Kelebihan Surah al-Mulk
عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهُ قَالَ:
" إِنَّ سُورَةً مِنَ الْقُرْآنِ، ثَلَاثُونَ آيَةً، شَفَعَتْ لِرَجُلٍ
حَتَّى غُفِرَ لَهُ، وَهِيَ: {تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ} – رواه أحمد وابن
حبان والترمذي وقال حديث حسن
Ertinya:
Hazrat Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Ada satu surah dalam al-Quran
yang terdiri daripada 30 ayat yang akan memberi syafaat kepada seseorang
(pembacanya), sehinggalah dia diampunkan. Surah itu adalah surah Tabarak
al-Lazi.” (HR Ahmad, Ibnu Hibban dan Tirmizi)
Keterangan
Tentang
surah Tabarak al-Lazi juga ada satu Riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم
bersabda, “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada dalam setiap hati orang
yang beriman.”
Mengikut
satu hadis lagi, seseorang yang membaca surah Tabarak al-Lazi dan Alif Lam Mim
Sajdah antara solat Maghrib dan Isyak adalah seperti seseorang yang beribadat
sepanjang malam Lailatul Qadar. Diceritakan juga bahawa jika seseorang membaca
kedua-dua surah ini, 70 pahala akan ditulis untuknya, 70 dosa akan dijauhkan
daripadanya. Mengikut Riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah
ini, ditulis untuknya pahala yang menyamai pahala ibadat pada malam Lailatul
Qadar. (Ini juga telah disebutkan dalam kitab Mazohirul-Haq.)
Imam
Tirmizi r.h. meriwayatkan daripada Hazrat Abdullah bin Abbas r.a,
قَالَ:
ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِبَاءَهُ
عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ
يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا، فَأَتَى
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي
ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا
فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ
الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Ertinya:
“Sekumpulan sahabat telah mendirikan khemah di suatu tempat tanpa mengetahui
bahawa di situ terdapat sebuah kubur. Tiba-tiba mereka yang mendirikan khemah
itu mendengar seseorang sedang membaca surah Tabarak al-Lazi. Mereka datang dan
menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Baginda صلى الله عليه وسلم menerangkan bahawa surah ini akan menjaga
pembaca daripada azab Allah Taala dan menjamin keselamatan.”
Hazrat
Jabir r.a. meriwayatkan:
كَانَ
النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لَا يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ: {الم،
تَنْزِيلُ} السَّجْدَةَ، وَ {تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْك} .
Ertinya:
“Bahawa Rasulullah صلى الله
عليه وسلم tidak akan pergi tidur sebelum membaca surah Alif Lam Mim
Sajadah dan Tabarak al-Lazi.”
Hazrat
Khalid bin Ma’adan r.a berkata bahawa satu Riwayat telah sampai kepadanya yang
mengatakan bahawa ada seorang pendosa besar yang selalu membaca surah
Al-Sajdah. Dia tidak pernah membaca surah lain. Surah itu telah mengembangkan
sayapnya ke atas orang itu dan memohon kepada Allah Taala, Wahai Tuhanku, orang
ini kerap kali membaca daku.” Syafaat daripada surah ini diterima oleh Allah
Taala, maka kerana itu diperintahkan supaya setiap dosanya digantikan dengan
pahala.
Hazrat
Khalid bin Ma’adan juga telah meriwayatkan bahawa, “Surah ini akan merayu bagi
pihak pembacanya dalam kubur dan berkata, “Ya Allah, jika aku ini berada dalam
kitab-Mu, maka terimalah syafaatku. Jika tidak, hapuskanlah Sahaja daku daripada
kitab-Mu.” Surah ini akan muncul dalam bentuk seekor burung, mengembangkan
sayapnya ke atas mayat itu dan melindungi mayat itu daripada seksaan kubur. Hazrat
Khalid bin Ma’adan juga berkata bahawa semua kelebihan di atas adalah juga
untuk surah Tabarak al-Lazi. Hazrat Khalid bin Ma’adan r.a. sendiri tidak akan
pergi tidur sehinggalah beliau selesai membaca dua surah ini. Hazrat Taus r.h.
berkata, “Kedua-dua surah ini mendatangkan 60 ganjaran yang melebihi setiap
surah lain dalam Al-Quran.”
Seksaan
dalam kubur bukanlah suatu perkara yang ringan. Setelah meninggal dunia, kubur
ialah perhentian pertama yang seseorang itu mesti lalui. Apabila Hazrat Uthman
r.a. berdiri di atas sebuah kubur, beliau akan menangis dengan hebatnya
sehingga janggut beliau dibasahi air mata. Seseorang telah bertanya, “Tuan
tidak menangis sebegitu rupa jika disebut tentang syurga atau neraka
sebagaimana tuan menangis ketika berada di kubur.” Beliau menjawab, “Saya telah
mendengar daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم
bahawa kuburlah tempat persinggahan pertama menuju ke akhirat. Sesiapa
terselamat daripada azab kubur, peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah
baginya. Sesiapa yang tidak selamat daripada azab kubur, ujian-ujian yang akan
datang lebih sukar lagi. Saya juga mendengar bahawa tidak ada satu keadaan pun
yang lebih menggerunkan daripada keadaan yang ada dalam kubur.” (Jami’ul
Fawaid)
اللهم
احفظنا منه بفضلك ومنك
Ertinya: “Ya
Allah, peliharalah kami daripada keadaan tersebut dengan kurniaan dan
anugerah-Mu.”
Rujukan:
Fadhilat Amal susunan Syeikhul Hadis Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi.
Comments