Kaum Musyrik Adalah Kaum Yang Sesat
Kaum musyrik adalah kaum yang sesat. Mereka itu adalah orang-orang yang menyeru Tuhan selain Allah Taala, Maha Suci Tuhan dari apa yang mereka serukan itu setinggi-tinggi kesucian, dan mereka ini tergolong kepada beberapa golongan.
Orang musyrik itu ada banyak macamnya; ada yang musyrik,
yakni menduakan Tuhan, ada yang atheis, ada yang ingkar dan sebagainya. Mereka
semua adalah sesat, dan setengah mereka lebih sesat dari setengah yang lain.
Malah ada yang berat kufurnya, banyak bohong dan dustanya, namun tiada satu pun
dari antara mereka yang mempunyai hujjah atau alasan sama sekali.
Dalam Quran banyak ayat menerangkan siksa ke atas
musyrik. Kalau sudah dikenakan larangan yang keras dan siksa yang berat yang
dijanjikan bagi orang menyeru tuhan yang lain di samping Allah, dan
menyekutukan yang lain dalam ketuhananNya, padahal dia berikrar dan mengaku
keuluhiyahan dan ketuhanan Allah, maka bagaimana berat halnya dan merbahaya
akibatnya pula dengan orang yang mengingkari adanya Tuhan di ala mini seperti
kaum Mu’aththilah yang mengatakan, bahawa mereka mempunyai tuhan selain dari
Allah. Kami menyucikan diri dari dakwaannya dan kedustaannya. Allah telah
berfirman:
أولئك كالأنعام بل هم أضل أولئك
هم الغافلون – الأعراف: 179
“Mereka itu laksana binatang, malah lebih
sesat (dari binatang), mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Pada hakikatnya binatang
dan segala bentuk hayawan, bahkan tumbuh-tambuhan dan benda-benda yang tidak
bernyawa, semuanya mengaku dan menyaksikan ketuhanan dan keesaan Penciptanya
dan Yang Menjadikannya. Kiranya dia boleh berbicara, niscaya dia akan
melaungkan pengakuannya dan mengungkapkannya dengan lidah yang fasih. Allah
Taala berfirman:
تسبح له السموات السبع والأرض ومن فيهن وإن من شيء إلا
يسبح بحمده – الإسراء: 44
“Bertasbih kepadaNya semua petala langit
yang tujuh, dan begitu pula dengan buminya, dan semua yang berada di dalam
kandungannya, dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan kepujian
kepadaNya.”
Lantaran kaum Arab itu
telah diberikan kuasa untuk memperbezakan, dan dapat mengukur dengan logikanya
apa yang tidak kesampaian oleh ummat-ummat yang lain, mereka tiada mengingkari
adanya Tuhan Maha Tinggi, bahkan mengakui kewujudanNya. Mereka mempercayai yang
Allah itu Pencipta dan Pemberi rezeki kepada segala sesuatu, sebagaimana yang
diceritakan Allah di dalam banyak firmanNya. Umpamanya:
ولئن سألتهم من خلقهن ليقولن الله – الزخرف: 87
“Dan sekiranya engkau menanyai mereka,
siapa yang menjadikan mereka, niscaya mereka akan mengatakan: Allah!”
Namun mereka menjadikan
berhala-berhala yang mereka sembah itu sebagai perantara dengan Allah Taala. Mereka
bermaksud beribadat kepadanya supaya mereka mendekatkan diri kepada Allah.
Memang kaum musyrik Arab itu telah salah jalan, namun mereka tetap mengakui
wujudnya Tuhan Yang Haq yang mereka anggap sebagai Pencipta mereka dan segala
sesuatu di ala mini, dan mereka menyembah apa yang disembah dari bermacam-macam
berhala hanya sebagai perantara saja dan sebagai pendekatdiri kepada Allah.
Mereka tetap kembali kepada Allah ketika menanggung kesusahan, atau untuk
menghapuskan bala bencana. Mereka tiada memohon dan meminta sesuatu melainkan
kepada Allah semata.
Apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata kepada setengah mereka: Berapa
tuhan yang engkau sembah? Jawabnya: Sepuluh! Tanya Baginda lagi: Kepada siapa
engkau Kembali jika engkau ditimpa kesusahan? Jawabnya: Kepada Allah! Lalu
Baginda berkata kepadanya: Wahai fulan! Peluklah agama Islam, kerana engkau
tiada punyai Tuhan selain Allah!
