitab-kitab ilmu yang berada di Masjid Umawi ke Negara ‘Ajam[5]. Gabenor berkeras suara dengan Imam dan hendak berkelakuan kasar dengan Imam. Waktu itu hamparan pejabat Gabenor terbuat daripada kulit harimau dan binatang buas. Lalu Imam mengisyaratkan kepada kulit-kulit haiwan tersebut lalu bangun harimau dan binatang buas dengan kuasa Allah Azza wa Jalla dan binatang-binatang tersebut mengaum menunjukkan taring kepada gabenor. Maka berlari gabenor dan pegawainya. Setelah itu gabenor berdamai dengan Syeikh dan mencium kakinya.[6] Peristiwa ini turut disebut oleh Imam asy-Sya’rani dalam kitab a-Minan.
5-      Banyak lagi karamah beliau. Cukuplah ilmu beliau di mana karangannya cukup banyak dengan usia yang singkat sebagai karamah yang cukup bernilai dianugerahkan oleh Allah kepada al-Imam an-Nawawi.

Guru-guru beliau:
1-      Gurunya yang pertama dalam bidang feqah ialah al-Imam Abu Ibrahim Ishaq b Ahmad b Osman al-Maghribi al-Maqdisi.[7]
2-      Berkata al-Imam as-Subki(wafat 771H) dalam kitab at-Tobaqat al-Kubra bahawasanya guru beliau dalam bidang toriq (jalan tarbiyah) ialah Syeikh Yasin al-Marakisyi yang disebut sebelum ini. Imam Nawawi beradab dengannya, menziarahinya, mengharapkan barakahnya dan bermesyuarat dengan gurunya dalam segala urusannya.
3-      Gurunya dalam bidang hadis ramai. Antaranya ialah Syeikh Abu Ishaq Ibrahim b Isa al-Maradi al-Andalusi asy-Syafii, Syeikh az-Zain Abul Baqa’ Khalid b Yusuf ibn Saad an-Nabulasi, al-Imam al-Muhaddis adh-Dhiya’ ibn Tamam al-Hanafi, Syeikh Abu Ishaq Ibrahim b Ali b Ahmad b Fadhlun al-Wasity dan Syeikh Abu al-Abbas Ahmad b Abd Daim al-Maqdisi, salah seorang ulama mazhab Hanbali.
4-      Gurunya dalam bidang Usul Feqh ialah Syeikh al-Allamah al-Qadhi Abu al-Fath Umar b Bandar b Umar at-Taflisi asy-Syafii dan al-Qadhi al-Izz Abu al-Mafakhir Muhammad b Abd Qadir b Abd Khaliq b as-Soi’ al-Ansori ad-Dimasyqi asy-Syafii.
5-      Gurunya dalam lughah, nahu dan sorof ialah Syeikh al-Fakhru al-Maliki dan Syeikh Abu al-Abbas Ahmad b Salim al-Misri an-Nahwi al-Lughawi at-Tasrifi.

Imam Nawawi mengarang lebih kurang 50 karya. Sebagaimana yang disebut Syeikh al-Kamal al-Idfawi, karya-karya tersebut disusun dalam masa yang pendek dan umurnya yang singkat. Antara karya beliau adalah seperti berikut:

1-      “Syarah Muslim”. Berkata al-Hafiz as-Sakhawi:- Kitab ini mempunyai barakah yang amat besar. Terhimpun di dalamnya syarah-syarah para ulama yang terdahulu.
2-      “Riyadhus Solihin”*
3-      “al-Azkar”* Berkata al-Hafiz as-Sakhawi:- Kedua-dua kitab Riyadhus Solihin dan al-Azkar kitab bernilai yang perlu dimiliki semua.
4-      “al-Arbain”(Hadis 40)* Banyak ulama yang mensyarahkan kitab ini.
5-      “at-Tibyan”*
6-      “Roudhotut Tolibin”
7-      “al-Minhaj”
8-      “al-Majmuk”
9-      “al-Idhoh fi Manasikil Hajj”
10-  “al-Fatawa”* yang disusun oleh muridnya Ibnu al-‘Attor.
11-  “Bustanul Arifin”*
12-  “Manaqib asy-Syafii”
13-  “Tahzib al-Asma’ wal Lughat”
14-  “al-Irsyad” dalam Ulum Hadis
15-  “at-Tarkhis fil Ikram wal Qiyam”
16-   Dll.

*Sudah mempunyai terjemahan di dalam Bahasa Malaysia.

Murid-muridnya terdiri daripada para ulama dan ahli hadis. Antaranya ialah:

1-      Khadamnya, al-Imam al-Allamah Alauddin ibnu al-‘Attor.
2-      Al-Fadhil Abu al-Abbas Ahmad b Farah al-Isybili.
3-      Asy-Syihab Ahmad b Muhammad b Abbas b Ja’wan az-Zahid al-Mufti.
4-      Ar-Rasyid Ismail b Usman b Abd Karim b al-Muallim al-Hanafi.
5-      Al-Jamal Rafi’ as-Somidi ibnu Hajras b Syai’ al-Muqri’ al-Muhaddis, dll.

Beliau wafat di Nawa pada sepertiga malam terakhir, malam Rabu, 14 Rejab 676H dan disimpan di sana pada siangnya.  

Disusun oleh hamba yang mengharapkan kurniaNya, Mohd Amir b Md Azmi pada 6.30 petang 18/10/2019 bersamaan 19 Safar 1441H.

Rujukan:
1-      Tuhfatut Tolibin fi Tarjamati al-Imam an-Nawawi Muhyiddin – Imam Ibnu al-‘Attor
2-      Al-Minhajus Sawi fi Tarjamati al-Imam an-Nawawi – Imam Jalaluddin as-Suyuti
3-      Tabaqot asy-Syafiiyah al-Kubra – Imam Tajuddin as-Subki
4-      Taufiqu Bari – Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari
5-      Dalilul Falihin – Syeikh Muhammad b Allan as-Siddiqi asy-Syafii al-Ays’ari al-Makki.
6-      Jami’ Karamatil Auliya’ – Syeikh Yusuf b Ismail an-Nabhani


[1] ) Sebahagian kitab menisbahkan kepada az-Zarkasyi. Namun bagi hamba, nisbahnya kepada al-Marakisyi lebih kuat kerana ia adalah pandangan Ibnu al-‘Attor yang lebih hampir zamannya dengan Imam Nawawi.
[2] ) Dalam naskhah Arab – يكرهونه على اللعب معهم – al-Ikrah membawa makna memaksa ataupun membenci. Namun dalm konteks ayat ini setelah bermusyawarah dengan sahabat hamba, Ustaz Mohammad Najmuddin b Abdul Aziz, hamba cenderung yang dimaksudkan adalah memaksa. Wallahu a’lam.
[3] ) Yang disebut hanya 11 pelajaran sahaja. Wallahu a’lam.
[4] ) Aqwal –أقوال  – merujuk kepada pandangan Imam Syafii manakala Awjah – أوجه – merujuk kepada pandangan ulama-ulama Mazhab Syafii.
[5] ) Negara ‘Ajam merujuk negara selain Arab.
[6] ) Perbuatan mencium kaki diharuskan oleh sebahagian para ulama. Namun hamba tidak ingin membahaskannya di sini.
[7] ) Dalam kitab Tuhfatut Tolibin, Ibnu al-‘Attor menerangkan sanad/salasilah ilmu Imam an-Nawawi hingga kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم

Comments

Popular posts from this blog

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat