Adakah Wajib Jatuhkan Kerajaan Yang Zalim


Bila pemimpin zalim dalam sesetengah bab, tapi banyak melakukan keadilan, macam mana kita nak lakukan? Kita perlu lihat secara lebih terperinci menurut fiqh siyasah. Dari sudut kita yang jauh daripada zaman Khulafa' Rasyidin, boleh dikatakan mustahil nak cari pemimpin yang adil 100%. Setiap individu jika direnung pun ada melakukan kezaliman terhadap diri sendiri.

Ada 3 penilaian di sini:
1- Keadilan dalam tindakan:- seperti urus zakat, kebajikan, pendidikan dan ekonomi dengan amanah.
2- Kezaliman dalam tindakan - nafikan hak rakyat, aniaya rakyat atau salahguna kuasa.
3- Penilaian keseluruhan pemerintah:- Kena ambil kira keseluruhan rekod pemerintahan, bukan satu kesalahan atau satu kejayaan saja.
Dalam "Qawaid al-Ahkam fi Masolih al-Anam", Sultonul Ulama Imam al-Izz bin Abd Salam membahaskan secara langsung keadaan pemerintah yang adil, dalam masa sama ada buat zalim dalam beberapa perkara. Saya rasa semua pemimpin sekarang macam tu.
Beliau menyatakan hak manusia yang dinafikan akibat kezaliman tak terhapus hanya kerana dia berlaku adil dalam perkara lain. Jadi keadilan dan kezaliman boleh wujud serentak pada seorang pemerintah. Tak payah dok claim suci dalam debu sangat la bab ni. Katanya:-

إن قيل: إذا جار الأئمة والحكام وعدلوا فهل يقوم عدلهم بجورهم؟ فالجواب: إن ما فوتوه من الأموال مضمون عليهم في الدين
Maksudnya:- "JIka ditanya: Apakah para pemimpin dan pemerintah melakukan kezaliman dalam sesetengah perkara dan berlaku adil dalam perkara yang lain, adakah keadilan mereka tu dapat menggantikan kezaliman mereka? Jawapannya: Hak-hak harta yang mereka hilangkan akibat kezaliman tetap menjadi tanggungan mereka di sisi agama."
Beliau juga menyatakan perkara yang sama terpakai terhadap darah, kehormatan dan hak-hak manusia yang dinafikan.
Jadi, kebaikan yang dilakukan pemerintah tidak memadamkan kezaliman yang dilakukannya.
Dalam isu ini, adakah wajib menjatuhkan pemimpin tersebut? Di sini kita kena bezakan dua perkara:
Pertama- Akui dan tegur kezaliman pemimpin tersebut.
Kedua- Menggulingkan pemerintah tersebut daripada jawatannya.
Dalam perbahasan Ahlus Sunnah, terdapat penekanan supaya mengelakkan pemberontakan terhadap pemerintah (bughah) yang boleh membawa kepada kerosakan dan pertumpahan darah yang lebih besar. Namun, tak bermaksud pemerintah dapat "lesen agong" untuk berlaku zalim atau tak boleh ditukar melalui saluran yang sah seperti pilihanraya.
Kesimpulannya:- Kita tak tolak kebaikan pemerintah kerana kezaliman yang dilakukan, dan kita tidak membenarkan kezaliman pemerintah kerana kebaikan yang dilakukannya.
Saya ingin menimbulkan satu persoalan:- JIka seorang pemimpin mempunyai 80% pemerintahannya yang adil dan 20% lagi kezaliman, adakah rakyat berdosa jika mereka masih menyokong dan mempertahankannya daripada usaha menggulingkannya? Jawapannya saya serahkan kepada tuan/puan yang membaca untuk membuat penilaian dan pilihan masing-masing.
Nukilan Tok Lebai Sangkut Sungai Petani.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Aurat Lelaki Ketika Solat

Manusia Berbeza Antara Satu Sama Lain