Tauhid Itu Nikmat Yang Besar Dan Buahnya Ialah Taat


Orang yang mendakwa ada lagi tuhan yang lain selain Allah, tidak berdiri dengannya apa alasan pun, malah alasannya itu semuanya jelas batil dan mustahil, tidak boleh dipakai. Sebab itu orang yang mendakwa itu sentiasa bercabang-cabang lisannya, sebagaimana Firaun yang dikutuki Allah itu sendiri memakai argumen yang sama.

Demikian pula dengan Raja Namruz, sebagaimana yang diberitakan Tuhan, dari hal berhujjahnya kepada Nabi Ibrahim al-Khalil alaihis-salam, seperti yang tertera di dalam al-Quran:

ألم تر إلى الذي حاج إبراهيم في ربه أن آتاه الله الملك إذ قال إبراهيم ربي الذي يحيي ويميت، قال أنا أحيي وأميت. قال إبراهيم فإن الله يأتي بالشمس من المشرق فأت بها من المغرب. فبهت الذي كفر. والله لا يهدي القوم الظالمين. – البقرة: 258

“Tidakkah engkau mahu lihat kepada siapa yang berhujjah kepada Ibrahim tentang Tuhannya, bahawa dia telah diberikan Allah kerajaan, ketika Ibrahim berkata kepadanya: Tuhanku yang menghidupkan dan mematikan. Dia pula berkata: Aku pun menghidupkan dan mematikan juga! Maka berkata Ibrahim: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka cubalah engkau terbitkannya dari barat! Lalu terdiamlah orang yang kafir itu, dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.”

Kemudian hendaklah engkau mengetahui, bahawa tauhid itu ialah suatu nikmat yang paling besar, dan sangat bermanfaat buat ahli dunia dan akhirat. Orang yang menerima nikmat Allah Taala harus memuliakan Allah yang memberinya dan mengenal batasan nikmat itu. Lalu hendaklah dia berusaha untuk memeliharanya dan bersyukur terhadapnya serta merasa gembira dengannya. Kemudian dia berdaya-upaya untuk meneguhkan tauhidnya itu serta mengekalkan diri berlazim ke atas akhlak-akhlak yang mulia, amal-amal yang soleh, dan taat yang khalis yang menjadi akar-umbi tauhid itu dan buah keimanannya, di samping sentiasa berwaspada dan menjaga diri dari didatangi lawan-lawan dari sifat-sifat tersebut tadi, seperti akhlak-akhlak yang buruk, dan amal-amal yang mungkar yang bakal melemahkan keimanan, dan menjadi sebab kegoncangan kehuru-haraannya pada masa kini dan selepasnya, khususnya ketika menghadapi maut.

Adalah para salaf soleh رحمهم الله berkata: Maksiat itu adalah perantara kufur, oleh itu setiap Mukmin harus berusaha berdaya-upaya dalam memelihara imannya serta meneguhkannya, menetapkannya serta mengekalkan rukun-rukunnya. Hendaklah dia memohon pertolongan daripada Allah Taala dalam hal ini, bersabar banyak serta bercekal hati sehingga dating keyakinan kepadanya.

Kemudian hendaklah anda mengetahui bahawa iman itu adalah pokok dari segala pokok dan sebagai barang yang bernilai dan mahal sekali. Dalam pada itu dia juga banyak bahayanya, susah menjaganya, dan sangat perlu kepada pemeliharaan dan pemerhatian. Setiap yang mahal dan berharga memang begitulah seharusnya dijaga.

