Orang Yang Berpegang Kuat Dengan Tauhid Akan Selamat

 


Dalam riwayat yang diberitakan Imam Muslim: Barangsiapa yang menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad adalah UtusanNya, nescaya Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka.

Sekali peristiwa telah datang seorang Arab dusun kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu berkata: Duhai Rasulullah! Apa yang wajib aku tahu? Jawab Baginda: Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada menyengutukan sesuatu dengan Allah, nescaya dia akan memasuki syurga. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan menyengutukan sesuatu dengan Allah, nescaya dia akan memasuki neraka.

Pernah Baginda berkata kepada Muaz: Wahai Muaz! Tiada seorang hamba yang menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan UtusanNya, dengan perasaan yang benar dari benak hatinya, melainkan Allah Taala akan mengharamkan dirinya dai api neraka. Lalu berkata Muaz: Duhai Rasulullah! Apakah boleh aku memberitahukan orang ramai berita ini, supaya mereka gembira?! Jawab Baginda: Nanti takut mereka bertawakkal pula (yakni tidak mahu beramal). Maka Muaz hanya memberitahukannya ketika dia akan menemui ajalnya, kerana takut kalau dia mati tidak disampaikan berita ini, dia akan menanggung dosa menyembunyikan sesuatu ilmu.

Telah berkata Nabi صلى الله عليه وسلم: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan api neraka sesiapa yang mengucapkan “Tiada Tuhan melainkan Allah”, yang dia mengucapkan itu kerana menginginkan Wajah Allah, yakni keredhaanNya.

Pernah Baginda صلى الله عليه وسلم berkata kepada Abu Hurairah رضي الله عنه: Wahai Abu Hurairah! Pergilah beritahu siapa yang engkau temui di dalam lading ini, bahawasanya siapa yang menyaksikan “Tiada Tuhan melainkan Allah”, dengan keadaan penuh yakin di dalam hatinya, dan gembirakanlah dia dengan memasuki syurga!

Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada Muaz رضي الله عنه: Wahai Muaz! Apakah engkau mengetahui apa hak Allah ke atas para hambaNya, dan apa pula hak hamba pada Allah? Jawabku, kata Muaz: Allah dan RasulNya sajalah yang mengetahui. Baginda lalu bersabda lagi: Sesungguhnya hak Allah ke atas para hambaNya ialah hendaknya mereka menyembahNya dan tidak menyengutukan Dia denga napa pun. Dan hak para hamba pada Allah ialah hendaknya Dia tidak menyiksa siapa yang tidak menyegutukan Dia dengan sesuatu apa pun. Maka aku pun berkata: Duhai Rasulullah! Tidakkah baik kalau aku menggembirakan berita ini kepada orang ramai? Jawab Baginda: Jangan menggembirakan mereka dulu, nanti mereka akan bertawakkal, yakni tidak mahu beramal.

Telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: Seorang Muslim apabila disoal di dalam kubur, dia akan menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu adalah Utusan Allah, dan yang demikian itu bertepatan dengan firman Allah Taala yang bermaksud: Allah akan meneguhkan mereka yang beriman dengan ucapan yang teguh di dalam kehidupan dunia dan di akhirat!

Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Telah datang kepadaku Malaikat Jibril عليه السلام seraya berkata: Gembirakanlah ummatmu, bahawa sesiapa yang mati, walhal dia tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu pun, dia akan menghuni syurga. Aku pun berkata: Wahai Jibril, meskipun jika dia mencuri dan berzina?! Jawab Jibril: Ya. Lalu aku mengulangi lagi sampai tiga kali, namun Jibril tetap menjawab dengan jawapan yang sama, malah pada jawapannya yang terakhir, dia menambah: Ya, walaupun dia meminum khamar (minuman keras).

Telah bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Telah datang kepadaku utusan daripada Tuhanku, lalu dia memberitahu pilihan antara setengah (separuh) ummatku akan memasuki syurga dengan syafaat yang diberikan kepadaku. Maka aku telah memilih syafaat, iaitu bagi siapa yang mati sedang dia tidak menyengutukan dengan Allah sesuatu apa pun.

Telah bersabda lagi Nabi صلى الله عليه وسلم: Telah berfirman Allah Taala: Wahai anak Adam! Sesungguhnya jika engkau memohonKu dan meletakkan semua harapan kepadaKu, nescaya Aku akan mengampunimu di atas apa yang engkau lakukan, dan Aku tidak perduli. Wahai anak Adam! Jika sekiranya dosa-dosamu meninggi sampai ke langit sekalipun, lalu engkau memohon keampunan kepadaKu, nescaya Aku akan tetap mengampunimu. Wahai anak Adam! Jika engkau datang kepadaKu dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi sekalipun, kemudian engkau menemuiKu sedang engkau tidak menyengutukan dengan Aku apa pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh itu juga.

Ada suatu berita tentang sebuah sabda mengenai seorang lelaki dari ummat ini, yang diteriakkan Namanya (di hari kiamat), lalu dibawakan kepadanya sebanyak 99 sijil yang penuh dengan kesalahan, setiap sijil itu sejauh pandangan mata, lalu diletakkan di atas neraca Mizan (yakni Timbangan), maka berfirman Allah Taala kepadanya: Jangan bimbang, bahawa engkau mempunyai satu Hasanah, yakni kebajikan di sisiKu, dan pada hari ini tiada seorang pun yang akan teraniaya. Maka dikeluarkanlah di hadapannya suatu kad padanya tertulis penyaksian Laa Ilaaha Illallah. Orang itu pun merasa hairan dan bertanya: Apa ertinya suatu kad yang tertulis padanya penyaksian di samping semua sijil-sijil yang banyak ini. Allah Taala menjawab: Sesungguhnya engkau tidak akan dianiayai. Lalu diperintahkan Allah Taala untuk diletakkan kad itu di neraca sebelah pada timbangan itu, maka segeralah neraca itu kelihatan berat dan semua sijil-sijil itu menjadi ringan di sebelahnya.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Memang tidak akan menjadi berat apa saja bila ditimbang dengan nama Allah di sebelahnya. Demikian maksud dari sebuah Hadis yang mulia.

Dan ada berita yang mengatakan, bahawa seorang lelaki sedang berada di Arafah di waktu mengerjakan haji, lalu dia telah mengambil tujuh kerikil dan disaksikannya setiap batu kerikil itu dengan kalimat Laa Ilaaha Illallah. Pada malamnya dia bermimpi seolah-olahnya dia sedang berdiri di hadapan Allah Taala dan sedang menjalani Hisab, dan dia diperkirakan amalannya yang akhirnya diperintahkan untuk dilontarkan ke dalam api neraka. Apabila diseret menuju ke salah sebuah pintu neraka itu, maka datanglah batu-batu itu untuk menutup pintu neraka itu. Lalu dikatakan kepadanya, bahawa “Inilah batu-batu yang pernah engkau saksikan kepadanya dengan penyaksian Laa Ilaaha Illallah di Arafah dahulu”, maka dia pun diperintahkan untuk menuju ke pintu syurga. Sampainya di pintu syurga itu, maka datanglah penyaksian Laa Ilaaha Illallah untuk membukakan pintu syurga buatnya, dan semua itu adalah dengan rahmat dan kelebihan Allah Taala. Segala puji bagi Allah seru sekalian alam.

Diolah daripada kitab Dakwah Yang Sempurna Peringatan Yang Utama susunan Imam Habib Abdullah Haddad, terjemahan Syed Ahmad Semait.

Comments

Popular posts from this blog

Hukum Beramal dengan Hadis Dhaif

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum utama