Pernah Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata kepada yang lain, dan Baginda
sedang menunjukinya siapa yang sebenarnya Tuhan, katanya: Dialah Tuhan yang
jika sesat kenderaanmu, dan engkau sedang berada di bumi yang lapang (yakni di padang
pasir yang lebar luas), lalu engkau menyeruNya, niscaya Dia akan mengembalikan
kenderaanmu itu kepadamu. Dan jika engkau ditimpa masa kemarau, lalu engkau
menyeruNya, niscaya Dia akan menumbuhkan tanamanmu buatmu!
Dan aku tiada terfikir
bahawa ada seseorang yang waras akalnya, melainkan dia menghendaki adanya satu
Tuhan yang akan disembahnya. Ini memang sesuai dengan kefitrahannya, atau
semulajadinya yang dia tercipta di atasnya, jiwanya akan menyaksikan ketuhanan
siapa yang menciptakannya. Dalam hal ini, ada yang mencapai jalan kebenaran
dalam mengenal sembahannya, dan ada pula yang keliru sehingga mengambil jalan
sesat. Dan tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah
Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana.
Apabila para penghuni gua
(Ashabul-Kahfi) diseru untuk menyembah selain Allah, dan untuk mengakui
ketuhanan hamba yang mengaku dirinya sebagai Tuhan, mereka terus mengingkarinya
dan tidak tunduk kepadanya, disebabkan Allah telah meletakkan cahaya keimanan
di dalam hati-hati mereka, dan menjadikan kepercayaannya hanya kepada Tuhan
yang benar saja.
Demikian pula halnya
dengan ahli sihir Raja Firaun yang terlaknat itu, mereka akhirnya mempercayai
dengan Tuhan Yang Esa. Padahal Firaun telah mengumpulkan mereka supaya mereka
dapat menolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa dan Harun. Apabila mereka
tahu dan menyelidiki bahawa perkara yang diajarkan oleh Nabi Musa dan Nabi
Harun عليهما السلام itu adalah suatu
perkara yang diturunkan dari langit daripada Allah, suatu perkara yang ditolak
atau dikalahkan oleh sihir mereka, sehingga tiada siapa pun yang menghalangnya
atau mengalahkannya, mereka lalu mengakui kebenaran itu dan menyatakan kalah,
kemudian mereka memeluk Islam serta beriman dengan Allah Yang Maha Esa.
Meskipun sesudah itu Firaun mengancam mereka dengan
berbagai-bagai siksa dan azab, namun mereka tetap tidak berganjak dari
pengakuannya itu, biarpun mereka dipotong tangan dan kaki, disalib di atas
palang korma, mereka tetap tidak berundur dari kepercayaan mereka itu.
Kemudian Firaun yang terkutuk itu sedar bahawa dia
tidak mampu lagi untuk menahan mereka dari beriman kepada Allah, kendatipun dia
telah mengancam mereka dengan berbagai-bagai ancaman, kerana dia tahu bahawa
dia tidak punya hujjah atau alasan untuk menghalang mereka, dan kini dia pun
tiada berkuasa untuk memesongkan mereka dari kepercayaan itu, lalu dia pun
berkata kepada mereka: Berani kamu mempercayai Musa sebelum aku memberi izin
kepada kamu?!
Kata-kata Firaun itu benar-benar menunjukkan
takabburnya dan cuba hendak menampakkan kekuasaannya yang sudah tiada berguna
lagi, sebab dia tiada punya jalan untuk menghalang ribut iman yang dating menyerang
hati ahli sihir itu. Sebab iman kepada Allah itu serta tauhid kepadaNya
mempunyai kehebatan yang tidak ada orang yang waras fikirannya dapat menahan,
atau membatalkan dengan berjidal, kerana perkaranya sudah jelas dan nyata yang
diiringi dengan hujjah-hujjah dan dalil-dalil yang logic lagi pasti.
Diolah daripada kitab “Dakwah Yang Sempurna Peringatan
Yang Utama” karya Imam Habib Abdullah Haddad, terjemahan Syed Ahmad Semait.
Comments