Kemuliaan Diri dan Nasab Nabi SAW

Daripada Maisara adh-Dhabbiy katanya aku bertanya “Ya Rasulallah, bilakah tuan menjadi seorang Nabi?” Sabda Baginda: Ketika Adam antara ruh dan jasad.” Daripada Suhail bin Soleh al-Hamdaniy katanya; Aku bertanya Abu Jaafar Muhammad bin Ali: “Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW mendahului para Nabi sedangkan Baginda Nabi terakhir yang diutuskan? Katanya: “Sesungguhnya Allah Taala ketika mengambil perjanjian anak Adam “Alastu Birabbikum” (Bukankah Aku Tuhan kamu?) adalah Nabi Muhammad SAW yang pertama menyaksikan “Balaa” (Bahkan). Oleh kerana itu Nabi Muhammad SAW mendahului para Nabi sekalipun yang terakhir diutuskan.

Diriwayatkan daripada Sayyidina Ali bin Abu Talib k.w bahawasanya tidaklah Allah mengutuskan Nabi sejak Adam a.s kecuali diambil daripadanya perjanjian tentang Nabi Muhammad SAW; Sekiranya Baginda diutuskan dan para Nabi masih hidup mestilah beriman kepadanya dan membantunya.Perjanjian ini juga diambil ke atas kaum setiap Nabi. Hal ini juga diriwayatkan juga oleh Ibnu Abbas.Perkara ini diisyaratkan dalam surah Aali Imran ayat 81 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari para Nabi: Sesungguhnya apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa al-Kitab dan al-Hikmah, kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan bersungguh2 beriman kepadanya dan menolongnya. Allah berfirman:- Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjianKu terhadap yang demikian itu? Mereka menjawab: Kami mengakuinya. Allah berfirman: Kalau begitu, saksikanlah (wahai para Nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.”

Kata Syeikh Taqiyuddin as-Subki dalam mentafsirkan ayat ini bahawa tidak tersembunyi lagi dalam mentakzimkan kedudukan Baginda yang tinggi. Di samping itu, jika ditakdirkan Nabi SAW diutuskan pada zaman mereka maka Baginda juga diutuskan kepada mereka. Dengan itu Nubuwah dan Risalah Baginda adalah umum untuk sekelian makhluk semenjak zaman Nabi Adam a.s hingga ke hari kiamat. Maka seluruh Nabi dan umat mereka sekeliannya termasuk dalam umat Baginda SAW. Maka sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Aku diutuskan kepada seluruh manusia” tidak tertentu bagi manusia pada zamannya SAW hingga hari kiamat, bahkan termasuk mereka yang hidup sebelum zamannya. Dengan ini nyatalah makna sabda Baginda SAW: “Aku telah jadi Nabi sedangkan Adam antara ruh dan jasad.”

Apabila diketahui demikian maka Nabi SAW adalah Nabi kepada sekelian Nabi. Kerana itulah zahir perkara ini di akhirat di mana seluruh Nabi bernaung di bawah panjinya. Demikian juga di dunia pada malam Isra’ kesemua Nabi bersolat berimamkan Baginda SAW. Jika ditakdirkan Nabi SAW datang pada zaman Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa Solawatullahi wa salamuhu alaihim, wajib ke atas mereka dan umat2 mereka beriman dengannya dan membantunya. Dan dengan demikianlah perjanjian yang Allah ambil atas mereka.

Diriwayatkan bahawa ketika Allah Taala menciptakan Adam a.s Allah mengilhamkan kepadanya untuk berkata: “Ya Tuhan, kenapakah Kau menggelarkan diriku Abu Muhammad? Allah berfirman: “Ya Adam, dongakkan kepalamu. Maka Adam a.s mendongakkan kepalanya lalu baginda melihat Nur Muhammad SAW di atas arasy maka kata Adam a.s: “Ya Tuhan, apakah Nur (cahaya) ini? Allah berfirman: “Ini adalah Nur Nabi daripada zuriatmu. Namanya di langit ialah Ahmad dan di bumi Muhammad. Jika tidak kerananya tidaklah Aku menciptakanmu dan tidaklah Aku menciptakan langit dan bumi.”

Daripada Sayyidina Umar b al-Khattab r.a katanya telah bersabda Rasulullah SAW: “Ketika Adam melakukan kesilapan baginda berkata Ya Tuhan, aku pohon kepadaMu dengan haq Muhammad moga Kau ampunkan diriku. Maka Allah berfirman: “Ya Adam, bagaimana kau kenal Muhammad sedangkan Aku belum menciptanya lagi? Sembah Adam: “Kerana Engkau Ya Tuhan ketika Kau menciptakanku dan meniupkan ruh aku mendongak kepalaku maka aku lihat di atas arasy tertulis “LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUN RASULULLAH” maka aku tahu bahawasanya Kau tidak tambahkan di samping namaMu kecuali makhluk yang paling Kau kasihi. Maka Allah berfirman: “Kau benar Ya Adam. Sesungguhnya beliau adalah makhluk yang paling Kukasihi. Dan jika kau pinta kepadaKu dengan haqnya maka sesungguhnya Aku telah ampunkan bagimu. Kalaulah bukan dengan Muhammad tidaklah Aku ciptakan kau. Dan dia adalah Nabi yang terakhir daripada zuriatmu.”

Siti Hawa telah melahirkan 40 orang anak yakni 20 pasang kembar. Manakala beliau melahirkan Nabi Syits a.s seorang sahaja sebagai memuliakan Sayyidina Muhammad SAW. Ini kerana Nur Baginda SAW berpindah daripada Nabi Adam a.s kepada Nabi Syits a.s. Sebelum kewafatannya beliau mewasiatkan kepada anaknya. Kemudian Syits a.s mewasiatkan kepada anaknya dengan wasiat Nabi Adam a.s agar tidak meletakkan Nur Muhammad kecuali kepada wanita2 yang suci. Wasiat ini sentiasa diperturunkan daripada kurun ke kurun sehinggalah Allah meletakkan Nur Muhammad kepada Abd Muttalib dan anaknya Abdullah. Dan Allah mensucikan nasab yang mulia ini daripada perbuatan zina jahiliyah sepertimana yang warid daripada hadis2 Nabawiyah. Kata Ibnu Abbas r.a; bersabda Rasulullah SAW: “Tiadalah aku dilahirkan daripada zina jahiliyah walaupun sedikit. Tiadalah aku lahir melainkan dengan nikah Islam.”

Hisyam b Muhammad al-Kalby meriwayatkan daripada bapanya, katanya aku tulis bagi Nabi SAW 500 orang ibu. Maka tiadalah aku dapati pada diri mereka perbuatan zina dan tidak juga aku dapati pada mereka sesuatu daripada perkara jahiliyah. Daripada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Aku dilahirkan daripada nikah. Dan tidak pernah aku dilahirkan daripada zina sejak Nabi Adam a.s hinggalah aku dilahirkan daripada ayah dan ibuku. Dan tidak pernah menimpaku daripada sesuatu zina ahli jahiliyah.”

Diterjemah dan diolah oleh Ibnu Azmi asy-Syafii daripada kitab al-Anwarul Muhammadiyyah minal Mawahibal Ladunniyyah nukilan al-Qadhi asy-Syeikh Yusuf Ismail an-Nabhani.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat