Virus Takfiri Di Kalangan Sesetengah Haraki



Kata Imam Syahid Hassan alBanna: “Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim berdasarkan pendapat atau maksiat yang dilakukannya sedangkan beliau telah mengucap dua kalimah syahadah dan melakukan tuntutan syahadahnya iaitu dengan melakukan sesuatu yang telah difardukan kepadanya, kecualilah beliau berikrar dan mengakui kekufurannya, atau beliau mengingkari perkara yang diketahui secara pasti dalam agama, atau beliau mendustakan lafaz dan pengertian Al-Quran yang terang dan jelas, atau beliau menafsirkan Al-Quran dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran bahasa Arab atau beliau melakukan perbuatan yang tidak dapat ditafsirkan dengan tafsiran selain dari kekufuran.”

Dalam PRU ke-15, ada seorang penceramah PAS mengatakan yang membawa maksud “Siapa yang mengundi selain PN (PAS di dalamnya), masuk neraka”. Pemimpin PAS perlu siasat ucapan sebegini adakah kerana kesan Takfir kepada mereka yang tidak sehaluan.

Saya yakin ramai di kalangan pemimpin PAS tidak bersetuju dengan gejala kafir mengkafir sesame Muslim sebagaimana kata Nik Abduh: “Sebagaimana saya benci PAS mengkafirkan sesama muslim, saya juga benci PAS dituduh suka mengkafirkan sesama muslim. Sebagaimana saya benci begitu, saya juga cukup sedar bahawa jemaah lain juga memiliki perasaan yang sama.

Mereka benci mengkafirkan orang lain dan mereka juga benci dituduh suka mengkafirkan orang lain. Saya yakin bahawa jemaah saya dan jemaah lain berusaha memadamkan budaya takfir yang memecahbelahkan umat Islam yang paling dimurkai Allah ini.” – Nik Abduh, - 14 Nov 2016 https://www.malaysiakini.com/news/362746

Pada tahun 1963 timbul budaya tidak sihat, iaitu ada beberapa umat Islam yang mengkafirkan sesama muslim yang berpunca daripada isu politik di tanah air. Ini membuat Mufti Negeri Terengganu Kesepuluh; Sayyid Yusuf bin Ali Az-Zawawi mengeluarkan fatwa berkenaan tuduhan kafir-mengkafir.

Beliau memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda: Barang siapa menuduh fasik atau kafir terhadap seseorang lain adalah dia sendiri yang akan menjadi fasik atau kafir jika tuduhan itu tidak benar. (Riwayat al-Bukhari).

Beliau bertegas bahawa orang yang tertuduh dengan kekufuran tersebut, tidaklah ia jadi kafir atau apa-apa tuntutan syarak berkenaan murtad selagi tidak dihukum kafir oleh Hakim Syarie. Ini jelas bahawa urusan kafir mengkafir adalah perbuatan dosa yang wajib pelakunya untuk bertauabat, serta yang dituduh tidak boleh dianggap kufur melainkan ia sudah dibicara di Mahkamah Syariah.

Perkara yang ditegaskan oleh mantan Mufti Terengganu itu sangat penting kerana urusan iman adalah berkenaan hati yang tiada mengetahuinya melainkan Allah SWT. Maka tuduhan kufur terhadap seseorang adalah zalim kerana tiada yang mengetahui hati seorang muslim tersebut apakah ia niat masuk agama selain Islam.

Antara punca berlakunya Takfir di kalangan ahli Gerakan Islam ialah terpengaruh dengan konsep Hakimiyyah yang dipopularkan semula di zaman moden oleh Abul A’la al-Maududi dan Syed Qutub.

Dalam kitab Fi Zilalil Quran, Sayyid Quţb mengatakan:

"والإسلام منهج للحياة كلها من اتبعه كله فهو مؤمن وفي دين الله، ومن اتبع غيره ولو في حكم واحد فقد رفض الإيمان واعتدى على أولوهية الله وخرج من دين الله مهما أعلن أنه يحترم العقيدة وأنه مسلم". اه.

Maknanya: "Islam adalah sistem hidup semuanya, sesiapa mengikuti semuanya maka dia dikira mukmin dan berada di dalam agama Allah, dan sesiapa mengikuti selainnya meskipun dalam satu permasalahan sahaja maka dia telah menolak keimanan dan melampaui ketuhanan Allah seterusnya dia dikira telah keluar dari agama Allah, meskipun dia menyatakan bahawa dia memuliakan akidah Islam  dan dia mengaku sebagai seorang muslim". Intaha

Al-Qurtubi berpandangan semua ayat 44, 45 dan 47 dari surah al-Ma’idah turun kepada orang kafir. Ini sebagaimana yang sabit dalam hadith al-Bara’ yang diriwayatkan oleh Muslim. Adapun orang Islam, maka ia tidak menjadi kafir walaupun melakukan dosa besar. Dikatakan pada ayat tersebut diandaikan; sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana menolak al-Qur’an, dan membantah kata-kata Rasulullah SAW, maka ia kafir. Ini pendapat yang dikemukakan oleh Ibn ‘Abbas dan Mujahid. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/544)

Menurut Ibn Mas’ud dan al-Hasan, ayat tersebut turun secara umum ke atas setiap orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah sama ada orang Islam, Yahudi dan golongan kafir yang lain, yakni disertai dengan iktikad dan mengharuskannya. Adapun mana-mana orang Islam yang melakukannya tetapi kekal beriktikad akan keharamannya, maka ia termasuk dalam kalangan orang yang fasiq yang Muslimin. Mereka tertakluk kepada kehendak Allah SWT sama ada diazab atau diampunkan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/544) – cetakan Darul Hadis, Cairo tahun 2002 dengan ta’liq guru kami, Dr Muhammad Ibrahim alHafnawi.

Manakala Imam Abu Ja’far atTohawi berkata: “Kami tidak menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka, kami juga tidak menyatakan seseorang itu sebagai orang kafir, musyrik, atau munafik selama tidak kelihatan secara lahirnya mereka seperti itu, kerana itu kami menyerahkan urusan hati kepada Allah Ta’ala.” – Aqidah Tohawiyah.

Justeru saya menyarankan kepada pimpinan PAS dua perkara:

1)  Jabatan Tarbiyah PAS semua peringkat dan Dewan Ulama’ PAS Menyusun tarbiyah yang lebih jitu untuk memahamkan masyarakat khususnya ahli PAS tentang bahaya virus kafir mengkafir sesama Muslim. Tinggalkanlah konsep Tauhid Rububiyah Uluhiyah dan konsep Hakimiyyah yang mengelirukan dan kembalilah kepada Tauhid Sifat 20 mengikut tradisional pengajian pondok ASWJ.

2)  Majlis Syura Ulama’ perlu mengambil tindakan segera di sesetengah Kawasan yang masih membarah virus kafir-mengkafir sesama Islam di negara kita khususnya sewaktu kempen pilihanraya demi perpaduan umat Islam. - Mohd Amir b Md Azmi b Hj Md Isa

D

D

D

 

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat