Taqrir Matan Abi Syuja'


TAQRIR MATAN ABI SYUJA’

Ringkasan Riwayat hidup pengarang kitab

            Di dalam at-Tobaqat al-Kubra karya Imam as-Subki dalam Tobaqat (generasi) kelima ulama yang mengikuti mazhab al-Imam Abi Abdillah asy-Syafii R.A di kalangan ulamak yang wafat selepas 500H (no 567)…dinyatakan beliau ialah Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Asbahani al-Qadhi Abu Syuja’, penyusun kitab “al-Ghayah fi al-Ikhtisor”. Diriwayatkan bahawa beliau belajar di Basrah lebih daripada 40 tahun dalam mazhab Syafii.

            Berkata Syeikh Hani al-Haj: “Abu Syuja’ lahir pada tahun 433H di Basrah. Beliau dilantik jawatan Menteri pada tahun 447H lalu menyebarkan keadilan dan agama. Beliau tidak akan keluar daripada rumahnya hinggalah bersolat dan membaca al-Quran. Dalam menyebarkan kebenaran beliau tidak menghiraukan cacian pencaci.

            Beliau telah mempelajari di Basrah lebih daripada 40 tahun dalam mazhab Imam Syafii R.A. Kemudian beliau bermukim di Madinah Munawwarah membersihkan Masjid Nabi yang mulia dan menyalakan lampu hinggalah wafat salah seorang yang berkhidmat menjaga maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Beliau mengambil alih tugas menjaga maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم hinggalah beliau wafat pada tahun 593H dan dikebumikan di masjidnya yang dibina berdekatan Bab Jibril A.S (tempat yang Malaikat Jibril bertemu dengan Nabi صلى الله عليه وسلم)

            Al-Qadhi Abu Syuja’ R.A hidup selama 160 tahun namun anggota tubuhnya tidak dimamah usia. Bila ditanyai perkara tersebut, jawabnya: “Aku tidak pernah   melakukan maksiat dengan anggota tubuhku, oleh kerana aku menjaganya ketika muda daripada melakukan maksiat kepada Allah, Allah Taala menjaganya sewaktu usiaku tua.”

Nisbah Kitab Kepada Penyusunnya

            Kitab “Ghayah al-Ikhtisor” atau “at-Taqrib” yang masyhur dengan nama “Matan Abi Syuja’” tidak diragukan lagi bahawasanya ia susunan al-Imam Abu at-Toyyib yang lebih dikenali dengan Abu Syuja’ sebagai yang disebut ulamak-ulamak yang mensyarahkan kitab ini seperti Syeikh Muhammad bin Qasim dan al-Khotib asy-Syirbini dan lain-lain.

Syarahan-syarahan kepada kitab ini

            Antaranya ialah:

1-     “Kifayah al-Akhyar” karya Abu Bakar bin Muhammad al-Hishni ad-Dimasyqi yang wafat pada tahun 829H.

2-     “Syarah Mukhtasor Abi Syuja’” karya Ahmad al-Ikhsosi (wafat 889H)

3-     “Fath al-Qarib al-Mujib” karya Muhammad bin Qasim yang wafat pada tahun 928H. Kitab ini mempunyai banyak hasyiah seperti al-Baijuri, al-Azizi, al-Barmawi, al-Qalyubi. Syeikh Abu Muhammad al-Makki menyebut dalil-dalil kitab ini dalam kitabnya yang bernama “Fath al-Hadi ar-Raqib fi Adillati Fath al-Qarib al-Mujib.

4-     “An-Nihayah fi Syarh al-Ghayah” karya Waliyuddin al-Basir (wafat selepas 972H).

5-     “al-Iqna’ fi Hilli Alfazi Abi Syuja’” karya Muhammad al-Khatib asy-Syirbini yang wafat pada tahun 977H. Kitab ini mempunyai banyak hasyiah yang disusun oleh para ulamak seperti al-Bujairumi, al-Ajhuri dan lain-lain.

 

Manhaj Abu Syuja’ Dalam Kitabnya

            Kitab “Ghayah al-Ikhtisor” sangat bertepatan dengan namanya. Kitab ini antara kitab yang paling ringkas yang dikarang dalam fiqah al-Imam asy-Syafii. Matan yang kecil ini merangkumi keseluruhan cabang fiqah mazhab Syafii.

            Matan ini adalah antara kitab mazhab yang terbaik dari sudut susunannya. Walaupun kitab ini kecil, ia syumul dalam kesemua bab feqah dan kebanyakan hukum dan masalahnya dalam bab ibadat, muamalat dan lain-lain. Dibawakan dalam ibarat bahasa yang mudah, kecantikan lafaz dan susunan yang elok. Ia juga istimewa dari sudut pembahagian tajuk yang memudahkan para panuntut ilmu Allah Taala mempelajarinya.

    Beliau menyifatkan karyanya seperti berikut: “Telah meminta sebahagian rakanku HafizohumuLLahu Taala supaya daku membuat mukhtasor (ringkasan) dalam feqah mazhab Imam Syafii RahmatuLLah sehabis-habis ringkas; supaya mudah penuntut ilmu mempelajarinya terutamanya yang baru belajar untuk menghafaznya. Dan supaya daku memperbanyakkan pembahagiannya. Maka daku sahut permintaan tersebut dengan mengharapkan pahala dan supaya Allah Taala memberi taufiq kepada jalan yang benar. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa terhadap apa yang dikehendaki-Nya lagi Amat Berlemah Lembut dengan hamba-Nya.”

Antara Masaalah Kitab

            Antara permasaalahan yang disebut dalam kitab Matan Abi Syuja’ ialah masaalah perkara yang membatalkan wudhuk. Kata Syeikh Abu Syuja’: “Perkara yang membatalkan wudhuk 6 perkara. Pertama; Apa yang keluar daripada dua jalan (qubul dan dubur). Kedua; Tidur yang tidak tetap papan punggung. Ketiga; Hilang akal dengan sebab mabuk ataupun sakit. Keempat; Lelaki menyentuh Wanita Ajnabi tanpa berlapik. Kelima; Menyentuh kemaluan anak Adam dengan tapak tangan (باطن الكف). Keenam; Menyentuh halaqah dubur mengikut qaul Jadid.”[1]

            Dapat difahami daripada matan perkara yang membatalkan wudhuk ada 6 perkara:

            Pertama: Apa saja yang keluar daripada salah satu daripada dua jalan (qubul dan dubur). Dalam Hasyiah al-Bajuri disebut: “Yang dimaksudkan ibarat ini ialah keluar sesuatu itu dengan yakin. Maka jika yakin dalam keadaan bersuci, kemudian syak adakah berhadas ataupu tidak, maka tidak menjadi mudharat kerana asalnya masih kekal toharah. Maka syak tersebut tidak menjadikan ia dikira berhadas.”

            Dalilnya ialah firman-Nya dalam surah al-Maidah:6:-

"أو جاء أحد منكم من الغائط"

            Yakni, daripada tempat qadha hajat.

            Kata al-Khatib asy-Syirbini dalam al-Iqna’: “Disebutkan dengan dua jalan atas Ghalib (kebiasaan), di mana bagi wanita ada tiga tempat keluar, dua di qubul dan satu di dubur. Sekiranya ada lelaki yang mempunyai dua zakar, maka apa yang keluar daripada kedua-duanya juga membatalkan wudhuk. Begitu juga bagi wanita yang diciptakan dengan dua faraj sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Majmuk.”

            Katanya lagi: “Dikecualikan daripada perkara tersebut (membatalkan wudhuk), keluarnya mani seseorang (maninya sendiri), umpama keluar mani dengan sebab semata-mata memandang atau mimpi dalam keadaan tidur yang tetap papan punggungnya, maka tidak membatalkan wudhuknya. Ini kerana ia melazimi perkara yang lebih besar iaitu mandi wajib.”  

            Kedua: Tidur yang tidak tetap papan punggung. Berkata Syeikh Ibn Qasim: “Keluar daripada ibarat tetap papan punggung sekiranya seseorang itu tidur dalam keadaan duduk yang tidak tetap papan punggung dan tidur dalam keadaan berdiri atau tidur dalam keadaan berbaring, sekalipun tetap papan punggung.”

            Namun menurut al-Khotib asy-Syirbini disunatkan berwudhuk disebabkan tidur dengan tetap papan punggung sekalipun atas dasar keluar daripada khilaf ulama yang mewajibkannya.

            Ketiga: Hilang akal dengan sebab gila atau mabuk sekalipun yang tidak berdosa dengannya, atau hilang akal sebab sakit seperti pitam atau mengambil ubat dan selainnya termasuk kena sihir.

            Keempat: Seorang lelaki menyentuh kulit perempuan ajnabi (bukan mahram) tanpa berlapik.

            Kata Syeikh Ibn Qasim: “Yang dikehendaki dengan lelaki dan perempuan ialah yang telah sampai had syahwah secara uruf. Yang dikehendaki dengan mahram ialah mereka yang haram dinikahinya dengan sebab nasab atau susuan atau persemendaan.”

            Kelima: Menyentuh sesuatu daripada faraj (kemaluan) anak Adam, sama ada dirinya sendiri atau orang lain, lelaki ataupun perempuan, bersambung ataupun terpisah, dengan tapak tangan tanpa berlapik.

            Kata Khotib asy-Syirbini: “Keluar dengan faraf anak Adam itu, faraj binatang atau burung. Maka tidak membatalkan wudhuk dengan diqiyaskan kepada tidak wajib menutupnya dan tidak haram memandang kepadanya.”

            Keenam: Menyentuh halaqah dubur anak Adam dengan diqiyaskan kepada menyentuh faraj atas Qaul Jadid dan ianya adalah Muktamad dalam mazhab Syafii. Mengikut Qaul Qadim tidak membatalkan wudhuk sekiranya menyentuh halaqah dubur, dan ini adalah Qaul yang dhaif dalam mazhab Syafii.

Pujian Ulamak Terhadap Kitab Ini

            Kata Syeikh Hani al-Haj: “Adapun kitab yang dinamakan (Ghayatul Ikhtisor) adalah antara kitab yang tercantik yang dikarang dalam mukhtasor Feqah walaupun kitab ini sangat kecil.” Cukuplah kelebihan kitab ini dengan bahawasanya ianya diajar di forum-forum ilmiah dan institusi agama seperti al-Azhar asy-Syarif.

Penutup

            Sebagai rumusan, kitab matan Abi Syuja’ yang dinamakan dengan at-Taqrib ataupun Ghayatul Ikhtisor sangat penting dalam menghidupkan Turats Islami secara umum dan khususnya dalam Feqah Mazhab Syafii. Oleh kerana itu, para guru sangat mengambil berat kepada para pelajar di peringkat permulaan dengan menghafaz matan ini dan ianya antara kitab yang diterima oleh umat Islam secara umumnya.

            Di negara kita Malaysia, pelajar-pelajar kita di Maahad-maahad agama mempelajari feqah mazhab Syafii dengan menggunakan kitab Matan Abi Syuja’ beserta syarahan-syarahannya seperti “Fath al-Qarib al-Mujib” dan “al-Iqna’ fi Hilli Alfazi Abi Syuja’”. Bahkan Matan Abi Syuja’ dipelajari di seluruh alam Islami hatta di al-Azhar asy-Syarif – semoga Allah menambahkannya kemuliaan dan kemegahan.

            Semoga Allah memberi balasan yang sebaik-baiknya kepada guru-guru kami khususnya para pensyarah al-Azhar asy-Syarif yang membimbing kami hingga kami mengetahui nilai ilmu dan ulamak secara umumnya serta kitab matan Ghayatul Ikhtisor dan pengarangnya secara khusus. Dan semoga Allah menurunkan rahmat dan salam ke atas penghulu kami Sayyidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga Baginda dan para sahabat sekeliannya pada setiap ketika dan nafas seluas mana ilmu Allah Taala,

والحمد لله رب العالمين

Disediakan oleh,

Mohd Amir bin Md Azmi asy-Syafii,

Maktab Mahmud Kuala Muda,

9.43 PM, 29/1/2022

Rujukan

1)     Syeikh Ibrahim al-Bajuri, Hasyiah al-Bajuri, Cetakan Bin Halabi, Fatoni, tanpa tarikh cetakan.

2)     Al-Imam al-Allamah Taqiyuddin ad-Dimasyqi asy-Syafii, Kifayatul Akhyar fi Hilli Ghayah al-Ikhtisor, dengan tahqiq Hani al-Haj, cetakan Maktabah at-Taufiqiyah, tanpa Tarikh cetakan.

3)     Al-Khotib asy-Syirbini, al-Iqna’ fi Hilli Alfazi Abi Syuja’, dengan tahqiq Syeikh Ali Muhammad Mu’awwadh, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, tanpa Tarikh cetakan.

4)     Imam Tajuddin as-Subki, Tobaqat asy-Syafiiyyah al-Kubra, dengan tahqiq Abd Fattah Muhammad, cetakan Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, tanpa Tarikh cetakan.

5)     Syeikh Abu Muhammad al-Makki, Fath al-Hadi ar-Raqib fi Adillati Fath al-Qarib al-Mujib, cetakan Maahad an-Nasr li Tahfiz al-Quran al-Karim, Jawa, Indonesia, 1424H, 2004M.



[1] Dalam sebahagian cetakan disebut: Perkara yang membatalkan wudhuk ada 5 perkara.

Comments

Popular posts from this blog

Biografi Ringkas Imam an-Nawawi رحمه الله

Makrifah Tauhid Bagi Jazam

Aurat Lelaki Ketika Solat