Seorang Mukmin yang menjaga agamanya, berhati-hati melindungi iman dan yakinnya, sentiasa mengangkat tangan dan memohon kepada Allah agar Dia menetapkannya di atas agamanya dan imannya, supaya hatinya tiada melencong daripada jalan yang lurus, sesudah dia mendapat hidayat dan mengenal tauhid dan makrifat kepada Allah Taala, dan selalu bimbang dan takut daripada terpesong daripadanya. Setengah para Salaf pernah bersumpah atas nama Allah, bahawa tiada seorang pun yang merasa aman dari imannya akan terpesong, melainkan imannya akan terpesong. Dan dikatakan bahawa Iblis yang dikutuki Allah pernah berkata: Orang yang memohon Allah husnul-khatimah (yakni kesudahan yang baik Ketika mati) telah mematahkan tulang belakangku. Iblis berkata, bila agaknya orang ini akan merasa ujub dengan amalannya, aku bimbang sekali kalua-kalau dia telah menyedari dirinya.

Kalau begitu perkara yang sangat penting dan perlu diperhatikan, bahawa setiap orang yang waras akalnya dari kaum ahli keimanan, hendaklah dia sentiasa memandang berat dan berusaha sepenuh tenaga untuk menyelamatkan tauhidnya dan menjaga imannya baik-baik, sehingga dia mati dan berpindah dari dunia ini mudah-mudahan di atas Husnul-khatimah, mudah-mudahan dengan kurnia Allah dan baik dukungan dan penetapanNya. Sebab jika dia keluar dari dunia di atas sifat yang tersebut, nescaya dia akan terselamat dari semua bahaya dan mencapai segala kebaikan abadi buat selama-lamanya. Tetapi jika dia keluar dari dunia di atas sifat yang lain dari yang tersebut, nescaya dia akan menanggung kerugian yang besar, dan akan binasa kebinasaan yang abadi, moga-moga Allah menjauhkan hal itu dari kita sekalian.

Kehilangan tauhid dan keimanan itulah yang tiada berguna apa pun yang ada bersamanya, biar betapa besar dan banyak amalan pun yang ada pada kita, kendatipun amalan itu merangkum amalan orang-orang yang terdahulu dan terkemudian sekalipun. Apabila kekal dengan seorang hamba itu tauhidnya dan imannya, dan kedua-duanya bersih dan selamat di tangannya, tiada suatu pun yang akan membahayakannya, meskipun dia seorang yang Ashi, yakni penderhaka yang menanggung dosa-dosa yang banyak, maka nanti sama ada Allah akan mengampuninya dan memaafkannya, ataupun Dia akan menyiksanya sesuai dengan dosa-dosa yang dilakukannya, namun dia tidak akan kekal dan abadi dalam siksaan neraka, bahkan akan dikeluarkan daripadanya siapa yang masih ada di hatinya seberat debu dari keimanan.

Allah Taala telah menyuruh semua hambaNya yang Mukminin agar mati di dalam keimanan dan keislaman. Dia menyifatkan para NabiNya, para RasulNya dan para hambaNya yang solihin dengan mereka selalu berdoa dan bermohon kepadaNya supaya mati di dalam Iman dan Islam, di samping mereka juga berpesan kepada orang ramai dan mengajak beramai-ramai supaya sentiasa berdoa memohon mati di dalam keimanan dan keislaman, kerana mereka sangat mengambil berat terhadap perkaranya, mereka memandangnya sebagai penting sekali dan sangat berharap untuk mencapainya.

Ada banyak hadis-hadis yang warid daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang membawa berita-berita yang menggembirakan bagi ahli tauhid dan iman, iaitu siapa yang mati sedang dia tidak menyengutukan sesuatu pun dengan Allah, mudah-mudahan dia akan selamat dan berjaya memasuki syurga, dan yang lain-lain lagi dari berita-berita yang menunjukkan adanya banyak kebaikan dan tingkat dan darjat.

Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: Barangsiapa bersaksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu adalah hambaNya dan UtusanNya, dan bahawasanya Isa itu hamba Allah dan RasulNya juga kalimatNya yang dilimparkan kepada Maryam dan dia Ruh daripadaNya, dan bahawasanya syurga itu benar, dan neraka itu benar, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga bersama amalan yang ada padanya.

Diolah daripada kitab Dakwah Yang Sempurna Peringatan Yang Utama susunan Imam Habib Abdullah Haddad, terjemahan Syed Ahmad Semait.   

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat